SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Sabda Rasulullah S.A.W. ketika
menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke
tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya
adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat
Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut.
Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan.
Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman
Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.
Di
dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang
sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan
dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya
sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka
beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda
sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka
membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat
besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan
hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah
ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah
Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan
tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik
tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda
dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di Adrianapolis
(sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda
sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana
telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda
juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya
membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki
takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (855 –
886H / 451 – 1481M). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan
panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan.
Baginda mangkat pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 bersamaan dengan 3
Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda
diracun.
PENDIDIKAN
Baginda
menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang
keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari
keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Di dalam ilmu peperangan
pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang
kuda oleh panglima-panglima tentera.
Di
dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di
zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin,
Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Mempunyai kepakaran dalam
bidang ketenteraan, sains, matematik. Di dalam bidang Ilmu politik
pula, ayahandanya, Sultan Murad II, ketika memencilkan diri di Pulau
Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku
jawatan Khalifah. Ia bertujuan untuk mendidik bagina dalam usia yang
sebitu muda. Walaupun begitu baginda telah matang menangani tipu helah
musuh.
KEPERIBADIAN
Muhammad
al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman
dan luaran para tenteranya. Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak
dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam
Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam
dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah
sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah
S.A.W dalam hadis.
Baginda sentiasa bersifat
tawaduk dan rendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda
membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga
ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda
seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan
selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama
2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya.
Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu
serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang
strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan
dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh
menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari
dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota
Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.
Selat Bosphorus dari Satelit
Benteng Rumali Hisari
Peta di dalam benteng Rumali Hisari
Bosphorus
adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan bahagian
Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini sepanjang
30 kilometer, dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadoluhisar? dan Rumelihisar?. Kedalamannya antara 36 hingga 124 meter.
Ia
dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia
yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini
mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian
damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk
memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda
membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi
membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding
kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat
berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam
bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir
memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah
segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja
Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota
tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota
tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya
rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
MENARA BERGERAK
Seterusnya
Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari
dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin
berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding
tengah kubu mereka.
BANTUAN DARI POPE VATICAN
Pope
di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata
dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi
untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula
semangat tentera Byzantin.
Rantai direntang sepanjang Teluk Golden Horn
PERANG DARI PUNCAK GUNUNG
Kegembiraan
mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran
72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini
adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas
gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.
Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy)
yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal
itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal
perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam
Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda
mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada
tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan
bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
MEMANJAT DAN MELASTIK DINDING
Keesokan
paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan
tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit
pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan
tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
KARISMA SEORANG PEMIMPIN
Pengepungan
selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan
rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang
genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai
tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu
syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan
Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30
tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak
bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani
anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus
menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu
Akbar.
PENAWANAN CONTANTINOPLE
Pada
20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan
Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) .
Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda
dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud
syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih”
iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada
kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa
yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya
termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak
baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali
sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun
di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda
bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini
pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian
daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda
bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini
pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.
Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri.
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan
Solat Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin
Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh
Rasulullah SAW di dalam hadisnya itu.
INGATAN
Memikirkan
tentang kehebatan al-Fateh dan tenteranya... suatu ketika, dalam
perjalanan menuju ke Constantinople, tentera al-Fateh melalui sebuah
kebun anggur yang besar dan buahnya sedang masak ranum. Namun, sebelum
melalui kebun tersebut, al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya
jangan diambil anggur itu walaupun sebiji.
Perjalanan
diteruskan hingga sampai di suatu tempat, mereka berehat. Setelah
didirikan khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah
dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul. Para
tentera diberitahu bahawa al-Fateh telah jatuh sakit. Setelah diteliti
oleh tabib, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia
bertanya kepada seluruh tentera, siapa yang mempunyai buah anggur,
kerana jika tidak, mungkin al-Fateh akan terus sakit dan mati.
Malangnya, tiada seorang pun tenteranya mempunyai buah anggur. Lalu
tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat dari segi
fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari
tenteranya yang mengingkari perintahnya. Maka keluarlah al-Fateh dr
khemah, dan memuji tenteranya dan menerangkan kepda mereka maksud
sebenar.
Mampukah tentera kita menyaingi kehebatan tentera Islam di zaman al-Fateh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan