Selasa, 30 November 2010

Syahid... Ya ALLAH Matilah Kami Shahid di Jalan Mu

Syahid
 
Ulama berbeza pendapat dalam memberi pengertian syahid.  Ada yang mengatakan syahid adalah kerana dia disaksikan/diperlihatkan kepadanya jannah (syurga). Dikatakan juga bahawa sebab dinamakan syahid adalah kerana roh-roh mereka menyaksikan jannah dan berada di Dar al-Salam (syurga) dan mereka hidup di sisi Tuhan mereka. Jadi syahid di sini bererti saksi dan juga hadir (berada) di jannah. Imam al-Qurtubi berkata,” Inilah pendapat yang benar”.

Antara pengertian syahid yang lebih tepat menurut Abu Ibrahim al-Mishri ialah, “Kerana dia memiliki saksi (syahid) atas kematiannya. Saksi itu ialah darahnya sendiri kerana pada hari Qiamat kelak, dia akan dibangkitkan oleh Allah dengan lukanya yang mengalir darah”.

Syahid itu pula, dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

1. Syahid dunia akhirat.
2. Syahid dunia.
3. Syahid akhirat.

Ya ALLAH Matilah Kami Shahid di Jalan Mu
Syahid dunia akhirat.
 Orang yang terbunuh semasa berperang di jalan Allah dengan ikhlas dan tidak memiliki unsure riak dan tidak juga berbuat  ghulul  (khianat seperti mencuri harta rampasan perang). Ini merupakan syahid yang sempurna dan paling utama. Baginya, pahala disisi Allah yang Maha Agung. Soal niat ikhlas atau tidak, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Manusia hanya menghukum secara zahir bahawa dia mati terbunuh di jalan Allah, maka dia layak sebagai syahid. Jenazahnya tidak perlu dimandikan, dikafankan  dan tidak perlu disolatkan, Cuma hanya dikuburkan lengkap dengan pakaian ketika dia terbunuh syahid.

Syahid dunia.
Orang yang terbunuh ketika berperang tetapi tidak ikhlas kerana Allah dan bukan untuk menegakkan kalimah Allah. Soal niatnya, manusia selain dirinya tidak ada yang tahu tetapi ketika jasadnya ditemui terbunuh ketika berperang melawan kafir, maka dia layak dikategorikan sebagai syahid.

Untuk syahid jenis pertama dan kedua ini, terdapat beberapa pendapat al-ahnaf (Hanafiyyah) mereka tidak perlu dimandikan, tidak dikafankan tetapi disolatkan. Menurut Hanabilah (pengikut mazhab Hanbali) mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Manakala, menurut syafi’iyyah pula, mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan, dan tidak pula disolatkan.

Syahid akhirat.
Orang yang mati kerana lemas, terbakar, bersalin, sakin taun, sakit perut dan lain-lain. Orang yang termasuk kategori ini dimandikan, dikafankan, dan disolatkan.

Diceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf, diceritakan kepada kami, Malik daripada Sumyyin daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang mati terkena demam campak, oarng yang mati kerana sakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati tertimpa runtuhan, dan orang yang syahid di jalan Allah”. (Riwayat al-Bukhari, no. 2617)

Mati syahid adalah impian setiap jiwa orang yang beriman. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa memohon syahadah (mati dalam keadaan syahid) dengan bersungguh-sungguh, maka sungguh ia akan diberi pahala seperti pahala mati syahid walaupun dia tidak syahid”. (Riwayat Muslim no. 3531)

Adakah kita sudah memiliki cita-cita dan membuat persediaan untuk bergelar syuhada?

Jawapan ana, semangat jihad perang(revolusi) terus menyala!

Ya ALLAH Matilah Kami Shahid di Jalan Mu

Sumber: http://www.facebook.com/#!/notes/sunnah-pejuang/syahid/173466802671116

Tiada ulasan:

Catat Ulasan