Daripada Abu Hafez
Al-Hakim
Salam
Sejahtera
Tidak dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang besar dalam
suatu masyarakat. Peranannya bukanlah sekadar menyampaikan berita dan maklumat
kepada umum tetapi juga mempengaruhi
pandangan atau sikap masyarakat, melalui laporan dan tulisan. Oleh yang demikian
wartawan dianggap agen perubahan masyarakat.
Dalam konteks
konflik politik di Selatan( Patani ) media utama ( dalam bahasa Thai) telah lama
berperanan dalam pemberitaan. Pada pandangan kami sebagai pejuang Patani,
didapati pandangan umum ( general opinion) dan cara pemberitaan yang dilakukan
oleh para pengamal media dan wartawannya masih lagi berada di takok lama. Dengan
kepesatan kemajuan di bidang penyebaran maklumat dalam dunia siber terkini tidak
banyak perubahan yang dapat kita saksikan. Tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa media Thai TIDAK PERNAH atau JARANG BENAR berlaku adil
kepada gerakan pejuang Patani dalam pemberitaannya. Dari tempuh masa 50
tahun lalu hingga sekarang masih lagi belum berubah.
Perkataan,panggilan
atau istilah tertentu terhadap pejuang Patani seringkali membawa gambaran
negatif apabila tersiar dalam media Thai. Satu daripada panggilan itu ialah
"Penjahat atau Pengganas Selatan" . Jelas sekali ia mencerminkan sikap
prejudis yang melampau dan amat berat sebelah. Apakah wajar dilabelkan
para pejuang yang membela nasib bangsanya sendiri sedemikian, hanya kerana
semata-mata mereka menentang penguasaan Thai keatas mereka secara kekerasan?
Kalau demikian apakah juga Raja Naresuan dan Raja Taksin itu Penjahat dan
Pengganas kerana mereka juga bangkit menentang penguasaan Burma atas Ayutthaya
pada masa lalu, juga secara kekerasan.?
Apabila
Al-Marhum Tuan Guru Haji Sulong mengemukakan tuntutan 7 perkara pada tahun 1953
M beliau bukan sahaja ditangkap dan penjarakan, tapi juga dibunuh akhirnya atas
tuduhan "memberontak " . Beliau hendak memberontak terhadap siapa? Apakah
niat beliau mahu menukar kerjaan di Bangkok, atau hanya sekadar menuntut hak dan
keadilan bagi Orang Melayu Islam di Selatan? Label ini masih lagi kekal sampai
hari ini dan terus dijaja oleh pengamal media tertentu di Thailand tanpa
mempedulikan sensitiviti rakyat Patani yang menyanjungi beliau sebagai seorang
ulama besar.
Para pejuang
juga dipanggil "Kumpulan/Gerakan Pemisah " . Perlu diperjelaskan bahawa
KESEMUA gerakan perjuangan Patani adalah gerakan PEMBEBASAN (Liberation), bukan
PEMISAH( Separatist). Dari segi ilmu sains politik ada perbezaan yang jelas
antara gerakan pembebasan dengan gerakan pemisah .
Kesemua
panggilan atau istilah tersebut dicipta secara sengaja oleh pemerintah Thai bagi
memberi gambaran yang negatif terhadap para pejuang. Malangnya pihak media Thai
, tanpa usul perikasa atau kajian secara objektif dan mendalam telah menelan
bulat-bulat momokan itu, sekali gus meletakkan pihak pejuang pada keadaan yang
dipandang serong oleh masyarakat awam Thai dan juga di mata
dunia.
Berdasarkan
perinsip utama kewartawanan " Tugas utama wartawan adalah melaporkan
kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang
benar." Dalam konteks Patani nampaknya tidak begitu. Wartawan Thai
seringkali dilihat mengekori pasukan tentera atau polis, atau orang orang
kerajaan ke suatu lokasi untuk membuat liputan. Ini sudah cukup bagi rakyat umum
mengecap mereka sebagai "orang di pihak kerajaan" lalu tidak memberi
kerjasama atau menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka. Sedangkan maklumat
sebenar adalah penting. Kerana halangan bahasa dan sikap tidak profesional ,
malas berusaha lebih, mereka mudah berpuas hati dengan maklumat dari sumber
"second-hand", atau lebih malang lagi mereka catat apa sahaja yang
"disuapkan" kepada mereka oleh pihak kerajaan. Lalu dapat disaksikan
banyak lapuran berita yang selalunya berakhir secara "stereotype" begini :
Pihak berkuasa masih lagi menyiasat kejadian itu, dipercayai dilakukan
oleh para penjahat dari kawasan tersebut.
Barangkali
mereka lupa pada perinsip ini :To seek out and disseminate competing
perspectives without being unduly influenced by those who would use their power
or position counter to the public interest ,iaitu berusaha mencari dan
menyampaikan pandangan pandangan yang berbeza tanpa dipengaruhi oleh mereka
yang (secara salah) menggunakan kuasa atau jawatan mereka bertentangan dengan
kepentingan umum. Dalam melaksanakan tugasnya seorang wartawan menghayati
kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat
ulasan dan kritikan yang saksama.
Media Thai
juga sedikit sekali memberi ruang kepada pihak pejuang menyuarakan pendapat
untuk disampaikan kepada masyarakat umum seluruh Thailand, guna memberi
penjelasan atas beberapa isu penting. Atau apakah sikap mereka itu seperti :
mengapa mesti memberi ruang dan liputan kepada penjahat dan
pengganas? Sampai sekarang rakyat umum Thai masih lagi bertanya :
mengapa orang Melayu di Selatan bangun menentang kerajaan ? Mengapa gunakan cara
kekerasan ? Mengapa mahu berpisah dari Thailand ? Mengapa bom di sana sini
melibatkan bukan sahaja pasukan bersenjata tetapi juga orang dan harta awam ?
Mengapa guru ditembak mati ? ..dan beribu ribu soalan lagi
Perinsip
kewartawanan : Give voice to the voiceless; document the unseen (
Berikan suara kepada yang tidak mampu bersuara ; rakamkan perkara
terselindung ), ini menggesa supaya pihak media membuka ruang dan peluang bagi
pihak yang tertindas mengutarakan "suara" mereka. Pihak media Thai juga
disarankan supaya mendokumenkan per kara perkara
yang "diselindungi" secara sengaja, supaya apa yang benar akan terserlah. Jika
tidak selama itulah khalayak umum Thai tidak akan mendapat maklumat sebenar dan
orang Melayu Patani ,khususnya para pejuang ,akan terus dianggap sebagai
penjahat, penentang kerajaan atau lebih teruk lagi sebagai pengganas, sedangkan
hakikatnya mereka berjuang untuk mengembalikan hak mereka yang
dirampas.
Berlainan pula
dengan wartawan dan media asing. Mereka amat professional dengan pendekatan yang
proaktif dan hasil pemberitaanya tidak berat sebelah. Mereka tidak mengharapkan
sesuatu maklumat itu "disuapkan", tetapi berusaha keras untuk mendapat maklumat
sebenar secara " Engaging the community" - berdamping dengan masyarakat.
Meskipun mereka juga menghadapi kekangan bahasa dan budaya seperti wartawan
Thai, akan tetapi sikap profesionalisma mereka yang berpegang teguh dengan
perinsip dan etika kewartawanan, mereka mudah sahaja memperolehi maklumat dari
sumber asli yang boleh dipercayai(authentic) . Masyarakat Melayu Patani,
terutama penduduk kampung, lebih mesra dengan wartawan asing berbanding wartawan
Thai .
Sebab itulah
kita dapati berita dan maklumat yang di siarkan kepada khalayak umum oleh media
asing jauh lebih baik dan bernilai daripada media Thai sendiri. Kadang kala
terdapat perbezaan fakta dan maklumat , malah bertentangan lansung dengan apa
yang disiarkan oleh media Thai. Masyarakat dunia yang bilangan beribu juta, juga
Bangsa Melayu di Nusantara seramai lebih 300 juta, kini lebih memahami
penderitaan dan perjuang rakyat Patani jika dibandingkan dengan bilangan 60 juta
rakyat Thai yang masih belum fahami konflik di Selatan .
Satu lagi isu
penting dalam pemberitaan media Thai ialah fakta sejarah. Dalam konteks
sejarah Patani, bermula dari era Empayar Langkasuka sampai kepada masa kini,
media Thai lebih cenderung untuk merujuk kepada versi sejarah yang ditulis oleh
bangsa mereka sendiri. Kedudukan dan perhubungan negara bangsa pada masa lalu,
khususnya melibatkan konflik Patani-Siam, hanya dilihat dari kaca mata sejarah
Siam sahaja. Maka timbullah silap anggapan bahawa Patani itu asalnya milik Siam
, negeri-negeri Melayu di Utara Semenanjung Melayu ( Kelantan, Kedah,
Terengganu dan Perlis ) adalah juga milik mereka. Sejarah Thai juga mendakwa
sebahgian besar wilayah-wilayah yang kini berada dalam Negara negara jiran
seperti Laos, Khmer dan Myanmar adalah pada asalnya miliki mereka. Pada hal
jika dibaca sejarah versi negara-negara terbabit kita dapati mereka pula yang
mendakwa kesemua kawasan tersebut itu adalah hak milik mereka tetapi ditakluki
oleh Siam pada masa masa tertentu.
Jika kita rujuk
kepada catitan sejarah yang direkodkan oleh bangsa bangsa asing yang pernah
berhubung dengan Patani pada zaman dahulu seperti China, Jepun , Belanda ,
Portugis , Inggeris dan juga Arab, kita akan dapati catitan mereka amat jauh
berbeza dan bertentangan dengan yang ditulis oleh orang Siam. Fakta inilah yang
selalunya diabaikan oleh pengamal media Thai.
Sudah begitu
lama media Thai melabelkan pejuang Melayu Patani sebagai penjahat , pengganas
dan pemberontak. Tetapi oleh kerana orang Melayu tidak ada saluran untuk
bersuara, perasaan tidak puas hati itu terpendam begitu sahaja,berpuluh tahun
lamanya. Ironisnya,baru baru ini, apabila pihak pejuang memanggil bangsa Thai
sebagai "penjajah", mereka sangat terkejut dan terus melenting. Maka kita
dapati media Thai mula berperanan membakar api kemarahan itu dalam siaran dan
lapuran mereka. Sukar bagi mereka menerima hakikat bahawa mereka juga adalah
satu kuasa penakluk atau penjajah di rantau ini. Padahal dalam sejarah bangsa
Melayu di Nusantara sudah makruf bahawa bangsa Siam adalah satu kuasa penakluk
dan penjajah seperti juga para penjajah dari benua Eropah.
Proses Damai
Kuala Lumpur melalui Persetujuan Umum Berkenaan Proses Dialog Perdamaian
bertarikh 28 Febuari 2013 M telah membuka lembaran baru dalam memberi
pengiktirafan kepada pihak pejuang. Mereka bukan lagi dirujuk sebagai penjahat
atau pengganas tetapai secara rasmi digelar" mereka yang mempunyai pandangan
dan ideologi berbeza daripada kerajaan (Thai). Hampir kesemua media asing
utama dunia memberi perhatian yang serius dan bersikap optimistik terhadap
perjalanan proses ini ke arah perdamaian. Tetapi lain pula dengan
setengah-setengah media Thai yang bukan sahaja bersikap dingin dan memandang
serong usaha kerajaan mereka sendiri mahu mencarai penyelesaian secara damai,
mereka menimbulkan banyak persoalan dan yang lebih teruk lagi ada yang bersikap
anti proses damai. Kalau mereka tidak mahu konflik ini diselesaikan secara
damai, apakah ada alternatif lain yang boleh mereka kemukakan ? Atau apakah
media Thai mahu lihat pergolakan ini berterusan dengan korban jiwa dan harta
benda yang lebih banyak, sama seperti sikap golongan tertentu yang akan hilang
pengaruh dan perolehan dari imbuhan tertentu sekiranya berlakunya damai ? Apakah
itu agenda mereka?
Di akhir-akhir
ini kita dapati sebilangan kecil wartawan dan pengamal media Thai mula "celik
mata" mahu melihat kebenaran untuk dihidangkan kepada masyarakat umum, bukan
lagi "skrip" berat sebelah yang disudukan kepada mereka oleh pihak berkuasa.
Mereka berusaha secara sendirian dengan gigih, membuat penyelidikan dan
siasatan teliti, berdamping dengan masyarakat yang berlainan bangsa, bahasa dan
budaya . Apa yang mereka perolehi sebagai balasan ialah kepercaya rakyat yang
dengan rela membuka pintu hati meluahkan apa yang mereka ketahui dan apa yang
terbuku di hati. Sebab itu kita dapat baca beberapa lapuran berbeza dari mereka
ini,termasuk juga beberapa dokumentari, tentang beberapa peristiwa penting
seperti kejadian Tragedi Tak Bai yang diulas semula, kematian pejuang As Shahid
Mat Rosol, pertempuran yang melibatkan syahidnya Ustaz Rahim atau "Pele Hitam"
peristiwa tembak menembak di Paku, Thung Yang Deng dan yang terkini berkenaan
dengan proses damai. Kesemua itu membawa perspektif baru dan seimbang bagi
pemberitaan di Selatan. Melalui media seperti ini juga pandangan dari pihak
pejuang mula boleh didengari. Malang sekali lapuran atau pandangan sedemikian
kemudiannya dicap sebagai "suara BRN".
Sesungguhnya
tidak ada pilhan lain bagi wartawan atau pengamal media Thai selain daripada
membuat anjakan paradigma ( Paradigm Shift ) dengan kembali menghayati
Perinsip-perinsip Kewartawanan Sejagat ( The Universal Principles of
Journalism ) dan juga Perinsip-perinsip Panduan kepada Wartawan (Guiding
Principles for Journalists), tanpa takut atau mengharapkan imbuhan tertentu.
Dengan cara itu sahaja suara dari rakyat kerdil akan didengari , kebenaran akan
terserlah dan keadilan akan terlaksana . Ia juga mampu meletakkan kerjaya
kewartawanan dan media Thai pada satu tahap yang boleh dipercayai, diyakini dan
dihurmati , bukan sahaja oleh masyarakat setempat , tetapi khalayak umum yang
lain di seluruh Thailand dan Dunia
Sekian,salam
hurmat
Cuka dan
Madu - Dari Luar Pagar Patani
Muharram /
November 2013 M
http://www.deepsouthwatch.org/ms/node/4909
http://www.deepsouthwatch.org/dsj/4979
หมายเหตุ:::
ต้นฉบับเดิมภาษามลายู “Suratterbukakepada Media Thai” คลิกอ่านที่ http://www.deepsouthwatch.org/ms/node/4909 (เผยแพร่ครั้งแรกเมื่อวันที่ 3 พฤศิกายน 2556); ต้นฉบับเดิมภาษาอังกฤษ “An open letter
to Thai Media” คลิกอ่านที่ http://www.deepsouthwatch.org/en/node/4913(เผยแพร่ครั้งแรกเมื่อวันที่ 4 พฤศจิกายน 2556)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan