Ahad, 12 Disember 2010

Keciciran Pelajar Melayu Patani

Keciciran Pelajar Melayu Patani
Oleh: Isma Ae Mohamad

Pahit untuk ditelan tatkala melihat anak-nak Patani ramai yang tercicir dari arus pendidikan samaada perdana Thailand mahupun aliran sekolah agama atau tradisional pondok. Walaupun tidak dapat dibuktikan melalui data-data tetapi masalah ini dapat dilihat di kalangan masyarakat Patani.

Jika kita melawat ke kampung-kampung di Selatan Thai khususnya tiga wilayah bergolak, kita dapat merasai hakikat ini. Ataupun pergilah ke restoran-restoran Tom Yam di sini ( Malaysia), tentu ada anak-anak Patani yang selayaknya di bangku sekolah berkerja di situ. Dan ia bukan rahsia lagi.Ramai antara mereka ini berumur bawah 18 tahun,ada yang baru berusia 13 tahun sudah pun berkerja di sini.

Rata-rata anak-anak Patani, pada fikiran mereka hanya nampak untuk berkerja di Malaysia atau Singapura terutama di restoran Tom Yam.Contohnya, Fauzi, baru berusia 15 tahun, berasal dari daerah Muang, Patani, sudah pun berkerja di sini sebagai pencuci pinggan mangkuk. Tentulah beliau tidak habis belajar di sekolah. Apabila ditanya,mengapa tidak belajar, jawapanya, dia rasa tiada masa depan untuk itu, baik berkerja.Seorang lagi, Muhamad,14 tahun, sedang mencari atau menunggu peluang untuk berkerja di Malaysia. Beliau hanya sempat belajar di tingkatan satu sekolah agama hanya setahun iaitu pada tahun lepas. Tahun ini dia tidak mahu lagi belajar. " Malas dan tidak suka dengan sistem sekolah,'' katanya. Habis ikhtiar keluarganya supaya dia terus belajar.

Satu lagi kisah ialah tentang seorang ibu yang gagal dalam mencapai impian dalam memberi pendidikan buat anak-anaknya. Beliau bernama Habibah Che Ngah, seorang guru al-Quran di Patani. Lebih kurang lima tahun lepas,beliau bersemangat menceritakan tentang impiannya itu. Termasuk keinginan menghantar empat anaknya ke Malaysia melanjut pendidikan. Atau setidak-tidaknya anak perempuan sulung tamat kelas sepuluh sekolah agama ( tingkatan enam).

Dari segi kewangan beliau tidak mempunyai masalah kerana harta peninggalan arwah suaminya cukup untuk mereka.Namun, apa yang dirancangnya jauh meleset. Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, jelas terpapar rasa kecewa di wajahnya.Semuanya tidak menjadi.'' Segala-galanya sudah diberikan kepada anak-anak, cukup duit pitis,'' katanya meskipun redha dengan ketentuan ilahi. Semua empat anaknya tidak tamat sekolah atau tidak mahu ke sekolah. Yang perempuan sulung, baru berusia 16 tahun terpaksa dikahwinkan. Anak lelaki keduanya, tidak mahu sekolah lagi, sekarang berkerja di Malaysia.Kegagalan anak-anaknya menamatkan persekolahan disebabkan oleh persekitaran masyarakat yang masih sempit pemikiran terhadap pendidikan. Dengan kata lain ramai yang tidak habis sekolah di kampung-kampung. Ini saling mempengaruhi antara satu sama lain.Mereka merasakan cukup buat anak-anaknya jika pandai membaca atau bercakap Siam dan paling penting tahu mengaji al-Quran serta tahu sedikit hukum hakam.

Kenyataan ini dipersetujui oleh seorang pentadbir sekolah agama di Patani, Tuan Guru Ahmad Kamae, yang berpendapat masalah keciciran ini berlaku disebabkan oleh kurang kesedaran ibubapa tentang pendidikan untuk anak mereka. Sekaligus mewujudkan masyarakat yang tidak cakna pada sekolah.Ramai anggap sekolah ini untuk golongan berada, golongan miskin hanya sekadar tahu membaca dan menulis. Ia menjadi cabaran buat ibubapa yang mementingkan pendidikan buat anak mereka.

Juga, katanya, masyarakat melihat pendidikan tidak memberi peluang pekerjaan yang baik. Pandangan ini timbul kerana masalah ekonomi yang dihadapi sekarang ini.Pengangguran lepasan universiti banyak berlaku. Yang paling membimbangkan katanya: ''Ramai yang berpendapat mereka yang belajar tinggi-tinggi ( terutama pendidikan agama ) apabila pulang nanti akan memecahbelahkan masyarakat dengan fahaman-fahaman baru.'' Persepsi seperti ini secara tidak langsung membantutkan usaha memerdekakan minda ramai umat Patani yang sedang terkongkong oleh pemikiran minoriti.

Lebih menyedihkan lagi, ramai juga ibubapa Patani yang mengabai terus persekolahan anak mereka. Iaitu tidak menyekolah anak mereka. Kes ini banyak berlaku di kawasan pedalaman Kelantan terutama di kalangan ibubapa yang berkerja menoreh getah di sana. Biasanya ibubapa ini membawa semua anak mereka. Kemiskinan biasa diberi alasan mengapa tidak sekolahkan anak. Tindakan ini sebenarnya akan menyusahkan anak-anak mereka apabila pulang ke Thailand kelak. Anak -anak ini tidak tahu berbahasa Siam,apatah lagi membaca atau menulis. Ini yang akan menjadi masalah dengan negara. Seterusnya mereka ini senang dipergunakan pihak tertentu.

Di Thailand semua murid-murid belajar di sekolah dasar atau rendah dalam satu aliran iaitu sekolah kebangsaan. Namun, di peringkat menengah, umumnya,pendidikan di Selatan Thai terbahagi beberapa aliran.

Pertama, sudah tentu sekolah aliran kebangsaan Thai yang rata-ratanya dipenuhi anak-anak Melayu dari golongan elit atau berada. Kebanyakan pelajar yang belajar di aliran ini semua akan tamat tempoh pengajian. Jarang ibubapa dari golongan bawahan menghantar ke sekolah ini atas faktor kepentingan pendidikan agama.

Kedua, aliran sekolah agama. Aliran sekolah ini menggabungkan pendidikan akademik dan agama.Sekolah jenis ini boleh dianggap telah memberi jalan penyelesaian buat ibubapa yang mencari konsep 'menang-menang' dalam pendidikan. Ia sekarang menjadi pilihan utama ibubapa. Tetapi sekolah jenis ini masih gagal juga memenuhi setengah ibubapa dalam soal penerapan amalan agama pada faham mereka.Oleh itu, untuk mereka ini sekolah pondok menjadi pilihan yang ideal. Dalam pada itu, pergolakan yang tiada tanda akan reda banyak menyumbang kepada kegagalan untuk mengubah minda masyarakat. Untuk apa belajar jika tiada masa depan! Di pihak kerajaan pun tidak ada tindakan konkrit dalam menamatkan konflik. Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang kerajaan campuran Samak masih ditekan pembangkang. Oleh itu tidak banyak yang mampu dibuat kerajaan.

Tambahan pula pemberontakan di Selatan Thai melibatkan pembakaran sekolah dan pembunuhan guru-guru. Sudah berpuluh-puluh sekolah dibakar dan lebih enam puluh guru terbunuh dalam tempoh kekacauan dari tahun 2004 hingga sekarang. Setiap kali berlaku kebakaran sekolah atau pembunuhan guru disesuatu kawasan, pasti sekolah di kawasan tersebut akan ditutup. Tidak kira siapa yang melakukan, yang sedihnya tindakan ini telah memberi banyak kerugian buat para pelajar -- anak-anak orang Islam.Walaupun ada pihak yang berpendapat usaha itu dapat menyekat atau menakutkan kerajaan dari menyebarkan doktrin mensiamkan umat Melayu Patani.

Tidak! Pembakaran sekolah dan pembunuhan guru telah menyebabkan anak-anak Patani banyak ketinggalan dari anak-anak bangsa Siam di wilayah lain.Dikala pelajar-pelajar di wilayah lain sedang belajar di kelas, pelajar-pelajar di sini ( Patani) sibuk mengejar bola di padang atau mandi-manda di sungai. Bila ditanya mengapa tidak ke sekolah?"Sekolah katup. Sekolah kena bakar.''
 



*Indeks Pendidikan di Thailand.'Merah' adalah yang paling rendah.Lihat ia termasuk Narathiwat.
 
(Rencana ini pernah di siar di Majalah I bulan Ogos 2008)
Sumber: http://aebooker.blogspot.com/2010/12/keciciran-pelajar-melayu-patani.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan