rencana@utusan.com.my
KETUA Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab (tengah) menyaksikan Ketua Perhubungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia, Hassan Taib (kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Thailand, Lt. Jeneral Pharadorn Phatthanatabutr menandatangani dokumen persetujuan bagi melancarkan proses dialog keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, pada 2013. - BERNAMA
PADA 28 Februari ini, genap setahun kerajaan Malaysia diberi amanah oleh kerajaan Thailand di bawah pemerintahan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra sebagai pemudah cara bagi mendamaikan pihak kerajaannya dengan pejuang pembebasan di selatan negara berkenaan.
Sebagai sebuah negara jiran paling hampir kedudukannya dengan selatan Thailand, Malaysia mengambil tanggungjawab tersebut dengan harapan konflik yang telah mengorbankan banyak nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa melalui pelbagai bentuk serangan pengeboman dapat dihentikan segera.
Walaupun di peringkat ini pertelagahan antara dua pihak masih belum reda sepenuhnya, namun pembabitan Malaysia hampir setahun lalu sebagai pemudah cara atau fasilitator dalam konflik tersebut sedikit-sebanyak telah berjaya membuahkan hasil.
Sehingga hari ini, Fasilitator Kerajaan Malaysia Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai Selatan Thailand diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim telah mengadakan empat siri dialog melibatkan kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang pembebasan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).
Meskipun sekadar dialog antara wakil-wakil kerajaan Thailand dan wakil-wakil pejuang pembebasan, namun usaha keras Malaysia menemukan kumpulan yang bertelagah itu boleh disifatkan sebagai satu kemenangan moral memandangkan selama ini pihak terbabit langsung tidak mahu mengadakan sebarang perjumpaan.
Bukan itu sahaja, hasil daripada empat dialog tersebut, pihak yang mewakili selatan Thailand tidak lagi dipanggil sebagai pengganas atau pemberontak tetapi sebagai pejuang pembebasan.Kejayaan mempertemukan dua pihak yang bertelagah itu juga boleh dianggap sebagai perintis kepada usaha yang lebih besar lagi pada masa akan datang termasuk mengadakan gencatan senjata bagi mengembalikan semula kedamaian hakiki di kawasan bergolak tersebut.
Menurut fakta, pertelagahan yang melibatkan kedua-dua pihak itu telah berlanjutan selama 105 tahun (bermula 1909).
Cuma usaha itu memerlukan komitmen yang lebih tinggi serta penglibatan lebih luas iaitu bukan sahaja membabitkan BRN dan PULO malah perlu melibatkan juga pelbagai pihak yang berkepentingan di selatan Thailand termasuk pejuang pembebasan berskala kecil.
Isu PULO juga menarik untuk disentuh di dalam tulisan ini kerana wakilnya dalam empat siri dialog sebelum ini tidak mewakili PULO secara keseluruhan. Di selatan Thailand, PULO bukan satu tetapi tiga kumpulan berlainan dan masing-masing mempunyai presiden antaranya Kasturi Mahkota yang kini tinggal di Sweden.
Buat masa ini, hanya Kasturi lebih dikenali kerana kebijaksanaannya menggunakan media untuk mempromosi diri berbanding dua presiden lain dan lebih mencabar lagi, ketiga-tiga pertubuhan PULO itu berpatah arang antara satu sama lain.
Sehubungan itu, cabaran yang dihadapi oleh Ahmad Zamzamin selaku fasilitator kerajaan Malaysia ialah mendamaikan ketiga-tiga PULO itu agar proses perundingan damai berjalan lancar serta tanpa gangguan.
Alhamdulillah, Ahmad Zamzamin, seorang yang amat berpengalaman dalam isu berkaitan selatan Thailand berjaya mendamaikan ketiga-tiga PULO tersebut dalam satu misi khas, baru-baru ini. Melalui misi tersebut, ketiga-tiga presiden PULO berkenaan bersetuju bekerjasama bagi membolehkan keamanan dikembalikan di selatan Thailand dan usaha itu juga dikenali sebagai Deklarasi Muharram.
Berbalik kepada empat sesi dialog yang telah diadakan sebelum ini, kebanyakan topik yang dibincangkan ialah mengenai ketidakpuasan hati kumpulan pejuang pembebasan terhadap tindakan kerajaan Thailand yang selama ini didakwa tidak adil dan melakukan penindasan terhadap penduduk di kawasan itu khususnya orang Melayu.
Persoalan sama ada isu agama menjadi sebab utama berlakunya ketegangan antara kedua-dua pihak, faktor tersebut bukan penyumbang terbesar sebaliknya lebih kepada soal keadilan khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada penduduk-penduduk Melayu di selatan Thailand.
Walau apa pun, sepanjang empat dialog yang telah diadakan sebelum ini, masing-masing bersedia mendengar setiap luahan daripada kedua-dua belah pihak terutamanya di pihak kerajaan Thailand, menurut Ahmad Zamzamin dalam satu pertemuan baru-baru ini.
''Saya perhatikan wakil kerajaan Thailand duduk, diam dan mendengar setiap luahan hati pejuang-pejuang pembebasan dan bagi saya ini satu petanda yang baik," katanya yang dilantik sebagai fasilitator oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac 2013.
Bagaimanapun untuk siri dialog akan datang, Ahmad Zamzamin amat berharap kedua-dua pihak dapat membincangkan sesuatu yang lebih besar dan bukan hanya meluahkan perasaan yang terbuku selama ini.
Kata beliau, dialog kali kelima kelak perlu ada anjakan dari segi intipati perbincangan supaya usaha mengembalikan kedamaian di selatan Thailand mengikut rangka kerja yang telah ditetapkan. Cuma beliau belum dapat tetapkan tarikh dialog akan datang memandangkan keadaan politik negara itu yang masih bergelora.
Berdasarkan perkembangan terkini, keadaan di Thailand amat kritikal. Terbaru, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menghalang penyerahan kertas undi ke pusat-pusat pengundian, mengakibatkan pilihan raya terpaksa dibatalkan di hampir 10 peratus daripada 90,000 pusat pengundian di seluruh negara tersebut.
Pada dialog akan datang, Ahmad Zamzamin mahu wakil dari selatan Thailand bukan setakat pejuang pembebasan bahkan diwakili pelbagai lapisan masyarakat seperti ulama, imam, ahli akademik, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Beliau berhasrat melihat perbincangan di dalam dialog tersebut lebih menyeluruh, konkrit selain bersifat ilmiah bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat sekali gus membuka ruang ke arah satu usaha lebih besar selepas ini seperti gencatan senjata.
Secara jujurnya beliau yakin kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai komitmen yang cukup tinggi untuk berunding dan seterusnya berdamai demi kesejahteraan penduduk di selatan Thailand.
''Apa yang perlu kita lakukan ialah menemukan mereka pada satu titik persamaan dan inilah yang sedang kita usahakan secara bersungguh-sungguh. Saya optimis detiknya akan tiba satu hari nanti," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui pihak sekretariat terpaksa mengubah suai rangka kerja misi perdamaian tersebut ekoran perkembangan semasa di Thailand ketika ini.
''Namun begitu secara peribadi saya sebenarnya percaya sesiapa sahaja yang memerintah Thailand akan komited dengan usaha perdamaian di selatan negara itu seperti yang berlaku antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
''Inilah sumbangan kerajaan Malaysia dalam usaha mengembalikan kedamaian di kawasan tersebut," ujarnya lagi.
Terdapat empat kawasan utama yang diduduki oleh majoriti kaum Melayu di selatan Thailand iaitu Yala, Narathiwat, Songkhla dan Pattani.
Ditanya sekiranya timbul isu tuntutan kemerdekaan di selatan Thailand, beliau menegaskan, misi kerajaan Malaysia adalah memudah cara proses dialog bagi menyelesaikan konflik di selatan Thailand dan tidak lebih daripada itu.
''Kita perlu menghormati kedua-dua pihak sama ada pejuang kebebasan mahupun kerajaan Thailand. Thailand adalah negara berdaulat dan kita perlu menghormati kedudukan itu. Tambahan pula Thailand adalah tetangga kita paling hampir. Mereka memilih kita atas dasar kepercayaan dan atas faktor geografi," ujarnya.
Oleh itu beliau berkata, perkara tersebut tidak seharusnya timbul dan jika berlaku juga Malaysia akan menarik diri daripada menjalankan tanggungjawab sebagai fasilitator.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140211/re_01/Komitmen-Malaysia-di-selatan-Thai#ixzz2szp7dVjj

Tiada ulasan:
Catat Ulasan