Rabu, 8 Disember 2010

CITIZEN JULING, Matinya Guru di Kucing Buta

CITIZEN JULING, Matinya Guru di Kucing Buta(Rencana ini dimuat dalam majalah Milenia Muslim edisi bulan Januari 2009)

Dalam ramai guru yang menjadi mangsa konflik Selatan Thai, nama Khru Juling Pongkunmul banyak lekat diingatan rakyat Thailand kerana aksi brutal terhadapnya. Guru pendidikan seni di sekolah rendah kampung Gujingruepo (Kucing Buta), Narathiwat itu telah diculik dan dipukul teruk pada May 2006, telah menyebabkan beliau koma selama lapan bulan. Akhirnya meninggal dunia Januari 2007 ketika masih dalam ICU pada usia 24 tahun.

Yang menimbul kemarahan masyarakat Thai adalah kerana Juling dikerjakan oleh segolongan surirumah penduduk kampung tersebut, juga ibu-ibu kepada murid-murid yang diajar Juling. Biasanya guru-guru menjadi mangsa tembak. Justeru itu, tragedi menimpanya mendapat perhatian dan simpati masyarakat Thai begitu meluas.Hingga beliau diangkat sebagai hero masyarakat. Seterusnya ikon guru.

Media-media pula sentiasa menggambarkan kecekalan beliau mendidik anak bangsa. Beliau dianggap seorang guru yang berani dengan mengenetepikan segala halangan dan persepsi masyarakat dan keluarganya di utara mengenai ancaman di selatan demi mengajar erti toleransi buat anak-anak Pattani melalui pendidikan seni. Lukisan-lukisan beliau banyak menggambar hal sedemikian. Untuk itu media Thai melabelkannya sebagai '' Sleeping Beauty'' ketika beliau terlantar koma di ICU.

Sesungguhnya ramai orang Thai emosi apabila bercakap tentang Juling. Tidak hairan ada yang mengambil kes Juling untuk membenarkan tindakan lebih keras ke atas penentang selatan. Tidak terkecuali kerajaan pimpinan Thaksin yang tidak mahu memberi muka kepada pemberontak selatan.

Namun tidak bagi aktivis filem Thai, Ing K dan Manit Sriwanichpoon serta Kraisak Choonhavan, ahli parlimen Parti Demokrat ketika itu, melihat kes Juling satu pintu untuk memahami konflik yang berlaku dengan membikin sebuah dokumentari bermula dari insiden tersebut.Untuk itu judulnya diberi nama Citizen Juling ( Polamuang Juling) yang bergerak dalam masa 222 minit. Bahasa yang digunakan loghat Melayu Pattani selain bahasa Thai. Asas utama pembikinan filem tersebut adalah untuk memahami konflik sekurang-sekurangnya dapat memberi pandangan yang lebih bertanggungjawab pada masa akan datang tanpa terlalu terikut dengan sentimen nasionalisme.

Selama ini kita mendapat dan memberi pandangan buruk setiap perkara yang berlaku di selatan, kata Kraisak. Beliau percaya, filem ini boleh mendedah perkara sebenar yang berlaku. "Mungkin saya boleh bercakap banyak perkara dalam filem,'' ujarnya lagi berbanding kesuntukan ruang di parlimen. Oleh itu pembikinan dokumentari ini tidak seperti filem yang lain, ia tidak mengandungi naratif yang jelas tetapi dibikin secara spontan supaya khalayak dapat menilai keadaan sebenar dalam masyarakat.

Bertitik-tolak dari itu, Kraisak bergerak dengan kamera mengikutinya, bertemu dan cuba menyelami perasaan semua lapisan masyarakat tidak kira Islam mahupun Buddha. Bermula dari ketua kampung kepada penduduk, pelajar, imam-imam hingga ahli politik. Juga dihadapi Kraisak, saudara mara suspek yang ditahan pihak berkuasa atau yang sudah terbunuh. Pengembaraan video Kraisak berakhir di hospital yang menempatkan Juling yang koma.

Semua ini dapat dihasilkan kerana imej Kraisak yang lebih dikenal seorang lantang bercakap mengenai keadilan untuk selatan.Kerana itu beliau senang mendampingi penduduk. Selama ini masyarakat Islam di wilayah konflik boleh dianggap 'bisu'. Mereka tersepit di tengah-tengah antara pihak kerajaan dan pemberontak yang tidak jelas identiti. Mereka takut bertemu pegawai-pegawai kerajaan dan tidak tahu memberi nasihat buat pemberontak. Kerjasama yang diperolehi Kraisak ini telah melahirkan filem dokumentari yang kaya dengan kesedihan, kekeliruan dan pendedahan yang bertahun-tahun terpendam.

Ambil sahaja contoh ini, bapa seorang anak yang terkorban dalam tragedi Masjid Krue Sue, menangis dan berharap keadilan untuk anaknya dapat dipercepatkan. Dan juga balu-balu yang kehilangan suami dalam tragedi tersebut yang mahu keadilan. Mungkin bagi masyarakat Thai ini mengelirukan. Mengapa pula mahu keadilan untuk mereka? Sedangkan mereka itu terlibat dalam serangan terhadap tentera dalam kejadian tersebut. Sebenarnya bagi masyarakat Islam selatan, lebih-lebih lagi keluarga mangsa tetap beranggapan anak-anak mereka itu telah diperguna pihak berkuasa dalam usaha kerajaan mencari dalang sebenar pelaku keganasan. Teori diperguna pihak berkuasa ini menguasai masyarakat Islam.Mereka percaya sampai hari ini. Walaupun kerajaan mengatakan mereka menyertai pemisah atau diperguna pemisah.Walaupun hasil forensik kerajaan yang mengatakan mereka itu di bawah pengaruh dadah.

Selain itu Citizen Juling juga mendedahkan keadilan gagal ditegakkan. Ramai yang ditahan di bawah undang-undang tentera sesuka hati. Bertimbun-timbun kes tertunggak di makhamah. Dimana keadilan? Begitu juga dengan kes Juling. Buat orang Islam atau lebih tepat lagi penduduk kampung Gujingruepo, mereka mempunya cerita dan alasan tersendiri, bagaimana insiden ini boleh berlaku. Sayangnya, mereka tidak menjelaskan terang-terang kepada Kraisak.

Mengikut hasil temuramah dengan saudara mara dan bekas guru Juling apa yang kita dapat ialah Juling seorang yang bijak, perwatakannya ala-ala tomboy, seorang yang lasak; pemanjat pokok dan pernah menyelamat ular tedung dari dibunuh penduduk kampung. Kesihan, Juling tersalah tempat mengajar. Tidak salah rasanya mengatakan, insiden tersebut boleh berlaku disebabkan oleh pertembungan budaya ekstrem antara kedua-duanya. Juling berasal dari Chiang Rai tentunya dibesar dalam suasana ekstrem cara utara, hadir sebagai guru dan berdepan pula masyarakat di wilayah konflik yang hidup dalam ''kepanasan'' sejak bertahun-tahun lalu.

Kehadiran orang seperti Juling boleh di salah anggap.Lantas, apalagi orang seperti Juling dicap mata-mata kerajaan oleh pemberontak. Yang menjadi persoalan adakah guru muda seperti Juling cukup faham untuk mengajar di tiga wilayah bergolak?Atau apakah persiapan lain yang perlu ada pada guru yang ingin mengajar di selatan?Apapun moral buat kerajaan Thai, asingkan pendidikan dari propaganda politik.

Menyelami Citizen Juling akhirnya memberi jawapan kepada soalan pertama Ing K, Manit Sriwanichpoon dan Kraisak Choonhavan atau juga soalan orang Thai yang lain iaitu mengapa ada ibu-ibu sanggup membunuh guru yang mengajar anak-anak mereka?

Untuk itu, Ing K mengungkap begini dalam satu temual stesen radio:''Bila saya ke kampung( Gujingruepo) ini, ia sebuah tempat yang indah di selatan Thai; hijau, damai, penuh dengan ketenangan tetapi tentulah sekatan dan kubu-kubu beg pasir ada di mana-mana." Beliau menyambung, itu pada siang hari, bila tiba waktu malam, ketakutan dan kecurigaan menguasai segenap ruang kehidupan.Dan tiada lagi yang indah.Semuanya berkurung dalam rumah, dalam bilik masing-masing. Jelas sekali,semua ini berakar dari rasa curiga-mencurigai antara satu sama lain -- orang Islam dengan tentera -- orang Islam dengan penduduk Buddha -- orang Islam dengan orang luar.

Keruntuhan nilai kepercayaan ini pula berpunca dari ketidakadilan banyak berlaku dalam menangani konflik yang berakar berpuluh-puluh tahun dahulu. Oleh itu, jurang syak ini semakin menjarak saban hari bermula dari kegagalan kerajaan lalu hingga kini kerana oleh ketiadaan polisi yang konkrit dari kerajaan sekarang. Tambahan pula pemberontak tidak diam dengan propaganda meraih simpati.

Soalnya, adakah penduduk kampung percaya pada Juling dari utara? Oleh kerana dokumentari ini dirakam ketika pemerintahan Thaksin, jelas sekali Kraisak ingin memapar kegagalan kerajaan masa itu dalam menangani konflik yang melarat hingga kini. Seolah-olah Kraisak ingin meletak semua masalah di Thai kini bermula dari Thaksin.Itulah kelompangan yang ada pada Citizen Juling. Isu sebenar tidak digali dengan mendalam. Hanya menyalah satu pihak.

Buat penyokong parti pembangkang mereka bersetuju dengan filem ini, mungkin tidak buat penyokong parti kerajaan PPP. Bagi pemberontak pula masalah di selatan bukan soal kepimpinan di Bangkok tetapi ini soal kedaulatan kekuasaan Melayu-Islam. Tidak kira siapa yang memerintah di Bangkok pemberontak akan berlaku. Namun, setidak-tidaknya kehadiran filem ini dapat memberi dimensi baru ke arah saling memahami.Dengan harapan keadilan dapat ditegakkan. Semoga kehadiran filem ini orang Thai tidak hanyut dengan slogan tidak rasmi kebanggaan mereka; kami ada matahari, ada laut dan ada seks yang menjadi rencah dalam filem Thai.
 
Sumber: http://aebooker.blogspot.com/2010/12/citizen-juling-matinya-guru-di-kucing.html?spref=fb

Tiada ulasan:

Catat Ulasan