Pertempuran
bersenjata yang berlaku pada 13 Februari 2013 di pangkalan tentera laut
yang terletak di sebuah kampung di Daerah Bachok, Wilayah Narathiwat,
telah menyebabkan gugurnya nyawa 16 orang anggota kumpulan bersenjata
yang selama ini berlawan dengan kerajaan Thai. Menurut seorang pegawai
tentera di Unit Khas 32 di Narathiwat, ini adalah kali pertama serangan
sedemikian yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata gagal.
Kerajaan Thai, seperti biasa, melabelkan penyerang sebagai pengganas,
penjenayah dan penjahat. Menurut beberapa sumber di Bangkok, kerajaan
juga mengheboh-hebohkan ‘kejayaan’ kali ini, kerana melalui jaringan
yang mereka namakan sebagai ‘kamnan network’ ada orang yang memberikan
maklumat mengenai serangan ini. Dengan kata lain, kerajaan mahu
menghebohkan bahawa kini sudah ada orang tempatan yang sanggup
membocorkan rahsia yang penting kepada pihak kerajaan. Walau
bagaimanapun, menurut satu lagi sumber yang boleh dipercayai, kenyataan
ini tidak benar sama sekali. Serangan kali ini gagal kerana ada
kesilapan pada pihak kumpulan bersenjata, dan melalui kesilapan itulah
bocor satu rahsia yang penting. Orang tempatan tidak terlibat dalam
‘penbocoran rahsia’ berkenaan.
Dari segi ketenteraan, ini memang satu kejayaan yang besar kerana
tentera kerajaan dapat mengurangkan jumlah askar pihak lawannya
sebanyak 16 nyawa. Walaupun begitu, ada pula kesan yang tidak
disangka-sangka oleh pihak berkuasa.
Selepas mayat-mayat telah dikembalikan kepada keluarga masing-masing,
ada pihak yang mengesyorkan supaya kesemua mayat 16 orang yang mati
dalam pertempuran dikebumikan di pekarangan sebuah masjid yang dikenali
sebagai Masjid 400 Tahun, atau Masjid Talok Mano. Masjid yang terletak
di Wilayah Narathiwat ini merupakan lambang kebudayaan Melayu Muslim
bagi penduduk tempatan, seperti Masjid Gersik di Patani. 16 orang yang
gugur pada tarikh berkenaan (13 Februari) datang daripada
kampung-kampung yang berlainan. Orang-orang yang sekampung dengan yang
gugur tidak setuju dengan pengesyoran ini; sebaliknya mereka menuntut
supaya jasad 16 orang itu disemadikan di kampung masing-masing. Jika
sekiranya orang-orang kampung bersetuju dengan pandagnan kerajaan yang
melabelkan mereka sebagai pengganas atau penjenayah, mustahillah orang
kampung menuntut supaya mayatnya dikebumikan di kampung mereka. Alasan
kenapa orang-orang kampung menuntut supaya mayat-mayat tersebut
dikebumikan di kampung masing-masing adalah kerana orang yang gugur
pada tarikh itu dianggap sebagai syahid.
Semua 16 mayat dikebumikan sebagai syahid (tanpa mandi mayat), dan
pengebumian pula dihadiri oleh ramai orang tempatan. Dalam satu klip
Youtube, terdapat beratus-ratus, malah beribu-ribu penduduk tempatan
beratur, mengusung jasad seorang syahid ke liang lahad. Satu sumber
mengesahkan bahawa klip ini memang pengebumian salah seorang daripada
yang gugur pada 13 Februari.
Ketika jasad seorang lagi syahid, Mad Rasul bin Ibrahim atau nama
Thainya Maroso Chantrawathee, yang paling terkenal antara semua pejuang
yang gugur, dikebumikan, pengebumiannya dihadiri oleh dua tiga ratus
orang penduduk tempatan. Pada hari pengebumian, kampung itu dikepung
oleh ramai askar. Menurut isteri Maroso, ‘orang luar tak boleh masuk,
orang dalam tak boleh keluar.’ Walaupun demikian, orang-orang tempatan
berikhtiar untuk menyertai pengebumian pejuang yang memang terkenal
dalam kalangan mereka.
Kesan kematian 16 orang syahid bukan sahaja terasa oleh orang-orang
yang sekampung dengan mereka. Contohnya, seorang penyair tempatan,
Abdulloh Wan Ahmad, sebaik sahaja mendapat berita keguguran tersebut,
mengarang sebuah sajak yang bernama ’13 Februari’ untuk mengenang
‘jasa’ mereka. Sajak ini pula dibaca oleh seorang rakan pemuzik
tempatan. Dia pula terus menggubal muzik untuk sajak tersebut, maka
lahirlah lagu ’13 Februari’, nyanyian Madu Band. Lagu ini dimuat naik
atas Youtube, dan mendapat sambutan yang laur biasa bagi lagu tempatan.
Ketika artikel ini ditulis, klip lagu ini telah ditonton oleh lebih
daripada 15, 000 orang.
Mad Rasul atau Maroso pula, sesuai dengan peranannya yang penting dalam
angkatan bersenjetanya dan paras wajah yang tanpan, seolah-olah telah
menjadi ikon perjuangan bagi orang tempatan, terutamanya dalam kalangan
remaja. Setelah kejadian itu berlaku, gambar beliau serta-merta
dikongsi dalam ruangan media sosial Facebook, dan ramai pula yang
menggunakan gambar beliau sebagai gambar profil sendiri. Ada pula yang
mengubah suai gambar Maroso, dalam gaya yang sama dengan gambar pejuang
terkenal Che Guevara. Gambar ini juga dikongsi oleh ramai. Antara semua
rakan Facebook penulis yang lebih daripada seribu orang, tidak kurang
daripada 15 orang menggunakan gambar tersebut sebagai gambar profilnya.
‘Laman peminat (Fan page)’ untuk Maroso pula dibuka oleh orang yang
tidak dikenali keluarganya sendiri. Walau bagaimanapun, laman ini telah
disukai oleh lebih daripada 1500 orang.
Kisah di sebalik perjuangan Maroso juga memberi kesan yang mendalam
kepada masyarakat tempatan di Patani. Sebuah dokumentari telah
diusahakan oleh Wartani, sebuah pertubuhan wartawan alternatif, yang
berteraskan wawancara dengan keluarga pejuang yang telah gugur. Dalam
wawancara tersebut, Rusnee, isteri kepada Maroso menjelaskan betapa
kuat rasa tanggungjawab Maroso terhadap keluarganya. Peribadi yang
digambarkan melalui wawancara itu bukan orang yang gila kuasa, ganas
dan pemarah, sebaliknya seorang bapa yang penuh dengan tanggungjawab
dan kasih sayang terhadap keluarganya. Klip ini sudah ditonton oleh
tidak kurang daripada 30,000 orang di ruang Youtube.
Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa orang-orang yang pihak kerajaan
terus-menerus
melabelkan sebagai ‘pengganas’ atau ‘penjahat’, bagi kaca mata penduduk
tempatan ialah pejuang patani yang mati syahid. Mereka ialah pahlawan.
Tetapi pandangan penduduk tempatan tidak pernah difahami oleh
pegawai-pegawai kerajaaan. Orang-orang tempatan dan kerajaan berkongsi
bumi yang sama, tetapi masing-masing dengan pandangan dunia yang
berlainan.
Ketika penulis dan rakan-rakan pemberita mencari maklumat di sebuah
balai polis di Daerah Bachok, seorang pegawai polis menyatakan bahawa
daerah ini akan selamat kerana ketua pengganas telah mati (yang
dimaksudkan ialah Maroso).
Di kubur Maroso, ada orang yang mendermakan batu nisan yang mencacat
bahawa ‘Pahlawan Patani/Syahid’, dan tentera pula mengugut keluarganya
untuk mencabut batu nisan tersebut.
Ketidakpekaan kerajaan terhadap sentimen orang tempatan akan
membahayakan proses perdamaian yang baru sahaja bermula. Kini kerajaan
sudah mengaku bahawa ada orang yang mempunyai pendirian serta ideologi
yang berbeza daripada kerajaan, dan bersedia untuk mengadakan
perbindangan kedamaian. Mungkin yang dimaksudkan oleh kerajaan ialah
BRN semata-mata. Dalam perhimpunan Bicara Patani II yang dihadiri oleh
tujuh ribu orang penduduk tempatan, hampir semua peserta sebulat suara
mengaku bahawa mereka juga mempunyai pendirian dan ideologi yang
berbeza daripada kerajaan. Dengan itu, kerajaan harus mengaku dan
menghormati pendirian dan ideologi orang tempatan yang tidak sama
dengan kerajaan.
Program-program yang bertujuan untuk asimilasi kerap kali diadakan di
kawasan Wilayah Sempadan Selatan, tetapi program-program seperti ini
tidak akan memenangi hati penduduk tempatna. Program-program yang
sedemikian, yang memakan belanja yang besar, pada pandangan penulis,
sama sekali tidak perlu diadakan, dan tidak akan mendatangkan manfaat
yang dikehendaki oleh pihak kerajaan. Apa yang kerajaan, terutamanya
pegawai keselamatan, khasnya tentera, harus lakukan ialah hentikan
segera semua tindakan yang tidak adil dan menyakiti hati orang
tempatan, termasuk penahanan secara rambang, penyeksaan, ugutan,
pemeriksaan rumah tanpa mendapat kebenaran dan lain-lain.
Kerajaan dan masyarakat Thai awam tidak perlu menganggap Maroso dan
syahid yang lain sebagai wira atau pahlawan. Tetapi mereka perlu
mengaku bahawa antara rakyat Thai yang hidup di Wilayah Sempadan
Selatan, ramai yang beranggapan sedemikian. Penafian kebangsaan Melayu,
budaya Melayu, sejarah Melayu dan juga bahasa Melayu selama sembilan
tahun kebelakangan ini tidak menghasilkan apa-apa kesan positif,
sebaliknya semakin menjauhkan hati orang tempatan daripada pihak
kerajaan. Jika kerajaan iklas dan serius dalam proses perdamaian yang
bermula ini, hormatilah hak orang tempatan seperti yang dilakukan di
tempat-tempat lain di negara ini, dan terimalah hakikat bahawa ada
ramai yang pendirian serta ideologinya berlainan daripada kerajaan.
Tidak ada apa-apa yang bermanfaat boleh dihasilkan melalui penafian
semata-mata. Pengakuan terhadap pandangan dunia yang berbeza ialah
langkah pertama yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dan tentera.
http://www.deepsouthwatch.org/node/4088
Tiada ulasan:
Catat Ulasan