Selasa, 11 Jun 2013

Wanita Islam di PATANI jadi mangsa tentera Thai

Bangkok: Pejuang hak asasi untuk penduduk Islam Thai, Angkhana Neelaphaijit menyuarakan kebimbangan mengenai serangan seksual berterusan terhadap wanita Islam oleh anggota keselamatan di Yala, Pattani dan Narathiwat.
Angkhana, isteri peguam yang diculik, Somchai Neelaphaijit, yang menyediakan bantuan guaman kepada suspek Muslim di tiga wilayah paling selatan Thai itu berkata demikian pada sidang akhbar oleh Amnesty International untuk melancarkan laporan tahunannya, kelmarin.

Menurutnya, wanita Islam yang diperkosa oleh tentera Thai dibayar Bt200,000 (RM20,000) dan dipaksa merahsiakan hal itu atau dipaksa berkahwin dengan tentera terbabit yang kemudian tidak didakwa.

“Tiada anggota keselamatan yang melakukan pencabulan hak asasi didakwa. Apabila mereka mengakhiri tugasan di selatan, mereka akan dipindahkan ke tempat lain.


“Wanita Islam itu akan dibawa bersama. Tetapi kebanyakan perkahwinan itu berakhir dengan perceraian kerana mangsa tidak boleh menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempat baru,” katanya.

Angkhana berkata, penduduk Islam termuda yang dirogol sehingga hamil ialah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Yala.

Meskipun jumlah pencabulan hak asasi, termasuk penderaan, penculikan dan pembunuhan berkurangan, tindakan membunuh oleh anggota tentera terhadap suspek yang dibebaskan mahkamah semakin meningkat.

Angkhana juga berkata, penduduk tempatan tidak lagi mempercayai sistem kehakiman kerana penyiasat sering gagal mencari bukti untuk mendakwa anggota tentera yang terbabit dengan jenayah sehingga membolehkan mereka dibebaskan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan membayar wang sebagai ganti rugi kepada mangsa.

“Wang tidak boleh mengganti nilai dan maruah manusia. Masyarakat yang tidak diberi keadilan tidak akan mencapai keamanan,” katanya. - The Nation



Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26
dari. http://www.hmetro.com.my/articles/WanitaIslamjadimangsatenteraThai/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan