Ahad, 16 Januari 2011

BACA DAN RENUNG: Revolusi Rakyat Tunis Dan Revolusi Rakyat Patani

Revolusi Rakyat Tunis
Dan Revolusi Rakyat Patani
Dari: Ummah
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، ولا عدوان إلا على الظالمين. والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد:
 
Penyair Tunisia, Abu Al-Qasim Al-Chaabi pernah menyatakan:

إذا الشعب يوما أراد الحياة .. فلا بد أن يستجيب القَدَرْ

“Apabila suatu hari bangsa itu mahukan kehidupan, maka sudah tentu takdir akan menyahut”
Dunia telah dikejutkan dengan kebangkitan revolusi rakyat Tunisia, yang telah memaksa Presiden “Zainul Abidin” bin Ali melarikan diri meninggalkan negara itu.

Revolusi yg tercetus apinya di bandar terpinggir Sidi Bou Zid itu telah merebak ke seluruh negara, sehinggakan ribuan rakyat terutamanya para pemuda keluar ke jalanan berdemonstrasi, menyatakan tuntutan mereka kepada kerajaan yg amat korup itu. Semangat kebebasan di kalangan segenap lapisan masyarakat telah menyebabkan mereka sudah tidak lagi takut untuk menuntut Presiden Bin Ali meletakkan jawatan.

Dalam tempoh hampir sebulan revolusi itu, Bin Ali telah 3 kali keluar di kaca televisyen. Pada kali pertama, beliau telah menyifatkan para pemogok dan penunjuk perasaan sebagai golongan “teroris”. Kali terakhir beliau keluar di kaca tv, beliau telah menyatakan beberapa perkara, konon untuk menenangkan rakyat, antaranya ialah: memberi jaminan tidak akan bertanding lagi untuk jawatan Presiden pada pilihan raya 2014, dan tiada sama sekali “Presiden seumur hidup”.

Namun, kemarahan rakyat sudah begitu memuncak. Bin Ali terpaksa mengalah. Akhirnya pada petang Jumaat 14 Januari 2011, beliau meninggalkan negara yg telah diperintahnya selama 23 tahun itu menuju ke Arab Saudi, setelah Perancis menyatakan ketidaksudiannya untuk menerima pemimpin itu - yang telah menjadikan semangat sekular Perancis sebagai asas pentadiran negara - dengan alasan tidak mahu menimbulkan kemarahan rakyat Tunisia di sana.

Pemerintahan Bin Ali

Zainul Abidin (ramai orang memanggilnya: Syainul Abidin) bin Ali memegang tampuk pemerintahan pada 1987, setelah menggulingkan Al-Habib Bou Rgiba (yang pernah melarang para pekerja berpuasa Ramadhan, konon ia boleh menjejaskan produktiviti negara).

Bin Ali telah menjadikan Tunisia sebagai negara yang boleh dikatakan “ultra sekular”, sehingga mungkin mengalahkan Perancis yang merupakan “sumber ilham”nya.

Pemerintahannya adalah contoh unggul kerajaan kuku besi di dunia arab. Semua pembangkang akan ditindas, samada dari golongan pejuang Islam atau golongan berhaluan kiri. Hak bersuara dihalang dan dikekang, sehinggakan pemerintahannya mengenakan pantauan yg amat ketat terhadap media, termasuklah di internet!

Pemerintahannya juga menyaksikan wujudnya keluarga-keluarga yang berpengaruh dan bersikap “samseng”, antaranya : keluarga At-Tarabulsi, iaitu keluarga isterinya (ehem..), keluarga Al-Ma6iri dan keluarga Chaiboub. Kesemuanya adalah keluarga-keluarga yang menguasai ekonomi Tunisia ketika pemerintahan Bin Ali.

Tidak hairanlah Wikileaks telah menyifatkan suasana sekitar kerajaan Bin Ali sama seperti suasana “mafia”. Ia sebenarnya bukanlah pendedahan yang mengejutkan, kerana ia bukanlah satu rahsia.

Permulaan revolusi

Revolusi yang amat mengejutkan ini telah bermula di sebuah bandar yang bernama Sidi Bou Zaid, di mana seorang pemuda bernama Muhammad Bou 3azizi (26 tahun), seorang graduan yang menganggur, telah terlibat dlm satu pertengkaran kecil dengan beberapa anggota polis yang menghalang beliau berniaga dengan kereta jaja milik beliau yang digunakan untuk menjual sayuran dan buah-buahan. Namun beliau tetap berkeras mahu berniaga. Akibatnya, mereka telah menerbalikkan kereta itu, bahkan ada riwayat yang menyebutkan mereka telah memijak-mijak barangannya itu. Lebih malang lagi, beliau telah ditampar oleh seorang polis wanita di khalayak ramai.

Berang dengan kejadian itu, beliau ke ibu pejabat Wilayah Sidi Bou Zaid untuk mengadu, namun malang sekali, aduannya tidak dilayan. Akhirnya, beliau nekad “membakar” diri sendiri di hadapan bangunan Wilayah itu. Kejadian ini berlaku pada 17 Disember 2010.

Siapa sangka, tindakannya itu – yang mungkin tidak dipersetujui oleh ramai orang – telah menyalakan api kemarahan di wilayahnya, yang seterusnya merebak pula ke wilayah-wilayah lain. Ribuan rakyat telah menyertai mogok dan demonstrasi, dari segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira usia dan ideologi, sehinggakan laungan takbir boleh kedengaran dalam demonstrasi yang turut menaikkan gambar Che Guevara.

Muhammad Bou 3azizi menghembuskan nafas terakhir pada 5 Januari 2011, akibat kecederaan parah yang dialaminya daripada kebakaran tersebut. Kematiannya memarakkan lagi revolusi rakyat. Lebih 70 orang meninggal dunia dalam siri demonstrasi besar-besaran di seluruh Negara. Ucapan-ucapan Bin Ali di kaca tv, beserta beberapa rombakan kecil kabinetnya, tidak mampu memadamkan api kemarahan rakyat Tunisia.

Akhirnya, jatuhlah seorang pemerintah kuku besi di dunia arab, apabila Bin Ali meninggalkan Tunisia pada petang Jumaat, 14 Januari 2011, menuju ke Arab Saudi.

Perdana Menteri Tunisia, Muhammad Al-Ghannouchi telah mengambil alih kuasa buat sementara waktu. Namun, tindakannya ini menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada banyak pihak, kerana ia menyalahi perlembagaan. Perdana Menteri hanyalah berhak mengambil kuasa jika Presiden yang menyerahkannya, kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab buat sementara waktu. Keadaan ini tidak berlaku sama sekali dalam kes Bin Ali.

Namun pada hari Sabtu 15 Januari 2011, tampuk pemerintahan telah diserahkan kepada Speaker Parlimen, seperti yang tersebut dalam perlembagaan, untuk tempoh maksimum 60 hari, dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh ini.


Reaksi Dunia

Masyarakat dunia – terutama masyarakat arab – begitu teruja dengan kejayaan rakyat Tunisia dalam revolusi mereka. Laman Facebook dan Twitter bertukar menjadi ruang ucapan tahniah kepada warga Tunisia. Bahkan ada yang menukar gambar profile kepada bendera Tunisia. Ada pula yang berkongsi gambar Muhammad Bou 3azizi yang dijulang sebagai wira yang mencetuskan revolusi ini. Ada yang telah meluahkan kegembiraan mereka dengan melakukan sujud syukur setelah Bin Ali keluar meninggalkan Tunisia.

Revolusi bersejarah ini sudah tentu menarik perhatian beberapa pemimpin antarabangsa untuk memberikan reaksi mereka:

- Amerika Syarikat: Presiden Barack Obama telah memuji keberanian rakyat Tunisia, dan menyeru agar diadakan pilihan raya yang telus, sambil mengatakan: “Amerika Syarikat berdiri di samping masyarakat dunia untuk menjadi saksi terhadap perjuangan berani ini, demi mendapatkan hak-hak sejagat yang mesti kita pelihara, dan kita akan sentiasa mengingati potret-potret rakyat Tunisia yang berusaha memperdengarkan suaranya”.

Beliau juga telah mengecam tindakan ganas terhadap rakyat yang meluahkan pendapat mereka secara aman.

- PBB: S/U Agung PBB Ban Ki Mon telah meluahkan kebimbangannya terhadap apa yg berlaku di Tunisia, dan menyatakan kesedihannya diatas kehilangan nyawa yang berlaku, dan menyeru kepada suatu penyelesaian yang demokratik terhadap kegawatan yang berlaku, di samping menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun.

- Perancis: Beberapa sumber rapat daripada kerajaan menyatakan bahawa Paris tidak berminat menerima kedatangan Bin Ali ke buminya, kerana tidak mahu menimbulkan rasa tidak senang warga Tunisia di Perancis. Pentadbiran Perancis menyatakan harapannya agar keadaan kembali tenang dan kekerasan dihentikan, dan menegaskan bahawa “hanya dialog sahaja yang mampu menjamin penyelasaian yang demokratik dan berterusan bagi kegawatan yang berlaku”.

- Britain: Jurucakap Kementerian Luar menyatakan Tunisia sedang melalui detik bersejarah, dan rakyat Tunisia telah meluahkan cita-cita mereka dalam tempoh beberapa minggu yang lalu.

- Jerman telah menyeru semua pihak yang berkaitan agar mengerahkan seluruh usaha bagi menjayakan dialog dan menyelesaikan segala masalah secara aman, untuk menghalang berlakunya lebih banyak kekerasan.

- Kesatuan Eropah telah menyeru kepada suatu penyelesaian demokratik dan berterusan di Tunisia, di samping menyeru kepada suasana yang tenang selepas keluarnya Bin Ali.

Tidak ditemui pula reaksi daripada pemimpin-pemimpin arab yang lain. Agaknya mereka sedar bahawa mereka juga..

Kesimpulan

Apa yang berlaku di Tunisia seharusnya menjadi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin arab yang lain. Yang berada di atas tidak akan selamanya di atas. Jangan sesekali memperlekehkan kuasa rakyat. Kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Apabila mereka bangkit, maka pasukan keselamatan tidak akan mampu untuk melawan.

Sebagai rakyat pula, kita seharusnya menjadikan Revolusi Tunisia ini sebagai pemangkin untuk terus berusaha bergandingan menentang kezaliman dan mempertahankan hak kita. Ketakutan yang menebal dalam diri terhadap penguasa perlulah dibuang, kerana itulah penghalang kemerdekaan.

Ada kata-kata hikmat yang menyebut: Apabila telur itu pecah dari luar, maka ia menandakan matinya satu kehidupan. Tetapi jika ia pecah dari dalam, maka ia menandakan akan munculnya satu kehidupan.

Hidup Rakyat !


Insaallah...
REVOLUSI RAKYAT PATANI PASTI BERJAYA SUATU HARI NANTI


Syaikh Qardhawy memuji "Revolusi Tunisia" - Presiden Persatuan Cendikiawan Muslim Internasional, DR. Yusuf Al-Qardhawy menyanjung revolusi rakyat tunis
http://islamic.naseej.com/Detail.asp?InNewsItemID=379404   
 Pandangan PAS
PAS alu-alukan kebangkitan rakyat Tunisia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan