Khamis, 4 Julai 2013

Bahasa Melayu penentu perjalanan hidup

Setahu saya, masih tidak ramai orang Jepun yang mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu, izinkanlah saya menceritakan bagaimana seorang warganegara Jepun dapat bertemu dengan bahasa Melayu, dan bagaimana pula tertarik dengan bahasa ini sehingga melanjutkan pelajaran di Malaysia. 


Saya mula belajar bahasa Melayu di sebuah universiti swasta di Jepun yang bernama Universiti Keio. Sebelum ini saya sama sekali tidak mengenali bahasa Melayu. Saya hanya mengenali Malaysia sebagai negara pengeluar getah dan timah yang utama di dunia.
Saya memasuki Fakulti Pengurusan Dasar, iaitu fakulti baru yang ditubuhkan di sebuah kampus baru yang bernama Shonan Fujisawa Campus, atau kependekannya SFC. Di kampus tersebut semua pelajar dikehendaki mengambil satu subjek bahasa asing. Pada ketika itu, kursus bahasa asing yang ditawarkan di kampus tersebut ialah bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa China, bahasa Korea dan bahasa Melayu.
Kebanyakan bahasa asing yang ditawarkan merupakan bahasa yang lazim dipelajari di Jepun, tetapi ada satu bahasa yang agak pelik, iaitu bahasa Melayu. Di sekeliling saya juga tidak ada orang yang boleh bercakap bahasa Melayu atau pernah mempelajarinya. Saya pula  suka sesuatu yang lain daripada yang lain, lalu saya pun membuat keputusan untuk mengambil kursus bahasa Melayu.
Jurusan saya ialah pengurusan dasar, bukan bahasa Melayu, kerana bahasa Melayu hanya ditawarkan sebagai subjek bahasa asing yang dipelajari secara intensif sahaja. Tetapi saya tidak berbakat dan tidak juga berminat dalam bidang pengurusan. Saya lebih tertarik dengan bahasa Melayu, dan minat saya terhadap bahasa Melayu pun semakin bertambah.
Guru yang banyak menolong saya dalam pembelajaran bahasa Melayu pada zaman universiti saya ialah seorang guru Melayu yang bernama Encik Saiful Bahari Ahmad, yang kita bahasakan sebagai ‘sensei’ atau ‘Cikgu Saiful’.
Anak Melayu kelahiran Batu Pahat ini merupakan generasi pertama yang dihantar ke Jepun di bawah Dasar Pandang ke Timur. Beliau bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Melayu, tetapi juga telah menguasai bahasa Jepun dengan baik. Bahasa Jepunnya begitu bagus sehingga ramai orang menyangka bahawa beliau ialah orang Jepun. Rupa paras beliau yang beribukan seorang wanita keturunan Cina juga menyebabkan orang ramai beranggapan demikian. Beliau dapat menerangkan kemusykiran yang timbul tentang bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Jepun yang sangat jelas.
Pada ketika itu kami serba kekurangan dalam kelengkapan pelajaran, termasuk kamus bahasa Melayu-bahasa Jepun, buku teks dan bahan-bahan lain. Tetapi kehadiran beliau sebagai penutur asli bahasa Melayu yang boleh berbahasa Jepun dapat meyakinkan semua pelajar.
Suasana dalam kelas juga amat seronok, kerana setiap pelajar diberikan ‘nama Melayu’nya,  dan nama itulah digunakan dalam pergaulannya, baik dalam kelas mahupun di luar. Dalam kelas kali pertama, Cikgu Saiful menuliskan nama-nama Melayu, dan menyuruh pelajar memilih satu nama Melayu yang disukainya.
Saya memilih nama Badiuzzaman, kerana diberitahu bahawa nama itu diambil daripada seorang pujangga. Ada juga meminta nama yang tersendiri. Misalnya, ada seorang teman saya yang nama asalnya ‘Tamae’. Dia meminta namanya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. ‘Tamae’ bermaksud ‘mutiara’, dengan itu, dia pun mendapat nama ‘Mutiara’.
Setelah mendapat nama Melayu masing-masing, suasana di dalam kelas juga bertambah seronok dan berasa lebih mesra. Kami begitu mesra dengan ‘nama Melayu’, sehingga kadang-kadang kami terlupa akan ‘nama Jepun’ kawan-kawan! 
Keistimewaan Cikgu Saiful ialah kesungguhan beliau untuk memajukan bakat anak muridnya. Contohnya, setiap cuti tahunan, beliau akan membawa anak muridnya ke kampung kelahirannya, iaitu Kampung Teluk Buluh di Daerah Batu Pahat, Johor. Para pelajar akan berada di kampung tersebut selama lebih kurang tiga minggu, dengan ditempatkan di rumah keluarga angkat masing-masing. Peluang ini amat bermakna bagi pelajar, kerana di Jepun hampir tidak ada peluang untuk menggunakan bahasa Melayu kecuali di dalam kelas. Di samping itu, kami juga berpeluang untuk didedahkan kepada penggunaan bahasa Melayu yang sebenar.
Saya suka melawat rumah-rumah orang kampung, dan bersembang-sembang dengan mereka. Mereka juga menyambut kami, anak angkat Jepun, dengan begitu baik. Kami pun memanggil ahli keluarga angkat dengan panggilan mesra, seperti ‘datuk’, ‘ibu’, ‘kakak’, ‘adik’ dan sebagainya. Kami juga dipanggil dengan nama Melayu masing-masing. Pendek kata, kami diterima sebagai anggota kampung.
Biasanya kami dibawa ke sana selepas tamat kursus bahasa Melayu, iaitu cuti semester setelah selesai tahun pengajian kedua. Tetapi oleh sebab amat selesa dengan kampung, ada ramai, termasuk saya sendiri, yang mengunjungi kampung tersebut berkali-kali.
Kebetulan kami juga berpeluang menyambut hari Raya Aidilfitri di kampung berkenaan. Saudara-mara orang kampung juga balik ke sini, ada yang dari Kuala Lumpur, ada yang dari Singapura dan berbagai-bagai tempat yang lain. Mereka juga mengajak kami untuk melawat rumahnya, dan peluang kami untuk mengembara juga semakin luas. Jika saya ke Kuala Lumpur atau Singapura, saya tidak menginap di hotel, tetapi meminta ‘tumpang’ di rumah saudara orang kampung yang dikenali.
Permintaan kami tidak pernah ditolak, sebaliknya kami selalu disambut dengan baik.  Satu lagi pertolongan yang diberikan oleh Cikgu Saiful ialah beliau tidak jemu membetulkan karangan pelajar. Saya ingin memajukan kemahiran menulis dalam bahasa Melayu, lalu saya cuba menulis karangan dalam bahasa Melayu. Tajuk karangan pula saya pilih sendiri, seperti masalah sosial di masyarakat Jepun, budaya Melayu, keistimewaan bahasa Melayu dan sebagainya.
Tiap-tiap karangan yang saya serahkan kepada Cikgu Saiful dibetulkan dengan teliti dan diberikan ulasan olehnya. Ini merupakan sumber semangat yang penting bagi saya. Saya masih menyimpan karangan-karangan tersebut. Jika dibaca sekarang, karangan-karangan itu ada banyak kelemahan, tetapi inilah titik permulaan dalam bidang penulisan bagi saya.
Ketika saya berada di Jepun, saya juga cuba mencari pelajar-pelajar pertukaran dari Malaysia yang sedang menuntut di Jepun untuk berkawan dan berbual-bual dengan mereka. Antara mereka yang paling rapat dengan saya ialah golongan bekas guru. Mereka melanjutkan pelajaran di Jepun untuk menjadi guru bahasa Jepun di Malaysia kelak. Mereka lebih berusia daripada saya, tetapi mereka menerima saya dan beberapa kawan-kawan saya sebagai ‘member’ mereka.
Sebelum tamat pengajian peringkat sarjana muda, saya telah pun mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia. Tetapi pada peringkat awal agak kelam kabut, kerana ada terlalu banyak perkara yang perlu ditentukan. Belajar di universiti mana? Belajar apa? Dan belajar di bawah siapa?
Jalan untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia terbuka secara kebetulan juga. Kunjungan ke Malaysia telah menjadi acara biasa bagi saya. Apabila saya ada di Jepun, saya bekerja sambilan untuk menyimpan wang. Wang yang disimpan itu dihabiskan dengan tiket kapal terbang ke Malaysia dan perbelanjaannya. Kejadian yang saya tidak dapat dilupakan berlaku ketika saya melawat Malaysia, tetapi tidak ingat entah kali keberapa, kerana saya datang ke Malaysia sebanyak 10 kali semasa saya menuntut di universiti.
Pada satu ketika, saya dan kawan-kawan orang Jepun mengikuti beberapa orang Kampung Teluk Buluh yang melawat saudaranya di Batu Pahat. Kami telah lama mengenalinya, kerana dia selalu ke kampung tersebut. Dia dipanggil Kak Nik. Sambil berbual-bual, Kak Nik pun bertanya adakah saya masih ingat nama penuhnya.
Di Johor, tidak seperti di Kelantan, orang yang bernama Nik tidak begitu ramai. Oleh itu jika kita sebut ‘Kak Nik’, semua orang di kampung tahu siapa orang yang dimaksudkan. Saya juga tidak terlupa nama penuhnya. Sebagai gurauan, saya menyebut nama pakar linguistik yang saya hormati dan minati, iaitu Nik Safiah Karim.
Buku Tatabahasa Dewan, hasil penulisannya, saya sudah habiskan tidak kurang daripada dua kali pada ketika itu. Setelah membaca buku tersebut dan buku-buku serta artikel-artikel beliau yang lain dalam majalah, journal dan surat khabar, saya menjadi peminat setianya. Saya juga amat tertarik dengan gaya penulisannya dan jelas dan teratur.
Alangkah terkejut saya apabila Kak Nik menjawab gurauan saya dengan mengatakan bahawa itu nama saudaranya. Mula-mula saya tidak percaya sama sekali apa yang dikatakannya.
Kak jangan bohong, tak baik tahu!” kata saya.
Aku tak bohong pun.” Kak Nik jawab dengan tenang.
Saya memberitahu kepada Kak Nik betapa saya kagum dengan insan yang bernama Nik Safiah Karim, dan saya menuntutnya untuk menunjukkan buktinya yang jelas bahawa Kak Nik, kawan baik saya ini memang saudara kepada ahli bahasa yang saya hormati.
Dia pula bertanya, “Engkau nak cakap dengan dia?”
Saya berdebar-debar, kerana tidak pernah menyangka ada peluang untuk bercakap dengan orang yang saya amat minati. Kegilaan saya pada ketika itu bukan kepada Ella, Fauziah Latif atau Erra Fazirah, tetapi kepada ahli bahasa ini! Secara spontan saya menjawab “Nak!”.
Kak Nik pun mengangkat gagang telefon, dan menelefon ke rumah saudaranya. Kak Nik bercakap dengan orang yang berada di hujung talian dengan loghat Kelantan, dengan nada yang begitu mesra. Tentulah Kak Nik ini saudara kepada ahli bahasa yang terkenal ini...        Kepada orang yang ada di sana, Kak Nik berkata “Ini ado oghe Jepong hok nok kecek denga Mok Cu.” Lalu Kak Nik menyerahkan gagang telefon kepada saya.
“Nah, ini saudara aku.” Oleh sebab terlalu teruja, saya hampir tidak ingat apa yang saya bercakap dengan idola saya pada ketika itu. Tetapi saya sempat menyatakan keinginan saya untuk berjumpa dengan beliau, dan saya menyerahkan gagang telefon semula kepada Kak Nik dengan hati yang amat gembira, kerana beliau juga sudi berjumpa dengan saya apabila saya ke ibu kota kelak.
Saya sempat berjumpa dengan Prof. Nik Safiah Karim sebanyak dua kali di kediaman beliau di Petaling Jaya. Pada kali pertama, beliau menyambut saya dengan mesra, dan saya pun menyatakan hasrat saya untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Beliau memberi galakan dan semangat.
Setelah itu saya belajar bahasa Melayu lebih rajin daripada sebelum itu. Beberapa bulan kemudian, saya melawat beliau sekali lagi, dan memberitahunya bahawa saya ingin belajar di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM). Beliau bertanya tentang apa yang hendak dikaji, dan saya memberikan keterangan yang agak lanjut tentangnya.
Setelah mendengarnya, beliau mengatakan bahawa beliau sanggup menjadi penyelia saya. Perasaan gembira saya pada ketika itu mungkin tidak perlu diterangkan lagi. Setelah tamat pengajian di Jepun, saya pun menyerah borang permohonan untuk kursus sarjana di APM, UM dengan menulis nama penyelia yang dicadangkan, yang sanggpu menerima seorang lagi pelajar dari Jepun.
Begitulah bahasa Melayu telah menentu perjalanan hidup saya. Tetapi bukan itu sahaja. Bahasa Melayu amat bermakna bagi saya, kerana melalui bahasa Melayu lah saya mengenali agama Islam, dan akhirnya memeluk agama suci ini. Saya bukan dipengaruhi oleh pendakwah atau ahli agama tertentu, tetapi tertarik dengan cara hidup orang Melayu yang berasaskan ajaran agama, yang mementingkan hubungan keluarga, kesucian diri dan kesederhanaan. Kalau tidak mempelajari bahasa Melayu, kemungkinan besar saya tidak berpeluang mengenali agama Islam.   
Oleh sebab bahasa Melayu begitu penting dalam perjalanan hidup saya, kadang-kadang saya terasa kurang senang dengan sikap sesetengah orang Melayu yang tidak setia kepada bahasanya sendiri, tidak seperti sikap terhadap bahasa di negara jiran.
Saya juga berpeluang untuk ke Indonesia beberapa kali. Saya tidak pernah belajar bahasa Indonesia secara formal, tetapi saya tidak mengalami sebarang masalah berkomunikasi dengan orang-orang Indonesia. Saya juga amat senang hati setiap kali ke Indonesia kerana semua orang Indonesia bangga dengan bahasanya sendiri. Apabila mereka tahu saya ‘bisa berbicara bahasa Indonesia’, mereka pasti menunjukkan rasa gembira, walaupun bahasa yang saya bertutur itu bukan bahasa Indonesia, tetapi bahasa Melayu.
Kadang-kala keadaan yang sebaliknya berlaku di Malaysia. Izinkanlah saya menceritakan beberapa peristiwa kecil untuk menunjukkan bahawa masih ada segelintir manusia Melayu yang tidak setia kepada bahasanya.  
Apabila saya sedang menuju ke suatu tempat di Kuala Lumpur, saya tidak dapat mencarinya. Kebetulan ada seorang wanita Melayu berlalu di situ. Saya memberi salam, lalu memintanya untuk tunjukkan jalan ke tempat berkenaan dalam bahasa Melayu. Jawapan yang diberikan ialah “OK, you go straight, and then turn left, you’ll find...” Saya berkata “terima kasih”, tetapi jawapan yang diberikan ialah “welcome”.
Kejadian yang seterusnya berlaku di imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Lelaki Melayu pertengahan umur yang bertugas di situ bertanya dalam bahasa Inggeris.  
“What’s the purpose of your visit?” Saya menjawab dalam bahasa Melayu, “Saya mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Ini suratnya”, sambil menunjukkan surat tawaran dari universiti berkenaan.
Dia bertanya lagi, “So where’s your visa? You don’t have a student visa!” Saya memberitahunya bahawa saya akan memohon visa kemudian. Pegawai berkenaan juga bertanya soalan ketiga dalam bahasa Inggeris juga. Oleh sebab saya tidak berapa pandai berbahasa Inggeris, lalu saya pun meminta beliau untuk bercakap bahasa Melayu.
“Encik boleh tak cakap bahasa Melayu, sebab saya tak berapa faham bahasa Inggeris.” Tetapi dia tetap enggan, dan dengan nada yang kasar berkata,
“I speak English for you because you are a foreigner!”
Itu memang baik bagi orang asing yang tidak boleh berbahasa Melayu. Tetapi apa rasionalnya penutur asli bahasa Melayu bercakap bahasa Inggeris dengan orang asing yang lemah bahasa Inggerisnya, tetapi boleh bercakap bahasa Melayu? Saya pun mula naik radang, lalu berkata, “Takkan semua orang asing pandai cakap bahasa Inggeris! Lagi pun bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Apa salahnya saya cakap Melayu?”
Dia pula terus bermuka masam, dan mula melambat-lambatkan urusan, dengan bertanya itu dan ini, soalan yang hampir tidak ada kena-mengena dengan urusan imgresen, semuanya dalam bahasa Inggeris. Jawapan saya tetap dalam bahasa Melayu. Setelah selesai urusan di sana, saya mengambil pasport yang diserahkan tanpa megnucapkan terima kasih kepadanya.
Satu lagi pengalaman sedemikian berlaku apabila saya membentangkan kertas kerja dalam satu seminar tentang bahasa dan sastera Melayu. Kesemua kertas kerja dan pembentangan adalah dalam bahasa Melayu. Setelah selesai pembentangan, disediakan minum pagi. Ada seorang wanita Melayu yang juga pembentang kertas kerja mendekati saya dan memuji pembentangan saya dengan berkata,
“Your Malay is very good. I was so impressed by your presentation! Where did you study Malay?”
Saya gembira kerana pembentangan saya dipuji oleh orang, tetapi tidak gembira kerana pujian itu tidak diberikan dalam bahasa yang saya gunakan dalam pembentangan tadi. Saya pun menjawab soalannya dalam bahasa Melayu.
Bukan itu sahaja, apabila menonton berita televisyen di Malaysia, ahli politik bukan Melayu lebih banyak menggunakan bahasa Melayu, manakala ahli politik Melayu pula ramai yang  tidak menggunakan bahasa Melayu, atau mencampuradukkannya dengan bahasa Inggeris. Saya tidak pernah melihat ahli politik Jepun menjawab soalan wartawan tempatan dalam bahasa asing. Tetapi di Malaysia, soalan yang diajukan dalam bahasa Melayu kerap kali dijawab dalam bahasa asing. Satu keadaan yang sungguh menghairankan.
Sebenarnya banyak lagi kejadian yang boleh melemahkan semangat orang asing yang ingin mempelajari bahasa Melayu, kerana bahasa yang kami pelajari dengan sungguh-sungguh tidak pula diutamakan oleh sesetengah penutur aslinya sendiri.
Saya berharap bahasa yang begitu bermakna bagi saya tetap berkembang di persada dunia. Saya juga akan terus berusaha untuk mengambil bahagian dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu, kerana saya terhutang budi kepada masyarakat Melayu, terutamanya guru-guru dan sahabat-sahabat saya dalam mempelajari bahasa Melayu. Tetapi pada masa yang sama, masyarakat Melayu juga perlu menukar perspektif yang negatif terhadap bahasa Melayu.
Saya ingin melihat bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa utama di dunia. Dari segi kemampuan bahasa itu sendiri, saya yakin tahap itu sudah pun tercapai. Ini perlu disertakan dengan sikap penutur yang penuh bangga dengan bahasanya sendiri. Saya berasa bangga dengan bahasa Melayu yang selama ini saya pelajari. Tetapi kenapa pula masih ada orang Melayu yang tidak bangga dengan bahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa ibunda mereka? 

dari: http://www.deepsouthwatch.org/dsj/4443

2 ulasan:

  1. Ada seorang tua,,yg d kenali pak ngah rasid,,tinggl d kuala nerang,,,asal dri thailand,,pattani,,,slalu brckap2 tntang kmpulan BRN ,,,singgah ada org yg infak kn harta mreka untk BRN,,tp pak ngah rasid itu ,makan harta itu,,trnyata dia seorang,,,PENIPU,PEMBELOT,PEMAKAN HARTA HARAM,,MUNAFIK,,PENJILAT SIAM,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sesunguhnya perjuangan untuk meninggikan kalimah allah tiada ada syarat seperti yang disyaratkan brn,JIKA HENDAK BERJIHAD SESEORANG ITU PERLU MENJADI WALI ALLAH DAHULU!tidak pernah ada hadis yang menyatakan sedemikian,sesunguhnya perjuangan anggota brn adalah perjuangan yang sia2 ,kepada anggota brn ana nasihatkan berjihatlah kerana allah jangan kita berjihat untuk mengharap sesuatu didalam jihat yang dilaksanakan,bertaubatlah .

      Padam