Tuntutan Awal perkara 4 - Kerajaan Thai mesti mengakui wujudnya HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI atas bumi Patani.
Seperti
dinyatakan sebelum ini, perkara ke-4 ini adalah satu isu pokok (core
issue) yang menjadi PAKSI kepada segala permasaalahan konflik Patani
yang berlanjutan lebih dari 200 tahun. Perbincangan isu yang penting
ini tidak akan lari dari perkara perkara yang melibatkan kebenaran dari
segi sejarah, politik dan perundangan.
Untuk mengupas kosep HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI perlu dilihat dari TIGA aspek penting konsep ini. Pertama PATANI sebagai BUMI, kedua BANGSA MELAYU sebagai ETNIK, dan ketiga HAK PERTUANAN sebagai PEMILIK BERKUASA. Berikut ini akan diperincikan satu persatu .
1. PATANI
sebagai BUMI - Apabila memperkatakan tentang PATANI harus kembali
kepada hakikat sejarah. Majoriti ahli dan pengkaji sejarah telah
sepakat bahawa kawasan di bahgian Thai Selatan yang merangkumi tiga
wilayah terselatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat dan sebahgian
daripada Songkhla sekarang adalah dahulunya sebuah empayar besar yang
dikenali sebagai LANGKASUKA. Ahli sejarah menganggarkan empayar ini
wujud pada kurun pertama Masihi atau sebelum itu lagi. Mengikut catatan
orang China pada tahun 515 seorang raja dari Langkasuka bernama
Bhagadatta telah mengadakan perhubungan diplomatik dengan China dan
menghantar utusan ke negara itu pada tahun 523, 531 dan 568. Catatan
China juga menyebut pelbagai nama bagi Langkasuka: Lang-Ya-Shiao,
Lang-Yi-Sia, Lang-see-chia dan lain-lain.
Ini bererti
bahawa Langkasuka diasaskan jauh lebih awal dari Empayar Sukhothai
(1238 M) yang dianggap oleh orang Siam sebagai permulaan mereka
berkerajaan. Ada pun Empayar Lavo yang diasaskan pada sekitar tahun 450
AD adalah sebuah kerajaan bangsa Mon ( bukan dari bangsa Thai) yang
pernah bernaung di bawah Empayar Khmer sehingga ia dijadikan sebahgian
dari Empayar Ayutthaya pada tahun1388 M.
Langkasuka,
walaupun sebagai sebuah empayar besar pada masa tertentu apabila lemah
telah dinaungi oleh empayar lain yang lebih kuat seperti Seriwijaya(
berpusat di Palembang, Sumatra), Majapahit (berpusat di pulau Jawa) dan
Sukhothai melalui kerajaan naungannya Tambralinga (berpusat di
Ligor).Dalam keadaan tertentu apabila penguasaan asing menjadi lemah,
kerajaan Langkasuka kembali berdaulat dan merdeka. Kesan peninggalan
sejarah berupa kota dan rumah ibadat didapati bertaburan di seluruh
wilayah Selatan sekarang terutama di ibu kotanya KOTA MAHLIGAI
disekitar Kampung Chalik, Daerah Yarang sekarang.
Apabila pusat
pemerintahan berpindah ke lokasi baru di KERISIK atau di Pata Ini (atau
setengah riwayat menyatakan Kampung Pak Tani) maka dinamakan negeri itu
PATANI, sehinggalah apabila raja memeluk Islam (dari asal Buddha) dan
diasaskan sebuah pemerintahan Islam, dinamakan pula sebagai PATANI
DARUSSALAM. Hanya apabila serangan dari Siam (yang sentiasa mahu
mengembangkan wilayahnya) datang bertubi-tubi bermulanya dari Kerajaan
Ayutthaya sehinggalah akhirnya berjaya ditawan pada tahun 1786 M dalam
pemerintahan Raja Rama 1 dari Dinasti Chakri. Setelah itu status negara
Patani bertukar secara berperingkat dari sebuah negara yang berdaulat
dan merdeka akhirnya menjadi sebahgian dari negara Thai seperti
sekarang.
Oleh itu sama
ada BUMI ini bergelar LANGKASUKA, PATANI, PATANI DARUSSALAM, MONTHON
PATANI atau sekarang ini dipecah-pecahkan menjadi wilayah-wilayah
(Changwad) yang kecil merangkumi Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan
Songkhla di Thai Selatan, hakikatnya LOKASINYA TETAP SAMA, BUMI YANG
SAMA, langitnya dan lautnya juga. Meskipun pada zaman-zaman tertentu
sempadan dan wilayah yang dikuasainya berubah, BUMInya TIDAK BERUBAH.
2. BANGSA MELAYU
sebagai ETNIK - Empayar Langkasuka dikategorikan oleh pengkaji sejarah
sebagai NEGERI MELAYU BERPENGARUH INDIA ( Indianised Malay State ) atas
asas ia diduduki dan dikuasai oleh orang Melayu, bertutur Bahasa
Melayu, beradat dan kebudayaan Melayu. Penganutan agama mengikut
pengaruh dari India, iaitu agama HINDU pada awalnya sebelum bertukar
menjadi BUDDHA waktu kemudian. Tulisan juga dipinjam dari tulisan
Sanskrit gaya Pallava. Hanya pada zaman Patani Darussalam tulisan yang
digunakan ialah dari huruf Arab yang dikenali sabagai tulisan Jawi.
Antara
"Indianised Malay States" yang lain yang pernah wujud di Semenanjung
Tanah Melayu dan Nusantara ialah Seriwijaya, Tambraliga, Majapahit,
Melaka, Temasik (Singapura) dan lain-lain.
Walaupun
terdapat juga bangsa bangsa lain selain bangsa Melayu yang pernah
menduduki Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula) seperti Mon
(Burma), Khmer, Sumatra, Jawa, Siam Tai (selatan), Siam (Thai), Orang
Asli dan lain-lain, tetapi BANGSA MELAYUlah yang paling DOMINAN dan
tonggak pemegang kuasa.
Bukti
pendudukan dan penguasaan Melayu di Semenanjung ini tidak sukar untuk
diperolehi. Sebahgian besar penempatan penting adalah bernama Melayu.
Bermula dari Segenting Kra (Kera), Cahaya atau Jaya ( Chaiya), Ligor
(Nakhon Sri Thammarj ), Surat ( Suratthani ), Bedelung (Pathalung),
Gerebi ( Krabi ), Bunga (Phu-nga/ Phang-nga), Bukit (Phuket ), Renong
(Ranong), Terang ( Trang), Singgora (Songkhla ), Patani (Pattani), Jala
(Yala), Menara ( Narathiwat ) dan Setul (Satun). Itu belum lagi
daerah-daerah dan kampung-kampung kecil yang kebanyakannya adalah NAMA
MELAYU. Hanya apabila zaman beredar selepas dijajah, sebutan nama turut
berubah mengikut pengaruh bahasa asing (Siam) atau ditukar terus
menjadi nama Siam.
Dapat
disimpulkan bahawa sejak dari zaman Langkasuka sampai ke era Patani
Darussalam hingga ke hari ini, asal usul, sifat dan keturunan (ethnic )
bangsa MELAYU yang bermastautin di bumi ini secara turun-temurun TIDAK
PERNAH BERUBAH. Yang berubah hanyalah kepercayaan beragama, bermula
dari Hindu kemudian Buddha dan akhirnya Islam.
3. HAK PERTUANAN -
sebagai PEMILIK BERKUASA. Dari segi bahasa ia berarti "Hak Pemilik"
(Ownership right). Hak Pertuanan sebagai satu kosep politik, ia
bermakna " Suatu HAK yang diberi kepada atau yang ada pada atau
yang diperolehi oleh, sesaorang atau suatu kaum, memilki SESUATU secara
SAH, dan mempunyai KUASA MUTLAK ke atasnya." ( It is the RIGHT
given to, or attained by or acquired by a person or people, to OWN
something rightfully, which he or they possess ABSOLUTE POWER over it).
Dengan hak yang ada padanya, pemilik HAK yang SAH itu mempunyai kuasa
pemilikan yang penuh dan bebas menentukan apa sahaja yang difikirkan
sesuai dan baik untuk perkara atau barang yang dimilikinya.
Contoh paling
mudah ialah sesaorang memiliki sebidang tanah secara SAH, sama ada
secara dibeli, ditukar, dihadiahkan atau sebagai harta peninggalan.
Secara SAHnya tanah tersebut adalah HAK MILIKnya (Ownership Right). Dia
berkuasa penuh keatasnya dan bebas membuat apa sahaja ke atas tanah
itu, sama ada hendak mengusahakannya dengan tanaman,membina rumah atau
di sewakannya atau menjualkannya. Sekiranya ada sesaorang mahu menyewa
tanah tersebut maka penyewaan itu tidak menjejaskan haknya yang sah
sebagai pemilik sebenar.
Kalaupun ada
pihak tertentu yang datang entah dari mana, menceroboh dan merampasnya
secara paksa , atau mengusir pemilik asalnya keluar, ia juga TIDAK
meluputkan HAK MILIK sebenar pemilik tanah itu. Tuan tanah pemilik asal
itu berhak dan pasti akan menuntut kembali tanah miliknya itu kerana
itu adalah haknya yang sah.
Sejak dari
zaman Kerajaan Langkasuka sehingga ke era Patani Darussalam Hak
Petuanan dari segi kuasa pemerintahan (sovereignty) adalah di tangan
Raja, Sultan atau pemerintah dari kalangan orang berbangsa Melayu yang
mendiami secara berterusan dan turun temurun di kawasan negeri itu.
Walaupun pada mulanya agama berlainan pada zaman Langkasuka (Hindu dan
Buddha), kemudian bertukar kepada Islam, mereka itu adalah dari
keturunan dan talian yang sama, iaitu orang MELAYU. Ertinya Hak
Pertuanan dalam kuasa memerintah adalah di tangan orang MELAYU.
Meskipun pada
waktu-waktu tertentu Langkasuka atau Patani hilang kuasa pemerintahan
kerana diserang dari luar lalu ia ditawan dan diletakkan di bawah
penguasaan asing, hakikatnya Hak Pertuanan orang Melayu ke atas bumi
ini TIDAK LUPUT dengan penjajahan itu, walaupun hak itu juga dinafikan.
Lalu apabila Patani Darussalam jatuh ke tangan Siam pada tahun1786,
orang Melayu hilang kuasa pemerintahan , tetapi Hak Pertuanan Melayu
Patani tetap tidak luput walaupun dinafikan oleh penjajah Siam.
Maka orang
Melayu mula bangkit menentang penguasaan Siam ke atas Patani dengan
dipimpin oleh Tengku Lamidin, Datuk Pengkalan, Raja Abdul Qadir
Kamaruddin dan puteranya Tengku Mahmood Mahyiddin, Tuan Guru Haji
Sulong dan lain-lain sepanjang sejarah penjajahan sehinggalah kepada
para pejuang masa kini. Tujuannya tiadak lain dari mengembalikan hak
yang ternoda itu, iaitu hak kuasa pemerintahan, kerana BUMI ini adalah Hak (milik) Pertuanan Melayu yang mesti ditebus kembali untuk diserahkan kepada tuan hak yang sebenar, yakni Bangsa Melayu Patani.
Secara
perbandingan, apabila Kerajaan Ayutthaya jatuh ke tangan Burma pada
tahun 1569 M orang Siam mula bangkit untuk merebut kembali tanah air
mereka, sebab mereka, walaupun kehilangan kuasa pemerintahan, cukup
yakin akan Hak Pertuanan Bangsa Siam ke atas bumi Ayutthaya.
Pada tahun 1593 M dibawah pimpinan Raja Naresuan bangsa Siam dapat
menghalau keluar orang Burma dan menguasai kembali kerajaan mereka.
Peristiwa
serupa berulang lagi kemudiannya pada tahun 1767 M, Ayutthaya kembali
jatuh ke tangan Burma, tetapi telah dapat ditebus semula oleh Raja
Taaksin bersama orang Siam. Raja Taaksin kemudian memindahkan pusat
pentadbiran ke Thonburi setelah Kota Ayutthaya hancur punah ranap
kerana peperangan. Semangat untuk menebuskan kembali kuasa pemerintahan
yang hilang itu berpaksikan keyakinan dan kepercayaan yang benar dan
sah bahawa Hak Pertuanan ke atas bumi Siam itu adalah Hak Milik bangsa Siam.
Dalam dua
peritiwa ini bolehkah dikatakan bahawa kedua-dua Raja Naresuan dan
Taaksin itu adalah PEMBERONTAK, PEMISAH atau PENGGANAS, hanya kerana
mereka berjuang untuk membebaskan tanah air mereka dari kuasa asing ?
Tentu sekali tidak ! Begitulah juga tidak wajar dipanggil pejuang
Patani sebagai pemberontak,pemisah atau pengganas sebab mereka juga
melakukan perkara yang sama seperti kedua-dua Raja itu.
Dalam konteks
Proses Perdamaian Patani yang sedang berjalan sekarang, isu Hak
Pertuanan Bangsa Melayu Patani ke atas bumi Patani, yang telah
dinafikan oleh pihak Thai, telah dijadikan satu daripada asas untuk
penerusan perbicaraan. Pihak pejuang meminta supaya penafian itu
digugurkan sekali gus mengakui bahawa wujudnya Hak Pertuanan Bangsa Melayu Patani ke atas bumi Patani.
Termasuk dalam
kerangka Hak Pertuanan ini adalah: Hak Asasi Manusia dan
Keadilan(Justice and Basic Human Rights) bagi masyarakat Melayu Patani
diakui dan dipatuhi, Hak Penentuan Nasib Sendiri (Right to
Self-Determination), Kovenan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial
dijamin, dan yang terutama Kerajaan Thailnd perlu memberi peluang
dan ruang untuk Bangsa Melayu Patani mentadbir bumi Patani dengan
sendiri. Corak dan skop pentadbiran serta kuasa pemerintahan secara
terperinci akan ditentukan bersama dalam perbicaraan apabila ia sampai
pada tahap rundingan nanti.
Jika benar
kedamaian yang dicari oleh pihak Thailand, seharusnya mereka menyambut
baik dan bersetuju kesemua Tuntutan awal 5 perkara ini untuk
dibicarakan, bagi membolehkan proses damai kembali bergerak ke hadapan
,demi membuahkan hasil yang boleh dikecapi oleh kesemua rakyat di
Wilayah Selatan yang sudah lama bergolak ini.
**** Terkini : Pihak
BRN telah mengemukan huraian terperinci mengenai Tuntutan Awal 5
Perkara (termasuk perkara 4) kepada Kerajaan Thailand melalui
perantaraan fasilitator (Malaysia). Pihak Thai akan diberikan masa
secukupnya untuk berbincang dikalangan mereka dan memberi maklum balas
pada kadar yang munasabah. Jika responnya adalah positif, yakni pihak
Thai bersetuju terima untuk membicarakan kesemua 5 perkara itu, putaran
roda proses damai KL akan bergerak semula.
Cuka dan Madu – Dari Luar Pagar Patani
Zul Qaedah/ September 2013.Dari:
http://www.deepsouthwatch.org/node/4740
dalam bahasa thai: