Selasa, 15 Mac 2011

Ulama Patani Sudah Kering Pena?

Ulama Patani Sudah Kering Pena? (Tidak suka menulis)


Suasana sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kini, berderet buku-buku agama berbahasa Thai menghiasi rak-rak. Dengan cover yang berwarna-warni dan ditambah pula judul yang menarik pasti memikat mata untuk memandang.

Semua ini boleh dilihat dibanyak kedai buku atau kedai kitab panggil penduduk tempatan di selatan Thai. Contohnya, kedai Mittraphap di Jalan Rudee, tengah-tengah bandar Pattani. Tandanya, masyarakat Islam terutama generasi baru mula senang mendampingi buku-buku agama menerusi bahasa Thai.
Kehadiran buku-buku seperti ini samaada terjemahan bahasa Arab mahupun terus dalam bahasa Thai sedikit sebanyak '' menenggelamkan'' kitab-kitab jawi atau kuning yang nampak kusam pada luarannya.

Mujur, keberkatan karangan-karangan ulama Pattani terdahulu atau dari wilayah nusantara lain telah membuatkan ia sentiasa sesuai sepanjang masa. Hingga kini banyak kitab tersebut masih ditelaah dan disyarah setiap masa sampai mencetak ramai alim ulama.

Penting sekali ditulis, pusaka peninggalan ulama Pattani ini sebenarnya antara faktor terkuat yang terus memberi nafas kepada kelangsungan Bahasa Melayu serta tulisan jawi sebagai wadah ilmu masyarakat. Disamping institusi pondok dan madrasah yang masih di hati masyarakat. Sekaligus menjadi penopang kepada jati diri yang sedang diasak dari Bangkok.

Kemunculan ulama penulis kitab Pattani telah menjadi Pattani masyhur sebagai pusat pendidikan agama Islam di Nusantara. Walaupun kebanyakan ulama tersebut bergiat di Tanah Hijjaz. Tetapi patah al-Fathani sentiasa lekat di hujung nama mereka yang merujuk kepada asal tempat menjadi ia semacam satu promosi untuk Pattani.

Populariti ulama penulis kitab Pattani tercermin pada kepelbagaian kitab yang ditulis seperti yang dikelaskan oleh Matherson Hooker (1988:35-36) iaitu;

i) Kitab ilmu fikah iaitu tentang jurispenden Islam, yang dalamnya dibahas masalah ibadat atau peraturan tentang ritual dan kewajipan agama, serta muamalat atau masalah perhukuman yang timbul dalam kehidupan perorangan dan masyarakat.
ii)Kitab tenang kalam iaitu tentang teologi Islam yang mengandungi usul ad-addin atau penjelasan tentang sumber-sumber agama (al-Quran,hadis,ijma', ijtihad), akidah atau karangan tentang sistem kepercayaan Islam, iktikad atau petunjuk tentang asas-asas keimanan, tauhid tau risalah tentang keesaan Tuhan, sifat atau masalah atribut-atribut Tuhan dan zat-Nya (sifat dua puluh). Karangan-karangan eskatologis tentang dunia baka dan nasib jiwa manusia dalamnya.
iii) Kitab tentang tasawuf atau mistikisme Islam.
iv) Tafsir-tafsir atau karangan tentang interprestasi al-Quran.
v) Kitab tentang tajwid atau kaedah bacaan al-Quran.
vi)Kitab tentang nahu atau tatabahasa Arab.


Dan juga ketinggian sastera di dalamnya yang setanding penulis-penulis kitab lain Nusantara.Mungkin unsur sastera yang terserap pada karangan mereka dapat mengindahkan lagi penyampaian ilmu.

Antara ulama penulis kitab yang terkenal adalah Syeikh Daud al Fathani, Tuan Minal,Sheikh Wan Ahmad Fathani,Syeikh Nik Mat Kecik Patani dan lain-lain lagi telah menyebarkan hasil karya mereka yang menjadi santapan rohani Dunia Melayu.

ModernisasiItu dulu. Sekarang kita tidak lagi mendengar akan karangan-karangan baharu ulama Pattani. Seolah-olah ulama Pattani telah kering penanya.Atau generasi baru Pattani tidak lagi berminat menulis dalam Bahasa Melayu?

Jika diteliti dari sudut sejarah, kehilangan tradisi penulisan kitab bermula setelah modernisasi yang dibawa barat ke dunia Islam yang berlatarkan sekularisme mengambil tempat. Pengaruh barat ini telah memberi kesan besar dalam tradisi ilmu Islam yang berlatarkan kitab. Juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Nusantara sedikit-sedikit terhakis.

Malangnya, menjelang abad ke-20, taburan benih fikiran modernisasi, apolegetik ala Mohd. Abduh dari Mesir, al-Afghani, dan Rashid Redha mula mendapat pengaruh. Bentuk-bentuk kitab mulai menurun, bermula dengan perkembangan jurnalistik seperti akhbar dan majalah, isu-isu yang disarankan kaum muda dipelopori oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin al-Azhari dari Minangkabau(Siti Hajar Che Man,2001).

Seterusnya pendidikan ala moden mula bercambah. Perlahan-lahan menjauhkan kita dari tradisi keilmuan Islam yang tinggi itu. Kesannya institusi pondok mula dipinggirkan dan Pattani antara pusat keislaman serantau semakin ditinggalkan. Tambahan pula awal 1900 cengkaman kuasa Bangkok ke atas wilayah Melayu itu telah menidakkan Pattani sebuah wilayah berdaulat. Langsung menjadikan Pattani terpisah dari dunia Melayu secara geografikal. Dan Pattani kini lebih dikenal antara tempat bermasalah di peta dunia.

Maka, dengan sendirinya ulama Pattani pada masa itu dan kini semakin tercicir dari arus perdana Nusantara hingga sekarang. Begitu juga dengan hasil karangan mereka. Namun, sebenarnya ulama Pattani yang ada sekarang samaada memimpin pondok atau madrasah (lupakan soal pertentangan antara golongan tradisi dengan golongan muda yang masih meribut sampai hari ini) masih lagi menulis dan menyusun kitab atau risalah. Itupun untuk anak murid mereka sahaja yang tentunya hanya beredar di selatan Thai.

Percetakan
Jika dahulu hasil karya ulama Pattani dicetak di luar Pattani pada mulanya mengikut peringkat-peringkat. Menurut Hasan Mardman dalam bukunya, Pondok and Madrasah;

Most of the Kitab Jawi of the leading ulama of Patani were first printed either in Mecca or in Cairo, Egypt, not to mention those that were lithographed during the earlier times in Bombay or published in Constantinople. For the second stage of their history that printing is gradually moved to the printing press of Sulayman Mar'i in Singapore. At the third stage, printing is moved again, this time to Maktabat wa- Matba'at Dar al-Maaarif, Penang, Malaysia. Here, the major religious book written by the ulama of Patani are continuously reprinted by the Dar al- Maarif and distributed in Malaysia and Thailand.


Namun, karangan baru dalam Bahasa Melayu yang dicetak di Pattani sangat jarang dilakukan. Syarikat percetakan hanya berminat untuk menerbit kitab-kitab ulama terdahulu yang masih mendapat permintaan tinggi di Nusantara. Pattani Press misalnya banyak menumpu kepada percetakan kad-kad jemputan. Jarang-jarang sekali mereka menerbit kitab baru. Mungkin nilai komersil diambil kira dalam hal ini.Sedang minat pembaca menurun terhadap gaya penulisan kitab.

Tetapi kewujudan sistem madrasah di Pattani yang terpengaruh dari hasil pemikiran Kaum Muda dan seterusnya melahir ramai lulusan agama terutama dari pusat pengajian moden di Malaysia atau di Indonesia juga masih lagi gagal mewujudkan gelombang karya penulis-penulis Pattani dalam Bahasa Melayu di Pattani seterusnya dapat disebar di Alam Melayu dalam pelbagai genre. Dalam hal ini beberapa faktor menghadang.

Penting sekali, walaupun berpendidikan di Malaysia atau Indonesia penguasaan Bahasa Melayu mereka masih rendah. Jelas, kekakuan terhadap Bahasa Melayu dapat dirasai. Hakikat ini dapat dilihat pada kemarau kosa kata, sampai perkataan bahasa Thai terpaksa digunakan untuk menerangkan sebarang permasalahan termasuklah dalam syarahan kitab kuning di masjid atau di mana-mana pun di Pattani.Jika ini yang dihadapi bagaimana mereka hendak menulis dalam Bahasa Melayu tinggi.

Disamping itu, ejaan rumi yang rasmi diamal sekarang di Dunia Melayu dilihat membantut mereka dari berkarya dalam Bahasa Melayu dan juga memisahkan mereka dari persuratan Melayu moden. Begitu juga dengan ketiadaan badan di Pattani yang dapat menggalak, mengetengah dan mempromosikan hasil karya penulis Pattani.

Pun begitu, beberapa buku sejarah dan sosio-politik Pattani hadir di Malaysia hasil kerja penulis asal Pattani. Buku Sejarah Kesultanan Melayu Patani oleh Ibrahim Sukri yang tidak dikenali muncul di saat Pattani hampir tdak dikenali sebuah kesultanan. Ahmad Fathy begitu juga, yang banyak merakam sejarah dan biografi ulama dan mutakhir oleh beberapa ahli akademik di institusi pengajian tinggi Thailand yang menulis samaada buku atau makalah tentang Pattani seperti Hasan Mardman, Yusuf Chapakia, Nureeyan Saleh dan Worawit Baru.

Melihat kepada realiti Pattani hari ini, rasanya lambat lagi untuk mendapat dan membaca novel islamik yang bertulis jawi. Atau itu hanya sebuah impian yang tidak akan kesampaian.

*Rencana ini pernah dimuat dalam majalah Milenia Muslim edisi Februari 2009.
 
Gambar Syeikh Daud Al-fathani
Furu’ Al-Masa’il merupakan sebuah karya terjemahan dari kitab asal yang ditulis oleh ulama’ nusantara terkenal Syeikh Daud al-Fathani yang disampaikan dalam bentuk soal jawab menyentuh soal-soal syariat yang merangkumi aspek-aspek ibadat, munakahat, muamalat dan jinayat. Menurut Datuk Hassan Din, penyusun semula buku ini, “saya lebih berminat untuk terus melayari lembaran kitab Furu‘ Almasa’il setiap kali saya berhadapan dengan masalah fiqah. Akhirnya dengan kehendak Allah jua, terdetik persoalan di hati saya, kenapa kitab yang seindah itu, disimpan hanya untuk menjadi tatapan dan rujukan golongan tertentu sahaja. Alangkah baiknya sekiranya kitab yang bermutu seperti itu dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini. Khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi dan ditatap bersama. Akhirnya, timbullah keinginan saya untuk menyusun semula kitab tersebut dengan gaya bahasa masa kini untuk memudahkan generasi hari ini membaca dan memahaminya, khususnya bagi mereka yang dahagakan ilmu.”






1 ulasan:

  1. salam..
    satu ulasan yang cukup baik, harap saudara sudi berkongsi buah fikiran dan subangan di http:www.pheewit.com, saudara juga boleh mencipta link blog saudara disana.. :)

    BalasPadam