(Rencana ini pernah dimuat di Majalah Milenia Muslim bulan Februari 2010)
Oleh Isma Ae Mohamad
Memang, autonomi Patani hanyalah mimpi-mimpi dari Malaysia.
Selepas media Thai melapor secara meluas ulasan PM Najib Razak akan pelaksanaan sebuah autonomi di wilayah bergolak selatan Thai sebagai satu pilihan ke arah keamanan berkekalan dimuat dalam akhbar The Nation, isu ini kembali menjadi buah mulut.
Daerah pentadbiran Khas, Daerah Pemerintahan Istimewa atau paling kerap disebut 'Nakhon Pattani' (Kota Pattani) yang semuanya menjurus kepada kepada sebuah autonomi menjadi inti penting baik media massa mahupun rakyat bawahan terutama di wilayah tersebut.Bahkan, media Malaysia ikut mengharapkan ia menjadi kenyataan.
Tentu, ada yang menentang dan ada yang menyokong. Ada juga yang awal-awal lagi sudah tidak yakin. Rata-rata masyarakat Melayu menyokong idea ini dan menganggap ia satu peluang ke arah kehidupan yang lebih baik.Tetapi majoriti masyarakat beragama Buddha selatan Thai, kedengaran seperti bimbang dan takut.Suara-suara kebimbangan itu menjalar ke Bangkok dan seterusnya ke seluruh negara. Ia pun diterjemahkan oleh pemimpin politik ultra-nasionalis yang mengelilingi kerajaan campuran Abhisit Vejjajiva dan juga koridor istana.Dan, akhirnya PM Abhisit menoktah terjemahan tersebut dengan--tiada autonomi di selatan Thai.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban seorang ultra-nasionalis sejak bergabung dengan kerajaan bekas PM Samak lagi beliau menentang idea autonomi. Beliau selalu menegaskan Thailand hanya satu negara, tidak boleh dipecah-pecahkan.Sekarang ini parti kecilnya adalah proksi penting keutuhan kerajaan campuran Abhisit.
Oleh itu, pembangunan ekonomi dengan curahan berbilion baht dan menegak keadilan, itulah rumusan Abhisit untuk kedamaian selatan. Disamping berkali-kali menegaskan, masalah selatan Thai adalah problem dalaman Thailand. Tutup.
Jelas, banyak pihak kecewa dan termasuk di Malaysia.Ini tercermin menerusi beberapa rencana di media arus perdana.
Soalnya, mengapa idea autonomi ini terlalu takut untuk dicuba.Sedangkan ia sudah lama diketengahkan sejak perjuangan almarhum Haji Sulong lagi.
Sejarah
Untuk itu, mari kita kembali kepada sejarah. Semua ini berkaitan dengan sejarah.Baik, setelah Kesultanan Patani rebah kepada pemerintah Siam selepas berlakunya perang yang panjang. Kekalahan itu telah menyebabkan penguasa Siam melantik Tengku Lamidin sebagai raja di Pattani, pelantikan itu semacam sistem autonomi di era moden ini.Namun begitu, baginda tidak duduk diam dan merancang sesuatu bila peluang tiba. Buku Sejarah Kerajaan Patani mencatat:
Dengan kerana itu baginda telah berazam akan menuntut bela kekalahannya dan membebaskan kerajaan Patani dari kongkongan penaklukan Siam-Thai hanya baginda menunggu sahaja peluang yang baik akan dijalankan maksud itu.
Demi azam itu, baginda menghubungi Raja Annam (Vietnam) untuk bergabung menyerang Siam. Sial,surat permintaan itu sampai ke tangan raja Siam.Lalu, dengan murka Siam mengarah bala tenteranya menyerang Pattani. Pemberontakan Tengku Lamidin berjaya dipatahkan, baginda turut terbunuh.
Diangkat pula Datuk Pangkalan menjadi pemerintah Pattani dengan dipakai gelar 'Luang' atau orang Pattani menyebut 'Long.' Serta melantik (meninggal) beberapa panglima dan tentera Siam sebagai pengawal Siam bagi membendung timbul lagi pemberontakkan. Adanya pengawal Siam ini telah menimbul perselisihan faham dengan masyarakat Melayu.Lagipun pengawal ini bertindak sesuka hati. Dengan berang Datuk Pengkalan menyerang mereka, maka tercetuslah pemberontakkan. Hingga angkatan dari Bangkok datang membantu membanteras pemberontak kali kedua ini. Malang, Datuk Pangkalan tewas. Juga terbunuh.
Untuk mengelak berlaku pemberontakkan lagi, penguasa Siam telah melantik Nai Khuan Sai seorang berbangsa Siam sebagai raja di Pattani. Terus meminggirkan bangsawan Melayu Pattani.Namun begitu, huru-hara dan pertempuran kecil masih berlaku. Untuk meredakannya, Pattani dalam pertama kali sejarahnya telah dipecahkan kepada tujuh daerah. Dengan setiap daerah itu dilantik pembesar Melayu sebagai raja.
Ia tidak lama. Api perang ke atas Siam merebak kembali. Ia menyala bila pemerintah Siam mengarah raja-raja daerah itu mengumpul tentera Melayu menolongnya memerangi pemberontakan rakyat Kedah yang sudah menghalau Siam hingga ke Songkhla.Tetapi raja-raja Melayu itu belot dan bergabung dengan Kedah. Namun, gabungan itu gagal menahan asakan tentera bantuan Siam dari Bangkok. Kedah pun tewas. Raja-raja Melayu itu pun tewas meskipun mendapat bantuan Kelantan dan Terengganu.
Begitulah lembaran sejarah mencatat.Pemberontak demi pemberontakan telah berlaku. Ia dilagu sejak bayi lagi, ''ha..ee..nong norn er.. nong norng hai lab-lab..phor phai khat ta thap yu ti muang Tani..jong mi chok mi chai..-ee..adik tidur lah tidur adik tidur ..tidur bapa pergi menentang musuh di negeri Tani (Patani)..doalah kebaikan dan kemenangan...'' Dan ia berlanjutan ke bilik darjah sebagai satu pelajaran, dicerita rakyatkan bukan sekadar hiburan, dan diangkat kepada pembuat dasar sebagai satu panduan.
Tidak hairanlah kecurigaan ini begitu dalam sekali dan berakar berabad-abad lamanya.Dengan kata lain, jangan-jangan selepas dapat betis mahu paha pula. Tidak boleh dipercayai!
Autonomi di Belahan Dunia Lain
Dalam sekali jurang curiga itu hingga menerbit pertanyaan, apakah jaminan orang Melayu tidak akan memberontak setelah autonomi diberikan?Pertanyaan sebegini biasa diajukan dalam setiap forum.Kerana ia berkaitan dengan senario semasa di wilayah bergolak yang bernuansa Islam serata dunia.
Ambil contoh Mindanao,mengapa masih ada pemberontakkan. Padahal,perjanjian damai antara MNLF dan Manila telah membuah Autonomi Mindanao.Tetapi MILF pula tidak setuju, mahu merdeka juga.Ini boleh berlaku di selatan Thai juga. Diketetahui, tertubuh banyak puak pemisah di sana.Mereka tidak bersatu. Meskipun ada BERSATU.
Di Chechnya juga diambil iktibar.Moscow telah memberi autonomi kepada Presiden Aslan Maskhadov menjalankan pemerintahan berpusat di kota Grozny itu untuk menghentikan perang yang panjang.Begitu pun api jihad untuk merdeka tidak padam.Jihad diteruskan. Moscow dengan segala kekuatan membantai Chechnya.Pemberontakkan masih berjalan di sana.
Di Xinjiang pun huru-hara tetap berlaku baru-baru ini.Sekalipun ia diberi autonomi kerajaan China. Nyata, apa yang berlaku di ketiga-tiga tempat itu meyakinkan autonomi bukan jalan penyelesaian.Memang adalah tidak adil penilaian begitu dibuat. Lagipun ketiga-tiga tempat punya akar sejarah, dan budaya yang berbeza.Begitu juga dengan struktur autonomi yang diberikan itu bukanlah autonomi sebenar yang mahu dinikmati rakyat di kawasan tersebut.
Ada pihak menayang Acheh sebuah model kedamaian autonomi.Namun begitu, berita-berita negatif yang dibawa dari tanah rencong itu membimbangkan kebanyakkan masyarakat Siam di sini.Kebimbangan itu berkisar pada larangan perempuan berpakaian ketat, sebat untuk peminum arak, perjudian dilarang dan sebagainya: pelaksanaan hukum syariah!
Tidak dapat tidak hukum syariah tentu akan menjadi komponen penting sebarang penawaran autonomi. Jika tidak autonomi itu tiada maknanya. Semuanya pihak mengakui hal ini. Dan, inilah yang ditakuti masyarakat bukan Islam. Dimana-mana pun hukum Islam ini sentiasa dipandang zalim. Hal ini, kita tidak boleh salahkan mereka.
Untuk itu model terbaik adalah kejayaan kerajaan Sri Lanka menghancurkan pemberontak Tamil(LTTE) dengan mengerah segala kekuatan tentera. Harus diingat LTTE adalah puak pemisah terkuat di era moden ini dengan kekuatan militer dan jaringan luar dan dalam yang utuh. Cara Sri Lanka ini mahu diikuti banyak negara yang terdapat pemberontak dalaman. Joseph Estrada, calon presiden Filipina akan melancar perang habis-habisan ke atas pemberontak di Kepulauan Mindanao jika menang pilihanraya akan datang.Di Thailand pun, ketumbukan tentera tidak pernah berkurang. Sekarang sudah lebih 60 ribu tentera beroperasi di sana.
Harapan
Pun begitu, masih ada pimpinan politik Thai beranggapan positif tentang idea autonomi. Chavalit Yongcaiyudh, bekas Perdana Menteri misalnya dalam biografi yang ditulis Boonkran Dongbanstan, KarntoSukran Sutttai (Perang Terakhir) mengimpikan sebuah Nakhon Pattani yang dibentuk seperti pemerintahan tempatan dengan undang-undang khas iaitu sebuah autonomi.
Beliau yang berpengalaman luas dalam menangani isu selatan semasa hayatnya ketika menjawat pemerintah tentera Thai. Kejayaan terbesarnya adalah meneutral pemberontakkan tahun 70-an dan 80-an dengan membawa masuk beberapa pemimpin tempatan ke dalam politik di bawah payung 'Harapan Baru.'
Sekarang ini beliau pengerusi Parti Puae Thai, parti proksi Thaksin, blok pembangkang terbesar parlimen Thai.Oleh itu, 'perang terakhirnya' untuk menubuh Nakhon Patani telah dikecam ahli parlimen kerajaan. Sedangkan buku itu terbit tahun 2005 lagi.
Secara jelasnya, idea autonomi bukan mudah untuk dilaksana. Ia hampir mustahil.Puak ultra-nasionalis tidak tinggal diam--Prem Tinsulanonda, Sondhi Limthongkul,dan Chamlong Srimuang contohnya pasti akan menentang.
Sumber: http://aebooker.blogspot.com/2010/12/curiga-autonomi-patani-jangan-jangan.html