Oleh : Muhamad Syaari Ab. Rahman,
Penulis Buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih”
29 Mei 2012, genaplah 559 tahun pembukaan Kota Konstantinopel di tangan
sultan ketujuh kerajaan Turki Osmaniah, Muhammad bin Murad Al-Fatih.
Kejayaan umat Islam pada tahun 1453 ini sangatlah besar maknanya. Ia
berlaku selepas hampir 200 tahun umat Islam meratapi pembantaian bangsa
ganas Tartar ke atas Baghdad, ibu kota Khilafah Islam Abbasiah.
Profesor Halil Inalchik dari Turki menyatakan kejayaan menamatkan
riwayat Empayar Rom Byzantin ini hadir selepas 12 percubaan dilakukan
umat Islam untuk menawan kota itu menemui kegagalan. Siapa sangka
sebuah bangsa yang jauh dari Rasulullah S.A.W sama ada dari segi
zamannya mahupun jasadnya di Madinah, namun akhirnya merekalah yang
merealisasikan ramalan Rasulullah S.A.W di medan Khandaq.
Tiada yang mustahil dan ajaib bagi mana-mana bangsa untuk memerintah
dunia apabila mereka berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam sebagai
cara hidup. Secara ringkas, saya rumuskan 10 strategi kemenangan Sultan
Muhammad Al-Fatih sebagaimana dianalisis para sejarawan terkemuka
seperti Profesor Halil Inalchik, Profesor Maksudoglu, Profesor Ilber
Ortayli dan Shekh Ali Muhammad As-Sollabi. Kesemua strategi ini
dihasilkan Sultan Muhammad sebaik sahaja beliau dibaiahkan sebagai
Sultan Osmaniah pada tahun 1451.
Ada 3 fakta penting yang mesti diambilkira sebelum kita membincangkan
faktor-faktor strategik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih :
1. Empayar Rom Byzantin ketika misi Abu Ayyub Al-Ansari dan bangsa Arab
tidak seluas empayar Rom Byzantin ketika misi bangsa Turki dan Sultan
Muhammad. Terima kasih kepada generasi sebelum Sultan Muhammad yang
bertanggungjawab menyempitkan kuasa Kristian Orthodoks itu sehingga ia
menjadi sebuah kerajaan yang kerdil dan kecil yang memudahkan Sultan
Muhammad untuk memberikan fokus sepenuhnya.
2. Sultan Muhammad mewarisi takhta kerajaan Osmaniah yang telah stabil
tanpa perpecahan dalam istana, kaya sehingga mampu menaikkan gaji
tentera, kental semangat jihad hasil dari kegigihan usaha ayahnya
mendatangkan para ulama terbaik dari seluruh dunia untuk berada di
Edirne.
3. Sultan Muhammad melalui proses pendidikan yang kemas dan teratur,
kurikulum yang seimbang dan menyeluruh mencakupi pendidikan spiritual
dan intelektual, serta hubungannya yang sangat erat dengan Syekh Aq
Syamsuddin, Mullah Qurani dan beberapa ulama tersohor yang lain.
Sekiranya Sultan Muhammad menaiki takhta pada usia 19 tahun itu tanpa
empayar Byzantin yang sudah disempitkan, tanpa kerajaan yang stabil
kedudukan politik dan ekonominya, tanpa pula wujud pendidikan yang
seimbang ke atas beliau sendiri, belum tentu kemenangan ke atas
Konstantinopel akan memihak kepada beliau.
Berikut 10 strategi mencakupi aspek dalaman dan aspek luaran dilakukan
Sultan Muhammad Al-Fatih ketika mentadbir Pulau Manissa selepas beliau
mengamati sedalam-dalamnya punca-punca kegagalan percubaan terdahulu.
1. Memastikan sokongan dan kesatuan sepenuhnya umat Islam terhadap
hasrat Sultan Muhammad membuka Konstantinopel melalui peranan Candarli
Halil Pasya, ahli politik paling berpengaruh ke atas institusi tentera
Janissaries dan Syekh Aq Syamsuddin, ulama paling berpengaruh di
kalangan rakyat Turki.
2. Melakukan penstrukturan semula sistem birokrasi dan pentadbiran
negara dengan perhatian khusus kepada sektor ekonomi dan kos
perbelanjaaan yang diperlukan untuk menuju Konstantinopel
3. Membuat penyamaran dan menghantar perisikan untuk menyelidik
kekuatan dan kelemahan dalaman Konstantinopel, dari ketebalan tembok
dua lapis dan kelemahan Greek Fire, hinggalah pada isu-isu semasa
politik yang tidak memihak kepada Maharaja Konstantinopel.
4. Membangun dan memodenkan 140 buah kapal perang, 320 buah perahu,
angkatan tentera berjumlah seramai 150,000 orang, termasuk dua belas
ribu tentera Janisari yang terlatih. Kesemua ini sebagai persiapan
mengepung dengan berkesan Konstantinopel dari segenap arah, memenatkan
mereka dan melumpuhkan senjata mereka melalui serangan bertali arus ke
atas tembok tanpa henti.
5. Menunggu justifikasi syariah untuk menghukum Konstantinopel di
samping menunggu masa, suasana, dan cuaca sebaiknya sebelum memutuskan
tarikh sebenar kepungan ke atas Konstantinopel, supaya tidak akan
berlaku sedikitpun kesilapan teknikal yang memungkinkan pengunduran
semula ke Edirne
6. Menyemak semula hubungan sedia ada antara kerajaan Turki dengan
negara-negara Eropah dan Balkan serta menawarkan hubungan dagangan yang
lebih baik dari tawaran pemimpin Osmaniah sebelumnya. Perhatian khusus
diberikan pada negara-negara jiran dan negara-negara yang bersekutu
dengan Konstantinopel agar mereka memihak kepada Turki atau bersikap
sekurang-kurangnya bersikap neutral apabila Konstantinopel diserang.
7. Memastikan Konstantinopel dipinggir dan dipencilkan dari sebarang
‘talian hayat’ melalui selat Bhosporus. Tentera Sultan Muhammad telah
membina Rumeli Hissari di bahagia Eropah bertentangan dengan Anadolu
Hissari di bahagian Asia dalam hanya 149 hari. Ia dibina untuk Sultan
Muhammad menguasai secara sempurna satu-satunya laluan berpotensi
sekutu Konstantinopel seperti empayar Trebizon.
8. Memberikan perhatian khusus pada bukit Galata dan memastikan Galata
bersikap neutral sepanjang tempoh perang. Akhirnya kawasan bukit
menghadap Bhosporus ini menjadi saksi tentera Sultan Muhammad
melayarkan 70 buah kapal-kapalnya di atas bukit pada jarak hampir 5
kilometer menuju untuk berlabuh di Tanduk Emas tanpa melalui sekatan
rantai
9. Mencipta meriam gergasi dan mortar untuk meremukkan tembok tebal 10
dan 15 meter Konstantinopel. Meriam Basilica ini seberat 1400 paun,
pelurunya seberat 300 kilogram, memerlukan 2 jam untuk memasukkan satu
peluru, mampu menembak 10 das tembakan dalam sehari, jarak capaian bom
sekitar 2-3 kilometer dengan bunyinya sahaja boleh didengari pada jarak
20 kilometer. Meriam ini dibina oleh seorang non-Muslim, namanya Orban.
10. Memastikan spiritual tentera sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Peranan para ulama sangat besar dalam setiap battalion. Peristiwa
pemindahan kapal di atas bukit selepas serangan sabotaj 4 kapal gergasi
dari Genoa, pembakaran khemah-khemah tentera Islam, tentera berani mati
yang menggali terowong bawah tanah Konstantinopel adalah antara
gambaran-gambaran menakutkan musuh akibat dari kentalnya didikan
keimanan dan cintakan mati kalangan tentera Islam.
Sehinggalah kemuncaknya lahirnya para pemuda yang cintakan mati lebih
dari hidup, rindukan syurga lebih dari kemenangan di dunia hingga
Hassan Ulubate yang syahid di atas panji Islam yang dipacakkan di atas
menara tembok. Namun demikian, filem 17 juta Dollar “Fetih 1453” yang
dihasilkan menonjolkan watak utamanya iaitu imej Hassan dengan imej
kesatria yang ‘tidak Islamik’ di sebalik sempurnanya aksi-aksi perang
53 hari itu menerusi teknologi kesan visual khas (CGI).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan