By Abu Hafez Al-Hakim
Seperti
diketahui umum, kini Proses Damai Patani telah tertangguh buat
sementara. Sejak bermula 6 bulan lepas, inilah kali pertama proses ini
menemui halangan. Setelah Initiatif Ramadhan tidak membuahkan hasil
yang diharapkan, kini pihak pejuang kembali merujuk kepada Tuntutan
Awal 5 perkara yang dikemukan pada sidang mesyuarat ke-3 bertarikh 29
April 2013. Dalam pertemuan itu pihak pejuang telah memperincikan
butiran 5 perkara itu disusuli dengan penyerahan dokumen rasmi kepada
pihak Thai. Wakil Thai bertanggungjawab untuk kembali berbincang dengan
kerajaan mereka dan memberi jawapan pada jangka masa yang munasabah.
Meskipun 4 bulan
sudah berlalu, masih belum ada jawapan daripada pihak Thai. Sebaliknya
mereka pula mahu penerangan yang lebih jelas. Dalam keadaan proses yang
kini "tergantung", kesemua komunikasi hanyalah melalui pihak
fasilitator. Tiada perjumpaan secara langsung di meja rundingan.
Apakah tuntutan
awal 5 perkara ini terlalu penting sehingga ianya diulang beberapa kali
dalam pengisytiharan BRN dan memerlukan dokongan Majlis Syura BRN
dengan pengisytiharan oleh Angkatan Bersenjata melalui Youtube bahawa
"peroses perbicaraan tidak akan berlangsung sehingga mendapat jawapan
kepada perkara tersebut ?”
Pada pandangan kami, jika diteliti secara halus dan jujur, kesemua Tuntutan Awal 5 perkara itu bukanlah TUNTUTAN SEBENAR
seperti mana lazimnya sesuatu tuntutan yang dikemukakan dalam mana-mana
rundingan. Perlu diingat bahawa proses ini sekarang masih berada di
tahap DIALOG bukannya RUNDINGAN. Jadi tidak berbangkit soal pihak
pejuang membuat tuntutan secara "premature" seperti tanggapan pihak
tertentu.
Hakikatnya Tuntutan Awal 5
perkara itu lebih merupakan JAMINAN KEIHKLASAN yang diminta oleh pihak
pejuang daripada pihak kerajaan Thai. Kami menyertai proses damai ini
adalah untuk mencari penyelesaian politik yang ADIL, BERKEKALAN dan
MEYELURUH bagi konflik Patani, manakala pihak kerajaan Thai pula
dilihat hanya berminat untuk mengurangkan atau menghentikan keganasan
sahaja. Maka sudah sepatutnyalah pihak Thai MENGUBAH SIKAP, menzahirkan
NIAT dan KEIKHLASAN mereka dengan memberi respon positif kepada jaminan
keikhlasan yang diminta melalui 5 perkara itu.
Mari kita
perhalusi satu persatu apa yang TERSURAT dan apa yang TERSIRAT di
sebalik Tuntutan Awal 5 perkara itu supaya kita akan lebih mengerti
sedalam-dalamnya tanpa sebarang prejudis.
1. Rundingan ini adalah di antara pejuang Patani yang dipimpin oleh BRN dengan kerajaan Thai.
Apa yang diminta
di sini ialah pengesahan bahawa kesemua kumpulan perjuangan Patani,
dengan BRN sebagai faksi dominan, adalah wakil yang sah sebagai pembela
hak dan kepentingan Bangsa Melayu Patani yang mendokong misi dan
aspirasi rakyat dalam menuntut hak-hak mereka. Tuntutan ini lebih
dilihat sebagai satu PERAKUAN HAK PERWAKILAN (Recognition of Legitimate
Representative). Dari segi pelaksanaannya boleh difahamkan bahawa
perakuan ini sudah pun berlaku secara otomatis dengan termeterainya "Persetujuan Umum berkenaan Dialog Proses Damai " pada 28 Feb 2013. Pihak pejuang atau disebut sebagai “mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan"
(dirujuk sebagai parti B) sudah berada pada status yang diperakui itu.
Ia bererti bahawa selepas ini pihak Thai hendaklah "berurusan" dengan
barisan pejuang yang diperakui sahaja untuk mengelak penglibatan dari
kalangan mereka yang oportunistik atau perosak (spoiler). Mana-mana
kumpulan lain yang fikirkan mereka juga adalah "pihak berkepentingan"(
Stake-holder), seharusnya membuat permohonan secara rasmi kepada
sekretariat Fasilitator( Malaysia) supaya ia dapat dipertimbangkan dan
dipersetujui oleh kedua-dua pihak (Wakil pejuang dan Wakil Thai). Ia
juga membawa maksud bahawa pihak Thai juga tidak seharusnya membuka
"saluran perbincangan" yang lain seiringan dengan proses dialog yang
sedang berlangsung, seperti yang pernah dibuat sedikit masa lalu, agar
proses ini tidak terjejas.
2. BRN bersetuju melantik Kerajaan Malaysia sebagai Mediator yang terlibat secara langsung dalam rundingan ini.
Setakat ini
status perbincangan hanya berupa DIALOG antara DUA pihak (Thai dan
Pejuang) dan ia memadai untuk usaha membina keyakinan (confidence
building) antara kedua-duanya . Penglibatan kerajaan Malaysia setakat
ini hanyalah peranan fasilitator yang PASIF, selaku tuan rumah dan
lebih bersifat sebagai seorang penyampai surat (postman). Apabila
proses ini maju ke peringkat RUNDINGAN nanti, peranan sebagai "posmen"
tidak sesuai lagi. Penglibatan Malaysia secara aktif dan langsung sudah
tidak dapat dielakkan, memandangkan di peringkat itu nanti beberapa isu
besar dan rumit akan diketengahkan oleh kedua belah pihak. Jika berlaku
sebarang "gangguan" atau "halangan" yang mungkin menjejaskan proses,
maka pihak mediator akan main peranan AKTIF untuk meleraikan beberapa
kekusutan yang mungkin timbul. Pada peringkat itu nanti proses damai
akan melibatkan TIGA pihak (Three Parties)
3. Proses rundingan hendaklah
disaksikan oleh wakil-wakil dari negara Asean, OIC dan NGO yang
dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Tuntutan ini
adalah suatu perkara lumrah dalam mana-mana rundingan antara dua pihak
yang bertelagah, bukan sahaja memerlukan peranan mediator yang baik dan
dipercayai, tetapi juga para pemerhati asing yang berkecuali, yang
mendokong perinsip hak asasi manusia serta cinta kepada kedaimaian dan
keamanan. Ini adalah supaya apa sahaja yang dibangkitkan dalam
rundingan dan diputuskan nanti akan dipatuhi, dihormati dan disaksikan
oleh semua pihak. Kebimbangan pihak Thai yang terus mahu mengekalkan
isu konflik Patani sebagai isu dalaman (domestic) pada tahap ini sudah
tidak lagi relevan. Mengantarabangsakan (internationalisation) Proses
Damai Patani akan lebih memudahkan proses ini maju ke hadapan,
menjadikannya telus, berjalan dengan lancar, dan hasilnya nanti akan
didokong oleh SEMUA pihak yang terlibat.
4. Kerajaan Thai mesti mengakui wujudnya HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI atas bumi Patani.
Antara kesemua 5 Tuntutan Awal, perkara ke 4 inilah yang menjadi topik hangat perbincangan sebagai persoalan pokok (core issue).
Oleh sebab ianya AMAT PENTING dan memerlukan penghuraian yang sangat
panjang dan terperinci serta melibatkan sejarah dan perundangan, saya
mohon untuk memperjelaskannya dalam artikel berasingan (Bahgian ke-2)
yang akan menyusul kemudian.
5. Pihak BRN menuntut supaya
Kerajaan Thai membebaskan semua tahanan atas kes politik dan
menghapuskan semua waran tangkap keatas pejuang Patani tanpa syarat.
Satu daripada
masalah terbesar yang tidak dapat diatasi (atau sengaja tidak mahu
diatasi) oleh kerajaan Thai ialah masalah KEADILAN. Bersandarkan TIGA
undang-undang (Undang-undang Darurat, Dikri Darurat serta Akta
Keselamatan Dalam) yang menghakis Hak Asasi Manusia dan membataskan
kebebasan rakyat, pihak berkuasa Thai telah membuat banyak tangkapan
atas orang Melayu Patani hanya berdasarkan aduan, syak atau tangkap
muat secara sembrono, dengan alasan mereka itu terlibat dengan
keganansan, atau perjuangan atau sebarang serangan TANPA BUKTI KUKUH.
Siapa sahaja yang bersuara lantang atau mengkritik kerajaan akan dicap
sebagai "penentang" atau pemberontak. Tuntutan ini tidaklah
keterlaluan kerana sebahgian besar tahanan adalah atas kes politik.
Jika dokumen "Persetujuan Umum berkenaan Dialog Proses Damai" bertarikh 28 Feb 2013 telah memberi pengiktirafan kepada pihak pejuang sebagai "mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan", maka
tahanan politik tersebut juga termasuk dalam kategori yang sama dan
mereka wajar dibebaskan atau diberi pengampunan (amnesty) tanpa syarat.
Begitu juga dengan semua waran tangkap yang dikeluarkan untuk tujuan
yang sama, perlu dihapuskan semuanya.
Seperti yang dijelaskan pada
mulalnya, Tuntutan Awal 5 perkara ini lebih merupakan JAMINAN
KEIKHLASAN yang diminta oleh pihak pejuang sebagai asas atau landasan
untuk perbincangan di peringkat seterusnya. Jika asas perbincangan ini
tidak diletakkan pada landasan yang kukuh dan betul, adalah dikhuatiri
Proses Damai Patani yang panjang dan berliku ini tidak akan membuahkan
hasil yang memuaskan SEMUA pihak. Jika ini terjadi amat malang sekali
bagi Rakyat di Patani dari semua bangsa dan keturunan akan terus berada
di dalam konflik politik yang tidak berkesudahan, dengan kehilangan
harta benda dan nyawa.
Kehidupan menjadi porak peranda dengan seribu satu macam masalah politik dan sosial yang mencengkam.
** Terkini: Difahamkan
pada 2 September 2013 pihak Thai sudah memberi respon terhadap 5
perkara di atas kepada BRN melalui fasilitator, membayangkan kerajaan
Thai "bersedia" untuk menerima tuntutan itu kecuali yang ke 4 (
berkaitan HAK PERTUANAN ) yang masih memerlukan penjelasan lanjut
daripada BRN. Huraian terperinci akan dikemukakan oleh BRN, juga
melalui fasilitator, kepada pihak Thai tidak lama lagi. Adalah
dijangkakan kemelut Tuntutan Awal 5 perkara ini akan dapat dirungkai
sebelum akhir bulan September 2013, dan selepas itu mesyuarat secara
rasmi akan disambung semula setelah tarikhnya ditetapkan. Sama-samalah
kita tunggu.
Cuka dan Madu - dari Luar Pagar Patani
Zul Qaedah/September 2013.
dari: http://www.deepsouthwatch.org/node/4706
Tiada ulasan:
Catat Ulasan