Isnin, 3 Ogos 2015

BRN perlu mengambil pengajaran apa yang berlaku kini dalam PAS


Keutuhan PAS, bai'ah untuk Islam
MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ


 تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ 

السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.

PAS yang sedang menyelurusi jalan-jalan menuju kemenangan dengan izin Allah s.w.t. dalam persada politik tanah air memperlihat kedudukannya semakin teguh dan utuh melalui kepimpinannya yang digabungkan daripada kepelbagaian kepakaran dan profesionalisme yang sangat diperlukan oleh parti dan masyarakat dalam negara ini dalam mendepani konflik negara Malaysia yang bergitu mencabar dan kabur.

Negara Malaysia kini amat memerlukan kemunculan satu bentuk penyelamat "the savior" buat rakyat untuk berpaut dan berpegang agar negara Malaysia tidak terus hanyut dan lemas dengan bermacam-macam isu yang mampu meruntuhkan negara ini.

PAS bersedia ke arah itu kerana PAS membawa mesej Islam berteraskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qiyas yang dijanjikan Allah s.w.t. sebagai wadah penyelamat ummat manusia sejagat.

PAS kini juga sudah mendapat perhatian umum dan masyarakat dalam negara ini begitu juga di dunia antarabangsa apabila Presidennya Tuan Guru Abd Hadi Awang dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia bersama dengan para alim ulama yang disegani di peringkat antarabangsa adalah satu bukti bahawa dunia islam memerlukan pengalaman dan kepakaran daripada PAS untuk memimpin ummat Islam.

Walaupun begitu PAS yang sedang bertarung dengan krisis dalamannya, namun ingatlah kata hikmah ada yang menyebut bahawa "...air yang keruh adakalanya membawa kebaikan daripada air yang terlalu jernih..."

Justeru itu, terdapat sebilangan pimpinan PAS yang tewas dalam pemilihan ahli jawatankuasa kerja pusat dalam muktamar yang lalu telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti baharu kononnya sebagai alternatif kepada PAS sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali dan mendekati PAS.

Masyarakat melihat PAS sedang melalui proses ke arah lebih matang dan untuk mendewasakannya apabila diuji sebegini.

PAS yang berusia lebih 60 tahun sebenarnya sebuah bahtera yang sangat kukuh dalam melayari lautan dakwah dan harakah di negara ini serta memiliki pengalaman seluas lautan di arena politik tanah air.

Sejarah yang telah berlaku melakarkan bahawa PAS pernah berada pada zaman pemerintahan British, pernah pada zaman awal perjuangan kemerdekaan Malaysia, memimpin negara dalam kerajaan bersama Perikatan (nama sekarang Barisan Nasional), pada zaman darurat, pernah memenangi pilihan raya dan kalah berkali-kali dalam pilihan raya, pernah memerintah beberapa negeri, pernah juga bekerjasama atau tahaluf dengan pelbagai parti yang berlatarbelakangkan idea fahaman sekular, sosiolis, nasionalis serta pragmatis.

Semua bahan ini adalah rencah dan rempah yang sebenarnya diperlukan oleh mana-mana parti dan gerakan politik dalam negara ini tetapi ia dimiliki oleh PAS.




Isu dan perkembangan politik mutakhir negara yang sedang berlaku memberikan input bermakna dan nilai tambah kepada PAS sekaligus menjadikan PAS menjadikan parti yang lebih berdaya maju dan berpengalaman berbanding dengan kewujudan parti-parti yang lain di negara ini.

Isu penubuhan Gerakan Harapan Baru atau GHB yang digerakkan di kalangan sebahagian pimpinan PAS dan ahlinya bukan satu perkara yang ganjil kepada PAS. Dalam sejarah kemunculan parti Hamim dan Berjasa satu ketika dahulu adalah satu pengalaman bagi PAS, atas sebab itu PAS mampu bertahan dan insya Allah, PAS akan dapat mengharungi dan melepasinya.

Begitu juga dengan terkeluarnya beberapa pimpinan dan ahli PAS menyertai GHB tidak akan menjejaskan PAS sebaliknya dilihat sebagai positif apabila pemimpin PAS dan ahlinya yang lain kini terus beristiqamah dan lebih bersemangat untuk menerajui dan mempertahankan jamaah yang amat disayangi ini. Tambahan pula, PAS telah menerima keahlian baru yang ramai dan semakin hari semakin minat masyarakat terhadap PAS.

Adapun krisis PAS-DAP juga sebenarnya adalah satu isu yang langsung tidak merubah kedudukan dan haluan PAS yang mana PAS dilihat sebuah parti yang sangat konsisten dan berprinsip walaupun kesannya pemutusan tahaluf siyasi atau pakatan politik antara keduanya.

Masyarakat Islam khasnya dalam negara ini akan lebih meyakini PAS sebagai wadah yang berpendirian teguh pada prinsip tetapi pada masa yang sama anjal dalam tindakan demi Islam buat mereka jadikan sebagai penyelamat.

Pergolakan dan krisis dalam Umno serta kerajaan pimpinan Umno BN sedang melonjakkan PAS ke persada yang lebih tinggi. Kebijaksanaan Tuan Guru Presiden apabila membuat kenyataan berkaitan dengan kedudukan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini membuktikan kematangan PAS bahawa PAS bersedia untuk menggantikan Umno menerajui negara ini. 

PAS tidak mahu individu pemimpin kerajaan sahaja bertukar tetapi PAS ingin menukar sistem yang merugikan negara ini dan rakyatnya. 

PAS bersedia kepada pilihan raya untuk ke arah itu. Bukan PAS yang akan menentukan perubahan negara ini tetapi PAS akan serah kepada rakyat untuk menentukannya di samping PAS bersedia untuk dijadikan wadah buat mereka.

Ahli Umno yang sudah kecewa dan muak dengan pemimpinnya dan kerajaan negara ini telah hilang tempat bergantung mereka, maka PAS lah tempat mereka bakal tuju kerana PAS telah membuktikan sikapnya yang telus dipercayai, berprinsip, adil kepada semua dan terutamanya sekali agama Islam yang menjadi sandaran dan rujukannya.

Oleh itu, yakinilah wahai rakan-rakan sekalian bahawa PAS pasti dipelihara oleh Allah s.w.t. tatkala kita telah mengisi borang dan berbai'ah bersama jamaah ini. Apabila kita telah berjanji setia dan taat kepada jamaah ini sebenarnya adalah setia kita kepada Allah azzawajalla selama jamaah ini tidak melanggari Al-Quran dan As-Sunnah.

Allah s.w.t. pasti akan memberikan ketenangan dan kesejahteraan di samping berita kemenangan kepada perjuangan ini sebagaimana janji Allah kepada Nabi s.a.w. dalam kisah pembukaan Kota Mekah selepas berlakunya Bai'ah Hudaibiyyah ataupun dikenali juga dengan Bai'ah ar Ridhwan.

Mereka yang melanggari bai'ah ini, Allah juga menjanjikan keburukan buat mereka di dunia dan juga akhirat. FirmanNya dalam surah Al Fath ayat 11




إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ ۚ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar. 

HARAKAHDAILY 4/8/2015
Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor.