Disebalik Perjuangan Yang Gagal
aebooker.blogspot.com
Dalam banyak memoir mahupun autobiografi yang dirakam oleh bekas gerilawan yang 'kalah' selalunya dihidup dengan cerita-cerita atau aksi-aksi hebat sepanjang pemberontakannya. Adakalanya boleh naik muak. Semuanya untuk membenarkan tindakannya dahulu atau untuk 'membetulkan' sejarah. Jarang sekali ia ditulis untuk renungan ke arah keinsafan tentang 'kekalahan' itu.
Begitulah anggapan banyak orang berdasarkan bacaan lepas-lepas. Namun,setelah kita mencerna hampir separuh novel, Gerila, terbitan PTS yang ditulis Allahyarham Lukman Iskandar ketika dalam tahanan ISA tahun 1992 hingga 1994, bekas orang penting gerila Patani, ia mungkin mengubah andaian itu.Walaupun ia ditulis dalam bentuk fiksyen tapi ramai yang yakin ini adalah sebahagian kisah hidupnya berdasarkan pemberontakan tahun-tahun 60-an hingga 70-an dan, yang akhirnya kecewa dengan pimpinan pemisah Patani.
Mulanya, mungkin pembaca menyangka ia akan hanya membebelkan 'kemenangan' ke atas tentera Thailand, rupanya bukan itu fokus penulis.Tetapi ia menceritakan secara jelas dan tersirat; mengapa perjuangan kemerdekaan Patani gagal, dan seperti akan terus gagal, 'jika.'
Puak pemisah Patani agak ketinggalan berbanding separatis di bahagian dunia lain dalam semua hal termasuk pengiftirafan, kelengkapan, populariti, dana dan logistik. Mereka selalunya dipandang rendah dan mendapat persepsi negatif banyak pihak termasuk di Malaysia.
Untuk itu, cuba periksa kembali buku Memoir Ibrahim Chik; Dari API ke Rejimen ke-10. Tulisnya tentang puak pemisah Patani begini;
''Di depan umum mereka bersembahyang dan berdoa panjang-panjang.Akan tetapi, mereka selalu memaksa rakyat supaya memberi derma kepada mereka. Mereka juga selalu menghukum rakyat dengan denda yang tinggi. Mereka selalu bersandar pada samseng-samseng tempatan. Adakalanya, mereka merogol kaum wanita, bukan sahaja wanita Thailand tetapi juga wanita Melayu.''
Oh, sedap Ibrahim Chik cakap.Dia dan Parti Komunis Malaya(PKM) mengapa berkubu di Patani? Kata, hendak berjuang untuk Malaya, berperanglah di hutan-hutan Malaysia!
Benar, kehadiran PKM di selatan Thailand adalah restu kerajaan Thailand untuk menyempitkan mobiliti puak gerila pemisah Patani. Pemisah Patani bukan sahaja perlu bertempur dengan tentera Thai tapi juga berhadapan PKM.Tidak hairanlah Allahyarham memasukan banyak aksi pertempuran dengan PKM. Nyata sekali, kehadiran PKM itu menguntungkan kerajaan Thailand.
Dan tindakan Allayarham membangun watak Kapten Raziman,seorang juruterbang TUDM, beralasankan kecelakaan udara, dan jatuh di perkubuan gerila Patani seterusnya didoktrin menjadi pejuang seperti mahu membenarkan dakwaan bahawa puak pemisah mendapat latihan di Malaysia ataupun berasal dari sana. Ia bukan rahsia besar, kebanyakkan pemimpin pemisah mendapat latihan di luar negara.
Allahyarham sendiri pun berasal dari Perlis(tentu keluarganya asal Patani),mendapat pendidikan di sana sebelum menjadi pengajar di wilayah Satun. Di situlah bermula penglibatannya dalam gerakan gerila Patani dengan menjawat Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional(BRN).Tidak salah mengatakan watak Kapten Raziman adalah cerminan Allahyarham sendiri.Cuma bezanya, Kapten Raziman 'terjun' dari udara ke hutan Patani setelah kecewa dalam dua percintaannya.
Pergerakan watak Raziman itu sendiri mendedahkan kepada kita dua hal.Pertama,perubahan sikap yang semakin ketara setelah beliau menguasai pergerakan pemisah Patani dengan gelaran Kolonel Razi atau Panthree Razi. Dari seorang yang bertimbang rasa kepada yang tiada kompromi dalam perjuangan tapi akhirnya bersikap pentingkan diri.Sikap seperti inilah yang membenarkan propaganda kerajaan Thai mahupun PKM bahawa gerila Patani itu zalim.Dan nama pemisah Patani menjadi busuk. Begitu juga dengan penyelewengan dana pemberontakkan yang disalahgunakan untuk tujuan peribadi.Rasa mahu menangis mengenang pengkhianatan yang dilakukan pimpinan atasan gerila Patani.Para pejuang bawahan terpaksa berjuang mati-matian, tinggal segala harta dan kemewahan tapi orang atas yang khianat.
Kedua, hal ini merujuk kepada, mengapa Raziman dengan mudah diterima masuk dan diangkat pula menjadi pemimpin pemisah.Di sinilah kita akan didedahkan dengan jalur-jalur pertentangan keluarga bangsawan warisan Kesultanan Patani sejak puluhan tahun dahulu hingga kini.
Di Patani terdapat tujuh keluarga Diraja yang dipecah-pecah sejak kejatuhan Kesultanan Patani.Selalu kesepakatan tidak pernah tercapai antara tujuh keluarga ini. Dalam hal pemberontakan, ada keluarga itu mahu berjuang secara gerila, namun ada yang mahu secara parlimenteri. Terbukti cara pecah dan perintah ini berjaya melemahkan orang Melayu Patani.
Dalam novel ini, penulis mewujudkan pertentangan dua keluarga terpengaruh iaitu keluarga diraja Nongchik dan keluarga al-Fatoni. Keluarga al-Fatoni ini yang dipimpin oleh Sheikh Mazlan adalah sebenarnya pemimpin bawah tanah pemisah Patani. Beliau adalah presiden bayangan kerajaan Patani. Statusnya sebagai bekas menteri kabinet Thai dan pengerusi Majlis Agama Islam Patani berjaya menutup kegiatannya. Kononnya, Raziman itu adalah pewaris sah keluarga Nongchik. Dengan merekrut Raziman menyertai pemisah dan diangkat menjadi ketua adalah strategi keluarga al-Fatoni untuk memaksa keluarga Nongchik tunduk kepada keluarga al-Fatoni.
Diceritakan berlaku salah faham dalam perebutan kuasa antara dua keluarga ini puluhan tahun dahulu. Sejak itu dua keluarga ini bermusuh besar.Inilah wajah sebenar perjuangan Patani yang terlalu mementingkan keturunan dan maruah keluarga. Semua orang tahu,hari ini pun pengaruh politik masih berada di tangan keluarga-keluarga ini.Selalunya tidak pernah bersatu. Satu di pihak kerajaan, satu lagi di pihak pembangkang.
Al-fatihah untuk Allahyarham. Semoga karya ini menjadi renungan umat Patani yang masih terbelah.
Resensi ini dimuat di Milenia Muslim Oktober 2009.
Buku: Gerila
Penulis: Lukman Iskandar
Penerbit: PTS Fortuna
ISBN: 978-967-5136-27-6
Tahun: 2009
Harga: RM 29.00
http://pasalbuku.blogspot.com/2011/02/gerila-di-sebalik-perjuangan-yang-gagal.html
http://aebooker.blogspot.com/2009/10/disebalik-perjuangan-yang-gagal_31.html?spref=fb
Tiada ulasan:
Catat Ulasan