By Abu Hafez Al-Hakim
Pada
awal bulan September 2013 pihak BRN telah mengemukakan penjelasan
terperinci mengenai Tuntutan Awal 5 perkara kepada pihak Kerajaan Thai
melalui Fasilitator (Malaysia). Adalah dijangkakan pihak Thai akan
memperhalusinya dan memberi respon secara rasmi sama ada mahu
menerimanya untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama
(Joint-Working-Group, JWG) kali ke-5. Jawapan tersebut akan menjadi
penentu apakah Proses Dialog Damai Kuala Lumpur dapat diteruskan atau
sebaliknya.
Setakat
ini perjalanan Proses Damai KL "tergantung" untuk seketika kerana pihak
BRN masih menunggu jawapan rasmi daripada kerajaan Thai sebelum dialog
disambung semula. Adalah difahamkan pergantungan ini merupakan
keputusan daripada Majlis Syura BRN yang diisytiharkan pada bulan
Ramadhan yang lalu oleh anggota Angkatan Bersenjata BRN melalui
Youtube.
Ramai
pihak, termasuklah Tentera (Thai), pembangkang (baca: Parti Demokrat)
dan pengamal media tertentu, tanpa usul periksa telah merumuskan bahawa
Proses KL sudah menghadapi jalan buntu, atau sudah MATI (mengikut
pandangan editorial surat khabar bahasa Inggeris The Nation). Mereka
cepat pula menggesa pihak kerajaan menilai semula peranannya atau pun
mencari kumpulan lain (selain dari kumpulan sekarang yang diketui oleh
Ustaz Hassan Taib) untuk berunding. Mereka menganggap tuntutan awal 5
perkara itu sebagai sesuatu yang keterlaluan dan pihak BRN sengaja
mengutarakannya untuk meletakkan kerajaan Thai dalam keadaan serba
salah, lalu mengambil keputusan menolaknya, sekali gus memberhentikan
proses damai.
Namun,
hakikat sebenar ialah pihak BRN, melalui penjelasan tersebut, BUKAN
supaya pihak Thai MENERIMA dan MELAKSANAKAN kesemua 5 perkara itu,
sebaliknya hanya mahu pihak Thai MENERIMAnya sebagai asas UNTUK
DIBINCANGKAN dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang. Tujuannya adalah
semata-mata mahu MELETAKKAN PERJALANAN PROSES DAMAI KL DI ATAS
LANDASAN YANG BETUL.
Sehingga
kini kandungan dokumen penjelasan BRN (setebal lebih 20 muka surat itu)
dalam bahasa Inggeris masih belum didedahkan kepada khalayak umum di
Thailand. Namun, difahamkan bahawa dokumen tersebut telah pun diedarkan
ke beberapa agensi kerajaan tertentu bagi membolehkan ia diteliti dan
diperbahaskan. Beberapa pengamal media tertentu telah mendapat akses
kepada dokumen tersebut secara sulit dan telah diulas dan disiarkan
beberapa bahgiannya di dalam akhbar mereka.
Sudah tentu yang paling mendapat perhatian dan banyak dibahaskan ialah Tuntutan Awal perkara 4 yang bersangkut paut dengan HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI. (Sila baca penjelasan penulis mengenai topik ini dalam: http://www.deepsouthwatch.org/ms/node/4740 dan terjemahan Thai - http://www.deepsouthwatch.org/node/4757 ) .
Antara elemen penting yang dikatakan terdapat dalam perkara 4 dokumen BRN itu ialah :
1. Kerajaan Thailand perlu mengiktiraf bumi Patani sebagai HAK (milik) Komuniti Bangsa Melayu Patani.
2. Kerajaan Thailand perlu memberi PELUANG dan RUANG untuk Komuniti
Bangsa Melayu Patani MENTADBIR Wilayah Selatan Thai sesuai dengan Hak
Penentuan Nasib Sendiri (Right of Self-Determination) melalui
pentadbiran berasaskan AUTONOMI sebagai Wilayah Pentadbiran Istimewa
(Special Administrative Region) dalam Negara Thailand. Turut dijadikan
contoh ialah autonomi terhad yang dinikmati Bangkok dan Patthaya.
3. BRN tidak akan menuntut pemisahan wilayah dari Thailand.
SECARA
RINGKASNYA BOLEH DISIMPULKAN BAHAWA BERDASARKAN DOKUMEN TERSEBUT, BRN
MENUNTUT PENTADBIRAN AUTONOMI KE ATAS BUMI PATANI DAN TIDAK AKAN
MEMISAHKAN WILAYAH TERSEBUT DARI THAILAND.
Di
sinilah timbulnya beberapa persoalan dan tanda tanya dari pelbagai
pihak, baik dari kalangan pejuang, aktivis, pengamal media, pemerhati
politik, rakyat umum dan juga orang kerajaan. Bagaimana mungkin
sebuah pertubuhan perjuangan pembebasan seperti BRN yang telah sekian
lama melancarkan perjuangan bersenjata terhadap kerajaan Thai selama
lebih setengah abad dengan matlamat akhir KEMERDEKAAN, boleh bersetuju
untuk menerima pentadbiran otonomi dalam Negara Thai? Apakah BRN sudah
buang cita-cita pembebasan dan kemerdekaan dan mahu sekadar autonomi
seperti Bangkok dan Patthaya? Di satu pihak lagi pula sangsi apakah ada
niat tersembunyi BRN dalam usahanya menuntut autonomi sebagai langkah
awal ke arah kemerdekaan penuh?
Sebelum
dibicarakan lebih lanjut ada baik juga kita kembali rujuk kepada
beberapa siri kenyataan BRN yang telah disiarkan melalui YouTube
setelah Majlis Tanda-tangan Persetujuan Umum berhubung Proses Dialog
Damai di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2013.
1. Dari klip YouTube 1:
"Tujuan BRN dibentukkan sebagai Barisan Nasional Melayu Patani ini adalah untuk nak menyatukan bangsa
Melayu Patani di bawah satu barisan dalam semua lapisan masyarakat,
sebagai pejuang rakyat Patani. Sesudah itu kita akan menyatukan bangsa
Melayu menjadi satu kekuatan wadah umat. Sesudah itu baru kita akan
dapat kebebasan. Dan sesudah itu kita akan dapat menjalankan pemerintahan
kita seadil-adilnya. Oleh kerana itu saya harap, saya minta kepada
semua rakyat Patani semua keturuan, baik daripada Siamkah, Melayukah,
Cinakah, yang ada di bumi Patani, tak usah ragu-ragu, tak usah bimbang,
khuatir tentang keadilan ini.
Itulah sahaja, saya kira. gambaran ringkas daripada BRN tentang perjuangan dia akan menuju kepada keadilan, kemakmuran sehingga terbentuk sebuah Negara.
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ " - Ustaz Hassan Toyib.
2. Dari klip YouTube 2:
"Di
sinilah lahirnya gerakan pembebasan bangsa Melayu Patani dari
penjajahan Siam. Maka kami sanggup berkorban jiwa raga dan harta benda
untuk memperjuangkan hak demi pembebasan rakyat Patani dari belenggu penjajahan." - Hj Adam Muhammad Noor - delegasi BRN.
3. Dari klip YouTube 3:
"Setelah Siam menjajah Bumi Patani, kemudian melakukan penindasan dan kezaliman terhadap bangsa Patani, maka lahirlah BRN dalam usaha menyatukan rakyat, untuk membebaskan bangsa Patani dari belenggu penjajahan Siam." Ustaz Hassan Taib .
Dari ketiga-tiga klip di atas dapat dirumuskan bahawa tujuan
penubuhan BRN adalah untuk menyatukan Bangsa Melayu Patani dalam satu
Kesatuan Ummah, menuntut pembebasan dari belenggu penjajahan dan
mendirikan pemerintahan sebagai sebuah negara.Perlu dinyatakan juga bahawa lain-lain pertubuhan perjuangan Patani pun punyai tujuan dan matlamat yang serupa, baik PULO (Patani United Liberation Organisation), BIPP (Barisan Islam Pembebasan Patani ) atau GMIP (Gerakan Mujahidin Islam Patani), kesemuanya meletakkan PEMBEBASAN (Liberation) sebagai jalan dan KEMERDEKAAN (Independance) sebagai matlamat akhir. Kalau ada pun perbezaan di kalangan mereka cuma dari segi susun atur (strategi) dan pendekatan yang diambil sahaja. Sesetengahnya menumpu kepada gerakan bersenjata, ada yang lebih kepada diplomasi luar negara (antarabangsa) dan ada juga yang menitik beratkan soal memperkasakan modal insan (pendidikan), ekonomi ummah dan penyusunan massa. Secara umumnya kesemua pertubuhan-pertubuhan itu mengambil sikap tiada kompromi, tiada kerjasama dan tiada negosiasi (rundingan) dengan pihak Thai.
Jadi sudah jelas bahawa sejak ditubuhkan lebih kurang 50 tahun lalu kesemua pertubuhan perjuangan Patani masih komited dengan matlamat asal, iaitu kemerdekaan. Sehingga ke saat ini TIDAK ADA mana-mana pertubuhan pun yang secara rasmi membatalkan niat mereka untuk mencapai kemerdekaan.
Tiba-tiba rakyat Patani dikejutkan dengan tindakan BRN bersetuju menyertai Proses Dialog Damai KL dengan kerajaan Thai. Ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan andaian dari banyak pihak yang kini telah diketahui umum. Sepanjang proses ini berlangsung kejutan demi kejutan berlaku. Bermula dari perubahan komposisi anggota deligasi BRN yang lain daripada yang muncul pada hari tanda tangan (selain Ketua deligasi Ustaz Hassan Taib), beberapa klip video BRN melalui YouTube, Inisiatif "cease-fire" Ramadhan, pergantungan proses dialog atas keputusan Majlis Syura BRN dan yang terkini ialah dokumen penjelasan BRN mengenai Tuntutan Awal 5 perkara.
Apakah erti semua ini? Adakah ia benar seperti tanggapan sesetengah pihak bahawa Proses Dialog Damai KL ini hanya sekadar SANDIWARA ? Apakah SIKAP SEBENAR BRN dan lain-lain pertubuhan yang bersama dengannya di meja rundingan (PULO dan BIPP)? Apakah pihak Thai akan akur dengan tuntutan BRN? Apakah Malaysia selaku fasilitator punyai AGENDA TERSEBUNYI?
Ternyata ada perkara yang sangat bertentangan di sini. Dalam mengejar cita-cita pembebasan dan kemerdekaan pihak BRN dan sekutunya sanggup terima autonomi dibawah pemerintahan Thai. Bagaimana mungkin ?
Semuanya ini akan dikupaskan secara terperinci dalam Bahgian ke-2 nanti .
Cuka dan Madu - Dari Luar Pagar Patani
Zul Hijjah/ Oktober 2013
Dari: http://www.deepsouthwatch.org/node/4821 (Bahasa Melayu)
http://www.deepsouthwatch.org/dsj/4849 (Bahasa Thai)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan