Oleh : Muhamad Syaari Ab. Rahman,
Penulis Buku “Kuasa Kepemimpinan
Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq;
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.
Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik
tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
“
Ketika anda menyaksikan tanah
kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar
mengenali betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi
ketenteraan dan usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray
Seorang guru pengurusan dan kepimpinan terkenal di dunia pernah ditanya :
Penyoal : “Tuan, hampir
mustahil untuk saya mengubah tabiat lama saya. Adakah modul 7 Habit
tuan realistik untuk orang seperti saya ? Atau adakah saya ini seorang
yang unik ?”
Stephen R. Covey : “Anda tidak keseorangan. Anda bukan orang pertama merasainya. Biar saya terangkan mengapa.
Pernahkah anda melihat penerbangan kapal angkasa Apollo 11 atau menonton video klip atau filem mengenainya ?
Soalan saya kepada anda,
waktu bilakah kapal angkasa itu menggunakan tenaga dan kuasa terbanyak
untuk berlepas ke angkasa lepas ?
Adakah ketika ia terbang sejauh
suku juta batu ke bulan ? Ketika balik ke Bumi ? Ketika mengelilingi
bulan ? Ketika pemisahan dan penyambungan semula modul-modul lunar dan
kawalan ? Ketika berlepas ke bulan ? Tidak sama sekali. Malah bukan
gabungan dari semua itu.
Ia adalah saat ketika Apollo 11 berlepas dari bumi, dan ia berlaku
hanya dalam beberapa minit sahaja. Lebih banyak tenaga bahan api
digunakan di dalam beberapa minit pertama untuk berlepas dari bumi.
Dalam perkataan lain, bahan api dan tenaga dilepaskan paling banyak
ketika beberapa batu pertama pengembaraan daripada apa yang telah
digunakan di dalam setengah juta batu untuk beberapa hari seterusnya.
Kenapa ia terjadi sedemikian pada pandangan anda?
Tarikan graviti beberapa batu
pertama adalah sungguh kuat. Lantas ia memerlukan tolakan dalaman yang
lebih kuat dari tarikan graviti dan rintangan atmosfera untuk menerjah
ke dalam orbit. Namun, setelah berjaya mencecah keluar, ia hampir tidak
lagi memerlukan sebarang tenaga untuk melakukan semua perkara-perkara
lain itu. Malah, salah seorang dari angkasawan itu pernah ditanya
mengenai berapa banyak tenaga yang telah digunakan apabila modul lunar
tersebut telah berpisah dari modul kawalan untuk mendarat dan menerokai
permukaan bulan. Maka dia menjawab. “Kurang dari pernafasan seorang bayi.”
(Sumber : Tabiat ke 8
Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan, Stephen R. Covey, terjemahan
Mohamad Radzi Zainal, mukasurat 386-387)
Pengembaraan Apollo 11 tersebut memberikan satu metafora yang jelas dan
kuat untuk menerangkan pada kita apakah yang diperlukan untuk berpecah
dan berpisah dari tabiat-tabiat lama dan mencipta tabiat-tabiat baru.
Tarikan graviti bumi yang kuat boleh dibandingkan dengan budaya-budaya
masyarakat dan budaya organisasi yang meluas yang mana kita adalah
sebahagian darinya. Ini adalah dua daya yang amat kuat, dan anda
mestilah mempunyai tekad dalam diri yang lebih kuat daripada kedua-dua
daya tersebut untuk menjadikan proses pelepasan itu berlaku.
Islam dan Ops Sikap
Di dalam tradisi kesufian Islam, proses pelepasan dari sikap negatif dan budaya lama itu dipanggil juga sebagai “takhalli”.
Ia bermaksud pengosongan dan pembersihan dari sebarang kekotoran dan
pengisian. Ia adalah peringkat pertama dari tiga peringkat untuk
mendapat darjat kerohanian yang tinggi. Hati, sebagai langkah pertama,
harus dikosongkan. Ia mesti dikosongkan dari kecintaan terhadap dunia
dan segala keinginan duniawi yang membinasakan. Hati yang sibuk pada
dunia, saat ditinggalkannya, sudah pasti akan dihinggapi kesedihan,
kekecewaan, kepedihan dan penderitaan. Justeru ia memerlukan satu
keupayaan yang dinamakan “mujahadah”. Kemudian, barulah proses “tahalli” atau ‘installation’ iaitu pengisian hati dengan sikap baru dan budaya baru yang lebih diredhai oleh Tuhan dimulakan.
Proses ‘buang tebiat’ atau ‘OPS
SIKAP’ sememangnya sukar, namun ketahuilah saudara, kesukaran dan
kesusahan itu hanyalah di ‘beberapa minit’ yang pertama sahaja. Ia
bukanlah kesukaran sepanjang masa. Apollo 11 mengajar kita hakikat
kehidupan. Kesusahan hanyalah ketika mengendalikan secara ‘manual’ di
peringkat permulaan, kemudian anda akan saksikan kenderaan diri anda
akan selesa bergerak secara ‘auto’ tanpa perlu anda menggelabah lagi.
Tekanan yang anda hadapi di peringkat permulaan kini bertukar menjadi
kebiasaan, kebiasaan bertukar menjadi hobi, hobi bertukar menjadi
karakter (attitude), dan akhirnya penerbangan diri anda yang
‘baru’ menjadi stabil hingga ke akhirnya. Bahan api yang diperlukan
pada permulaan itu hanyalah bahan bakar bernama ‘mujahadah’.
Tuhan yang sama mencipta
peraturan untuk Apollo 11 melepasi tarikan graviti dan atmosfera bumi,
Tuhan yang sama mencipta peraturan untuk manusia melepasi tarikan
graviti nafsu yang sangat kuat dan atmosfera kejahatan yang sering
mendatangi diri yang mahu melakukan proses perubahan dan pelepasan.
Pernahkah anda mengetahui pengertian “Ramadhan” yang bermaksud panas
membakar ? Mungkin soalan berikut akan memberikan kefahaman kepada kita
bagaimana indahnya nama sebuah bulan yang dipilih Tuhan untuk disebut
di dalam kitab suci Al-Quran dan seterusnya dijadikan bulan latihan
berpuasa.
Masihkah anda ingat ketika anda berpuasa pada 1 Ramadhan lepas ?
Bagaimanakah perasaan anda ketika jam menunjukkan 1 petang dan anda
pula sudah kepenatan akibat separuh hari anda di pejabat tanpa seteguk
air pun mahupun sepinggan nasi menjamah perut anda. Bandingkan pula
ketika anda berada di penghujung Ramadhan. Pernahkah anda mengunci jam
loceng anda agar berbunyi pada jam 5 pagi, namun jam tidak berbunyi dan
anda ketinggalan sahur ? Samakah tahap kekecewaan anda tidak mampu
bangun bersahur antara hari-hari pertama Ramadhan dengan hari-hari
pertengahan dan akhiran Ramadhan ? Anda tetap dapat meneruskan puasa
seperti biasa meskipun anda kekadang tertinggal ibadah sahur.
Bandingkan pula anda baru pulang dari
solat sunat ‘Idulfitri pada pagi 1 Syawal tersebut, ibu anda menjemput
untuk menjamah kuih tat nenas yang dibuanya di atas meja. Bukankah
timbul rasa bersalah dan kekok seketika untuk anda membuka mulut dan
menghulurkan kuih tat nenas itu ke pintu gerbang perut anda ? Inilah
impak 30 hari anda melatih diri untuk berlapar dan berlapar.
Selama 30 hari anda menghadapi tekanan untuk melawan fitrah anda
terhadap makan dan minum, kini anda menyaksikan hasilnya. Bukan setakat
itu sahaja medan latihan Ramadhan. Selama 30 malam anda menunaikan
solat sunat tarawih di masjid dan surau. Tidakkah anda rasa bersalah
untuk meninggalkan solat Isya berjamaah di masjid sebaik sahaja
memasuki bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya? Inilah impak maksima
latihan pengulangan aktiviti yang sama (the law of repetition of action) yang anda telah lakukan di sebalik kemeriahan moreh dan laungan takbir semasa bertarawih.
Bukan sekadar itu sahaja. Allah Maha Bijaksana, programnya juga sudah
pasti Maha Bijaksana dan penuh dengan rahsia yang tidak mampu dibongkar
dengan akal saintifik manusia yang terbatas. Selama 30 malam anda
terpaksa untuk mengubah rutin harian anda dengan bangun di waktu
menjelang Subuh. Anda terpaksa bangun untuk bersahur kerana anda tahu
bahawa anda terpaksa makan dan minum secukupnya bagi menahan diri dari
makan dan minum selama 13-14 jam di siang hari nanti. Tanpa sahur, anda
tidak akan bertenaga di siang hari nanti. Anda tahu hakikat itu. Maka
anda terpaksa ‘buang tebiat’ bangun selama 30 malam berturut-turut.
Sedar atau tidak, bukankah dengan bangun untuk sahur itu, anda punyai
lebih banyak masa dan tenaga untuk menunaikan solat malam dan tahajjud
yang cukup sukar dilakukan di selain bulan puasa? Bukankah pada solat
malam dan tahajjud itu tersembunyi kelebihan yang dahsyat sehingga Nabi
yang dijamin Syurga sekalipun sanggup terbengkakkan kakinya akibat
solat tahajjud yang diwajibkan ke atas dirinya sama seperti solat
fardhu ?
“Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah
solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga
Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat
yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)
“Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat)
pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas
solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, nombor 1163.
Apabila memasuki bulan Syawal dan seterusnya, tidakkah timbul rasa
bersalah untuk anda meninggalkan rutin anda yang baru iaitu bangun
malam untuk bertahajjud meskipun anda sudah tidak perlu bersahur dan
berpuasa. Demikianlah sahur itu dinaikkan martabatnya oleh Nabi sebagai
ibadah berpahala besar, kerana ia hanyalah sebuah ‘proses’ untuk
mencapai ‘objektif’ dan 'big picture' Ramadhan itu sendiri iaitu bangun
malam dan bertahajjud di sepertiga malam.
Sabda Rasulullah S.A.W : “Barangsiapa
bangun untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan
dan mengharapkan diampunkan dosa, nescaya Allah akan menghapuskan
seluruh dosa-dosanya yang lepas.” (hadis direkodkan Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Tidak cukup sekadar impak maksima Ramadhan pada pembukaan hariannya
dengan sahur dan pengakhiran hariannya dengan tarawih. Impak sebenar
Ramadhan adalah ketika proses berlapar dan berdahaga itu sendiri.
Bayangkan ketika anda berwudhuk untuk solat Zuhur dan Asar pada bulan
Ramadhan, atau anda mandi pada waktu tengahari atau petang ketika anda
sedang berada di ‘kemuncak’ kelaparan dan kedahagaan, kenapakah tidak
anda teguk sahaja air wudhuk atau air mandi tersebut,
sekurang-kurangnya untuk menghilangkan dahaga ? Bukankah tidak ada
orang melihat anda ketika di bilik mandi, hanya anda dengan diri anda
sahaja. Dari manakah kekuatan untuk anda mengatakan “tidak” kepada air
wudhuk dan air mandi itu ketika anda mampu melakukannya secara rahsia ?
Tiada suara yang menguatkan anda untuk melakukan “learn how to say no”
itu melainkan suara hati anda sendiri. Itulah suara hati yang sedang
melalui proses fitrah iaitulah pembersihan dari gangguan suara nafsu
yang sedang ditambat kuat oleh proses berlapar dan berdahaga.
Justeru, tidakkah selepas meninggalkan Ramadhan, anda punyai suara hati
yang fitrah dan kini benar-benar anda ‘merdeka’ dari terus menjadi
‘tahanan’ dan ‘hamba abdi’ kepada suara nafsu ? Bukankah kini “remote controller”
iaitu hati anda ‘merdeka’ dari pengarahan demi pengarahan dari suara
nafsu ke atas fikiran, mata, lidah, telinga, kaki dan tangan anda ?
Bukankah kini anda benar-benar “kembali pada fitrah” (‘idulfitri), anda
punyai kekuatan melakukan perkara yang dihalalkan meskipun nampak pahit
laluannya dan meninggalkan perkara yang diharamkan meskipun nampak
manis jika dapat menikmatinya. Maka inilah taqwa, maqasid (objektif)
sebenar dari pelbagai proses latihan “the law of repetition”
perbuatan-perbuatan yang sama selama 30 hari berturut-turut dalam bulan
Ramadhan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa” (Surah Al Baqarah, Ayat : 183)
“Umar pernah bertanya
pada Ubai bin Kaab, ‘Apakah itu takwa?’ Ubai menjawab, ‘Wahai Amir
Al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’
Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubai berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar
menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku
meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut
terkena duri.’ Ubai berkata, ‘Itulah takwa!’
Sabda Rasulullah S.A.W : “Siapa
yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan keji, Allah tidak
mengendahkan amalannya meninggalkan makanan dan minuman.”
Begitulah hebatnya proses
latihan dan pendidikan dalam madrasah Ramadhan. Inilah “IPT” Ramadhan,
Institut Penjanaan Taqwa! 30 hari itu tidak lama berbanding 365 hari
iaitu setahun. Namun, tempoh 1 bulan latihan penuh ‘tekanan’ itulah
yang menjana momentum ketaqwaan 11 bulan selepas Ramadhan. Sebab itulah
Ramadhan itu sendiri membawa maksud “bahan api yang panas membakar”,
seperti kisah Apollo 11 tadi.
Maka benar dan bijaklah sabda Rasulullah S.A.W yang menyebut :
“Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan meskipun sedikit.” (hadis direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).
Maknanya, Rasulullah S.A.W sama sekali tidak menyarankan sikap
melakukan sesuatu amalan yang banyak tetapi akhirnya tidak konsisten
dari sudut penerusannya.
Berfikirlah Positif Pada Setiap Tekanan dan Ketentuan Tuhan
Proses
perubahan sikap telah dimaklumi bukan suatu proses yang mudah dan
menyenangkan, bahkan ia satu ujian yang getir yang seringkali cuba
dielakkan oleh manusia yang lemah semangat dari menghadapinya. Stephen
R. Covey pernah memperkenalkan satu prinsip untuk berfikir positif pada
setiap tekanan, ujian dan ketentuan Tuhan ke atas kita dalam kehidupan
seharian. Ia dinamakan prinsip “90 : 10”. Prinsip ini menurutnya mampu
mengubah hidup kita atau sekurang-kurangnya, cara kita memberikan
reaksi kepada sesuatu situasi luar jangka yang berlaku seharian ke atas
kita. Prinsip ini menyatakan bahawa :
“10% dari kehidupan anda adalah sesuatu yang sememangnya telah
ditaqdirkan berlaku kepada anda, anda tidak mampu mengelaknya dengan
apa cara sekalipun. Manakala 90% dari kehidupan seharian anda
hakikatnya ditentukan oleh bagaimana cara anda memberikan reaksi kepada
taqdir yang berlaku tersebut.”
Apakah maksud prinsip ini ? Marilah kita ambil apa yang baik dari guru
pengurusan dan kepimpinan terkenal di Barat ini. Ia membawa maksud kita
tidak mampu mengawal sedikitpun 10 % apa yang ditaqdirkan berlaku pada
kita. Contohnya, kita tidak mampu mengelakkan kereta kita daripada
rosak tiba-tiba di tepi jalan. Kita tidak mampu mengelakkan kapal
terbang kita yang lewat sampai hingga jadual kita tergendala. Kita juga
tidak mampu mengawal keadaan kita yang terperangkap dalam kesesakan
lalulintas. Kita tidak mampu mengawal kesemua 10 % itu tadi. Tetapi,
baki 90 % lagi adalah berbeza sama sekali. Kita mampu menentukan
keadaan 90 % tersebut. Bagaimana ? Jawapannya, dengan menguasai reaksi
anda.
Sebagai contoh, anda tidak mampu mengawal lampu isyarat. Tetapi anda
mampu mengawal reaksi anda ke atas situasi ini. Jangan biarkan orang
lain memperbodoh anda. Anda mampu mengawal reaksi anda kepadanya. Mari
lihat contoh berikut pula.
Anda sedang mengambil sarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba anak
perempuan anda berusia 6 tahun menumpahkan kopi ke atas baju kemeja
anda. Anda sememangnya tidak mampu mengawal apa yang baru sahaja
terjadi. Tetapi, apa yang berlaku kemudiannya, ditentukan sendiri oleh
cara reaksi anda. Anda mungkin marah. Anda dengan suara keras memarahi
anak anda tersebut kerana menumpahkan kopi hitam pekat ke kemeja rasmi
anda. Kemudian, anak anda menangis teresak-esak. Selepas memarahinya,
anda pula pergi mengkritik isteri anda kerana meletakkan cawan kopi
tersebut terlalu hampir dengan tepian meja. ‘Perang mulut’ akhirnya
berlaku. Kemudian anda pun naik ke bilik anda untuk menukar pakaian.
Selepas menukarnya, anda kembali ke bawah dan mendapati anak anda terus
menangis dan tidak mampu menghabiskan sarapannya. Anak anda ketinggalan
bas sekolah kerana lewat menghabiskan sarapannya.
Isteri anda pula telah bergegas ke pejabatnya kerana masanya juga telah
terlewat. Anda meluru ke kereta dan membawa anak anda ke sekolah.
Disebabkan kelewatan anda,anda memandu 140km sejam dan melebihi had
laju yang dibenarkan. Selepas 15 minit terlewat dan menerima surat
saman polis RM 150, anda pun tiba di sekolah. Anak anda terus meluru ke
kelas tanpa sempat mengucup tangan anda. Selepas tiba di pejabat 20
minit lewat, baru anda sedari anda tertinggal beg pejabat anda.
Hari anda hari ini bermula dengan sangat malang. Nampaknya, keadaan di
pejabat juga akan terus menjadi lebih buruk. Anda hanya mampu
mengharapkan supaya dapat balik ke rumah segera. Setibanya anda ke
rumah, anda mendapati hubungan anda dengan isteri dan anak anda telah
sedikit terjejas dan renggang. Kenapa terjadi kesemua ini ?
Jawapannya, kerana reaksi yang telah anda lakukan pada hanya beberapa
minit sahaja pada pagi tadi. Sekarang anda menyaksikan buat kesekian
kalinya bagaimana benarnya kata-kata pepatah bahawa “permulaan
seringkali menentukan pengakhiran”. Kenapa anda memilih untuk memulakan
hari anda dengan begitu buruk? Anda tidak dapat mengawal apa yang telah
dilakukan oleh anak anda dan air kopi itu. Tetapi reaksi anda yang
tidak sampai 5 saat itu telah menyebabkan seluruh hari anda sangat
malang.
Berikut adalah apa yang sepatutnya berlaku pada anda.
Kopi tumpah ke baju anda. Anak anda mula menangis teresak-esak ketakutan. Dengan penuh kasih sayang anda berkata :
“Tak mengapa sayang. Kamu hanya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.”
Anda mengelap tumpahan itu dengan tuala dan kemudian anda pergi menukar
baju dengan tenang. Kemudian anda mengambil beg pejabat anda, anda
turun ke bawah semula lantas mendapati anak anda kembali tenang dan
selamat menaiki bas sekolahnya. Isteri anda juga pergi ke pejabat pada
masanya tanpa menyedari anda sudah menyalin baju lain. Anda pula tiba
10 minit lebih awal ke pejabat dan menyapa dengan penuh keceriaan staff
di pejabat anda. Dapatkan anda melihat perbezaannya?
Dua senario berbeza. Kedua-duanya bermula dengan kemalangan yang sama.
Tapi kesudahan kedua-duanya berbeza. Kenapa? Kerana reaksi andalah
penentunya.
Justeru, hadapilah kehidupan ini dengan manfaat dari prinsip “90 : 10”
ini. Apa yang disarankan oleh Stephen R. Covey ini sudah dipintas oleh
formula agung dari Tuhan sendiri. Cukup tenang seorang Muslim yang
berpegang teguh kepada piagam hidup dari ayat dan hadis berikut.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
“Sungguh menghairankan perihal orang mukmin itu. Sesungguhnya
seluruh perkara baginya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak dimiliki
oleh siapapun kecuali orang mukmin. Jika dia diberi sesuatu yang
menggembirakan dia bersyukur, maka ia menjadi baik baginya. Dan apabila
ia ditimpa suatu madharat, ia bersikap sabar, maka itu menjadi baik
baginya.”(Hadis direkodkan oleh Imam Muslim)
“Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka
bersangka baik pada-Ku, maka akan ditunaikan (sangkaan itu). Jika
mereka bersangka buruk, maka turut akan ditunaikan (sangkaan itu).” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Hibban)
Justeru saudara, jika seseorang
berkata sesuatu yang negatif pada anda, janganlah cepat melatah dan
panas baran. Biarkan bidasan itu berlalu bagaikan membuang air dari
gelas. Jangan biarkan komen negatif itu mula menguasai reaksi anda.
Berikan reaksi sewajarnya supaya kehidupan anda tidak terjejas
keseluruhannya. Ingat, perkataan yang dilafazkan adalah doa, ia punyai
kuasa yang tersendiri sama ada baik mahupun buruk.
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbicara yang baik atau diam sahaja” (Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Ingatlah saudara, reaksi yang silap memungkinkan anda kehilangan kawan
baik, atau anda dipecat atau anda sendiri yang tertekan (stress)
berpanjangan. Islam adalah agama yang mengajar umatnya kepercayaan dan
keimanan kepada qadha’ dan qadar, menyerahkan segala urusan dan ikhtiar
kembali pada Allah dengan penuh redha selepas segenap ikhtiar terbaik
dilakukan. Hentikan melatah dan menyalahkan orang lain apabila anda
mendapati apa yang dirancang pada awalnya tidak berlaku sebaik yang
diharapkan di pertengahan jalan.
“Terima Kasih Rotan!” – Muhammad Al-Fatih
Muhammad Al-Fatih melakar sejarah bukan kerana beliau sememangnya
punyai kelebihan atau karamah tertentu dari Tuhan yang tidak
dianugerahkan kepada orang lain. Kebarangkalian untuk beliau memiliki
karamah tertentu itu tidak menjadi fokus penulisan sejarah mengenai
beliau dan sejarawan pada zaman beliau. Muhammad Al-Fatih bukanlah
‘Superman’ yang muncul secara tiba-tiba dari langit untuk menjadi
penyelamat kepada umat Islam Othmaniyyah dari gangguan demi gangguan
kerajaan Rome Byzantine. Al-Fatih adalah manusia biasa yang punyai
‘zaman gelap’ ketika kanak-kanak sehingga belasan guru-guru spiritual
dan para pensyarah yang diamanahkan oleh ayahnya, Sultan Murad untuk
mendidiknya namun gagal akibat kedegilannya.
“Telah direkodkan bahawa Sultan (Murad) telah memberikan rotan
kepada guru puteranya (Sultan Muhammad al-Fateh) dan membenarkannya
untuk merotaninya jika diperlukan.” - Lord Kinross ( The Ottoman Centuries, 1977) -
Remaja mana yang suka untuk dirotan. Ia cukup menyakitkan fizikal dan
mental apatah lagi jika dirotan di khalayak ramai. Namun akhirnya
Al-Fatih terpaksa mengakui hakikat bahawa beliau adalah anak seorang
seorang Sultan yang memerintah sebuah empayar yang besar di era
kemuncak kegemilangan. Beliau mula memahami bahawa di bahunya
diletakkan harapan setinggi gunung untuk menebus harapan jutaan ummat
dan titisan darah puluhan ribu syuhada’ dan panglima-panglima Islam
zaman berzaman yang mahu membuka kota kebanggaan Hercules itu. Di
hadapan matanya, beliau mula menyaksikan bagaimana dirinya benar-benar
telah dipersiapkan sebaiknya oleh ayahnya untuk menjadi pembuka kota
Konstantinopel yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W.
Menyedari hakikat ini, Al-Fatih mengambil keputusan untuk membuat
perubahan ke atas dirinya dan berhenti dari meneruskan sikap negatif
dan tabiat lama beliau. Inilah saat dan detik terpenting dalam hidup
beliau, sebatang rotan yang telah mengejutkan paradigma selesanya dan
lenanya yang panjang dari tanggungjawab untuk merealisasikan hadis
Nubuwwah. Ternyata Al-Fatih tidak bersikap mengubah ayah atau ibunya,
mahupun mengubah sekolah atau tuan gurunya yang menghadapkan sesuatu
keinginan yang tidak menjadi keinginannya pada awalnya. Ketentuan ke
atasnya telah diterima dengan positif, lantas dia mengubah sikapnya
sendiri.
Kuasa Perkataan “Boleh Jadi”
Tuhan menyebutkan bahawa : “Boleh
jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi
(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah
mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Dalam kehidupan seharian, kita sering didatangi dengan pelbagai
lintasan di hati apabila melihat seseorang atau sesuatu keadaan
sekeliling. Seringkali yang menjadi lintasan pertama (
1st impression)
adalah lintasan yang negatif kerana manusia seringkali mendahulukan
pandangan nafsu yang seringkali muncul lebih awal dari pandangan
matahati. Benarlah pepatah yang menyebutkan “
people always judge a book by its cover.”
Hanya dengan menyebut perkataan-perkataan yang positif di bibir sendiri
atau diperdengarkan dari orang lain akan mampu membantu seseorang
melihat dengan pandangan matahati.
Kerapkali terjadi suatu dialog antara
saya dan isteri ketika berada di dalam kereta setiap kali kami
terperangkap dalam lebih 3 lampu isyarat di hadapan stesen minyak Shell
Greenwood. Saya cukup marah dengan mereka yang selalu mengambil laluan
mudah di sebelah kiri bahu jalan. Jalan raya di situ hanya mempunyai
dua laluan dan kebiasaannya mudah sesak kerana kereta dari pelbagai
penjuru perumahan dan menjadi pertemuan lebuhraya utama PLUS-DUKE-MRR2.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila setiap kali waktu pagi dan selepas
waktu pejabat.
Saya : "Kau ingat ni jalan bapak engkau ke, ikut suka hati je mamat ni!" (nada penuh kemarahan)
Isteri : "Abang, bertenang. Boleh jadi dia baru lepas bubuh
minyak. Mana ada laluan lain lagi dia boleh keluar melainkan laluan
bahu kiri jalan. Boleh jadi dia baru selesaikan anak kecilnya nak ke
tandas di stesen minyak itu."
Sungguh berubah saya seketika. Dari keadaan marah bertukar menjadi tenang seketika.
"Ada benarnya juga apa yang dikatakan isteriku itu.",
bisik hati saya. Kini, saya mula belajar betapa penting kuasa perkataan
"boleh jadi", khususnya apabila saya sendiri yang sudah lebih tiga kali
terpaksa melalui bahu kiri jalan itu sendiri dan mengharapkan orang
lain pula bersangka baik dengan saya.
Inilah kuasa perkataan “boleh jadi”. Hanya dengan dua patah perkataan
ini ia mampu menyelamatkan hari anda dari terjadi sebaliknya.
Sebab itu hidup seorang Muslim jika benar-benar mengikut sunnah
Rasulullah, dia akan mendapati hidupnya sepanjang 24 jam penuh dengan
ungkapan doa, dari mula membuka mata bangun dari tidur hinggalah ketika
mahu menutup mata untuk tidur semula. Inilah ejen kawalan dari langit
untuk manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan menarik
kebaikan-kebaikan itu datang kepadanya.
Perkataan adalah doa. Setiap kali ditimpa ujian, keluarkanlah
perkataan-perkataan yang positif kerana ia adalah doa yang sedang
didengari oleh Yang Maha Mendengar. Allah memerintahkan hamba-hambanya
menyebut doa dengan jelas dan yakin ia akan dimakbulkan, dan bukan
sebaliknya berdoa dalam hati.
Pernah terjadi satu dialog antara saya dan anak saudara saya, Jazmi :
Jazmi : “Pakcik,
bukankah Allah Maha Mendengar, jadi kalau kita hadapi masalah dan
kemudian berdoa dalam hati pun tak mengapa kan Pak Cik ?”
Saya : “Allah
menyuruh kita berdoa dengan menyebut dengan jelas bukan kerana Allah
itu tidak boleh mendengar jika kita memperlahankan suara. Doa yang
diungkapkan itu kembali pada Jazmi sebenarnya, bukan untuk Allah."
Jazmi : “Apa maksudnya Pak Cik ?”
Saya : “Dengan
mengangkat tangan, menyebut dengan jelas dan terang sehingga didengari
oleh telinga Jazmi sendiri, kemudian memahami setiap lafaz-lafaz doa
yang disebutkan, sesungguhnya perkataan positif yang diungkapkan dalam
doa itu adalah sebahagian dari penyelesaian masalah yang Jazmi hadapkan
pada Tuhan.”
Muhammad Al-Fatih adalah pemuda yang menorah tinta emas dalam sejarah
Islam membuka Kota Konstantinopel bukan dengan kekuatan kebijaksanaan
fikiran dan teknologi persenjataan sahaja, tetapi dengan kekuatan
spiritual dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah bersama dengan
guru besarnya, Shekh Aq Syamsuddin. Solat fardhu dan solat tahajjud
yang tidak pernah ditinggalkan oleh Al-Fatih sejak dari aqil baligh
adalah bukti bagaimana anak muda itu mengaplikasikan kuasa doa dalam
menjana pemikiran positif. Tanpa doa di celahan rakaat solat fardhu dan
tahajjud yang kerap kali dikerjakan, sudah pasti anda akan menyaksikan
episod demi episod Al-Fatih berputus asa untuk membuka kota
Konstantinopel itu berkesudahan dengan baginda mengundurkan diri dari
meneruskan asakan 53 hari ke atas benteng terkebal di dunia itu.
Sesungguhnya Barat memanggilnya sebagai “the law of attraction”
atau hukum tarikan, Islam memanggilnya sebagai “doa”, dan saya
memanggilnya sebagai “the law of pressure” atau hukum tekanan.
Berfikirlah positif, anda mampu mengubahnya !
Terima Kasih Konstantinopel
Pembukaan Konstantinopel pada 1453 Masihi ternyata membenarkan sabda
Tuhan bahawa pada setiap kesulitan itu ada kesenangan. Kesulitan 53
hari kepungan itu ternyata tidak lama jika dibandingkan dengan 27 tahun
kepungan demi kepungan seterusnya dalam puluhan misi ketenteraan dan
pembukaan Muhammad Al-Fatih ke atas tanah-tanah Eropah dan Balkan.
Namun, pengalaman menguruskan perang ke atas kota yang mempunyai tembok
terkebal dunia dan pelbagai lagi kenangan pahit manis sepanjang 2 bulan
menggempur Konstantinopel itulah menyebabkan Al-Fatih melihat cabaran
seterusnya sudah pasti lebih mudah untuk dilakukan.
Jika proses membuka Konstantinopel melalui jalan mudah, sudah pasti
Al-Fatih akan kekok dengan pengalaman-pengalaman baru dan lebih
menyulitkan di masa-masa mendatang, dan sudah pasti kekalahan demi
kekalahan pasukan beliau akan dirakamkan oleh sejarah lebih dari
kejayaan membuka Konstantinopel. Namun hakikatnya yang berlaku selepas
29 Mei 1453 Masihi adalah berbeza. Al-Fatih cuma tumpas sekali sahaja
di Belgrade, namun beliau ternyata sukses dalam majoriti misi pembukaan
dan peperangan jihad beliau di jalan Allah untuk membuka Eropah dan
Balkan.
Kenyataan berikut membenarkan hakikat bahawa pada setiap kesulitan itu
ada kesenangan. Ia hanyalah soal bagaimana anda berfikir kerana apa
yang anda lihat menentukan apa anda akan perolehi.
“Between 1461 and 1463, the conquest of the Balkans was
accomplished in a similar manner. It is not easy to communicate to a
large readership what this conquest entailed and to show how Albania
and Bosnia were incorporated into the empire. This difficulty is, in
fact, only to be expected, an appreciation of history cannot come from
reading and listening alone, as one also needs to have knowledge of the
geography of an area being studied. For this reason, my advice to young
people today is to try to visit the locations in questions. And when
they look at the rugged land of Ioannina, Shkoder and Bosnia, they will
really come to recognise the masterfulness and sophistication of the
military and diplomatic strategies used by Mehmed in this conquest.” (Ilber Ortayli, “Discovering The Ottomans”, halaman 64)
Terjemahan petikan utama :
“Sepanjang
tahun 1461 dan 1463, penawanan negara-negara Balkan telah disempurnakan
oleh Muhammad Al-Fatih dengan cara yang hampir sama dengan cara
penawanan Konstantinopel. Sesungguhnya bukan suatu kerja yang mudah
untuk memberitahu kepada sidang pembaca bagaimana peristiwa pembukaan
Balkan ini dilakukan dan bagaimana hebatnya Albania dan Bosnia mampu
diserapkan masuk ke dalam empayar Othmaniyah. Untuk menghargai sejarah,
fakta ini tidak boleh hanya diketahui dengan pembacaan dan pendengaran
sahaja. Seseorang mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai
geografi negara-negara Balkan itu. Ketika anda menyaksikan tanah kasar
Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengenali
betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan
usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray
Sesungguhnya peluang melakar
sejarah dalam hidup anda mungkin hanya datang sekali seumur hidup.
Kekadang ia memerlukan sedikit kerja keras dan menanggung sedikit malu
hanya untuk menorah sejarah yang tidak akan dilupakan oleh anda sendiri
buat selamanya. Yakinlah, sejarah emas itu tidak dinukilkan dengan
mudah sebagaimana kota Rom tidak terbina dalam masa sehari.
Sumber : Buku "Berfikir Gaya Al-Fatih", akan diterbitkan tidak lama lagi.
http://www.iskandarfateh.com/