Khamis, 24 November 2011

ليما فورمولا نيء أنور أتسي كونفليك سلاتن تايلاند

5 formula Nik Anuar atasi konflik selatan Thai

Pengecualian Pattani daripada perjanjian Bangkok 1909 ibu segala masalah

PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 28 Oktober 2010 lalu sempat meninggalkan ‘formula’ bagaimana konflik di Selatan Thailand atau Pattani harus ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan Thailand.

Formula penyelesaian Nik Anuar ini dibukukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi menghargai sumbangan pemikiran beliau terhadap masyarakat dan negara, satu majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar dilangsungkan ATMA baru-baru ini yang disampaikan Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud
Ternyata, Nik Anuar sebagai seorang ilmuwan dalam bidang sejarah harus dikenang terutama oleh generasi muda negara ini. Sumbangan dan ketekunan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan terutama bidang sejarah Malaysia dan isu persempadanan seperti pembabitan beliau dalam kumpulan penyelidikan isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan serta Pulau Batu Putih.
Satu daripada sumbangan pemikiran Nik Anuar yang penting ialah dalam sejarah Siam atau Thailand. Penumpuan beliau dalam kajian ini membawa Nik Anuar menelusuri penuh teliti punca konflik melanda Selatan Thailand yang sehingga kini belum berkesudahan.

Dalam bukunya, Mencari Perdamaian di Asia Tenggara, Merungkai Konflik di Selatan Thailand, Nik Anuar menjelaskan kegagalan penyelesaian konflik itu berpunca daripada ‘keengganan kerajaan Thailand melihat masalah di tiga wilayah itu dari perspektif sejarah’.

Beliau menambah sejarah sudah membuktikan ibu segala masalah di wilayah itu ialah apabila Pattani dikecualikan daripada perjanjian Bangkok 1909.

Untuk makluman, pada perjanjian Bangkok 1909, hanya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis saja diserahkan kepada Britain, manakala Pattani yang juga antara wilayah penting kerajaan Melayu-Islam ketika itu kekal sebagai sebahagian tanah jajahan Siam.
Keadaan ini terpaksa dilakukan demi kepentingan Britain di Asia Tenggara iaitu bagi memastikan Siam tidak menjemput kuasa luar lain menguasai Tanah Besar Asia Tenggara. Dalam kata lain, Pattani adalah taruhan bagi menjaga hati Siam walaupun diketahui bahawa ia salah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang penting ketika itu.

Pengekalan Pattani sebagai tanah jajahan Siam memburukkan keadaan dan mengukuhkan gerakan penentangan terhadap kerajaan Siam yang sebenarnya sudah wujud sejak negeri itu ditakluki Siam pada 1786.

Sepanjang sejarahnya, Siam sudah menjayakan banyak langkah bagi mengukuhkan penguasaannya di Pattani. Menurut Nik Anuar, antara langkah kontroversi ialah pengenalan sistem Thesaphiban iaitu satu kaedah pentadbiran di mana pentadbiran wilayah dikumpulkan dan ditadbir seorang pesuruhjaya. Menerusi sistem ini, autonomi atau kedaulatan pemerintahan Raja Pattani mula terhakis. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila pemerintah Siam memperkenalkan dasar Thai Rathaniyom atau program asimilasi budaya dan adat Thai secara paksaan.

Dasar ini ternyata mendorong kebangkitan perjuangan rakyat Pattani. Mereka mula berasakan jati diri mereka telah diceroboh dan masa depan ketamadunan mereka bakal runtuh menerusi dasar paksaan kebudayaan. Beberapa nama pejuang awal Pattani ialah antaranya Haji Mat Pauh, Tuan Guru Haji Bermin atau Haji Wan Ahmad bin Wan Idris, Haji Hasan dan Haji Abdullah Embung bangkit bagi menghalang usaha penjajahan secara kebudayaan ini.

Inilah sebahagian kutipan ringkas penjelasan Nik Anuar mengenai sejarah konflik dan perjuangan rakyat Pattani bagi mempertahankan maruah dan jati dirinya. Sehingga saat ini, perjuangan ini belum tamat. Ia menjadi lebih rumit lagi sejak berlakunya peristiwa berdarah di masjid Krisek dan pembunuhan di Tabal pada 2004.

Bagi Nik Anuar, konflik di Selatan Thailand ini boleh diselesaikan menerusi formula berikut:

Kerajaan Thailand perlu mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan satu bentuk Pentadbiran Istimewa di wilayah majoriti Melayu. Pentadbiran ini akan diurus oleh penduduk tempatan dalam kerangka negara Thailand.

Kerajaan Thailand perlu menerima hakikat akan keunikan orang Melayu. Mereka mesti diberi kebebasan untuk mengamalkan adat resam dan kebudayaan mereka. Kerajaan Thailand perlu mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wilayah berkenaan, manakala agama Islam diberi keistimewaan khusus.

Hubungan antara wilayah istimewa dengan kerajaan Pusat perlu berasaskan kerangka federalisme. Wilayah istimewa perlu diberi hak yang adil ke atas hasil kekayaan ekonomi yang dimiliki. Pejuang perlu meletak senjata dan menyertai rancangan penempatan atau demobilisasi.

Pelaksanaan perjanjian ini mesti dipantau oleh badan antarabangsa bagi memastikan kejayaannya.

Begitulah lima formula penyelesaian konflik Selatan Thailand menurut Nik Anuar. Bagi beliau, keamanan di Selatan Thailand harus diberi perhatian kerana ia akan menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara secara keseluruhannya. Bagi Nik Anuar, inilah formula terbaik dan ia boleh dijayakan sekiranya kerajaan Thailand ikhlas bagi menamatkan konflik yang melanda sejak sekian lama.

Begitulah sumbangan ahli ilmuwan kepada masyarakat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan seumpama Nik Anuar. Ahli ilmuwan ibarat pelita penyuluh kegelapan. Dalam syarahan yang diberikan, Prof Dr Abdullah menggelarkan Nik Anuar sebagai ‘Sejarawan Dalam Kenangan’.

Oleh Muhamad Razak Idris

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM. 

sumber malayu: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/5formulaNikAnuaratasikonflikselatanThai/Article/index_htm
sumber thai: http://thai.amannews.org/view/view.php?id=941

Selasa, 15 November 2011

سليمان ناسي: سفغكل هارفن يغ ترسيسا

Sulaiman Nasae : Sepenggal Harapan Yang Tersisa
by: Peristiwa Berlaku

Sabtu ,22 Mei 2010
Sulaiman mencapai tukul dan beberapa batang paku dinding. Sedang dia tekun mengetuk kayu, beberapa lelaki beruniform merapatinya. Sulaiman berhenti memahat. Lelaki-lelaki berkenaan dengan kasar memaksanya bangun dan menyoal dengan bberapa soalan . kemudian mereka membawa dia pergi. Tanpa sesiapa pun yang melihat kejadian itu. Melainkan seekor burung tempua yang mengintainya dari sebalik rimbunan daun pohon machang.
Ahad, 23 Mei 2010
Sulaiman ditahan di Kem Ingkhayutabarihan Mukim Bothong Daerah Nongchik Wilayah Pattani. Sebaik sahaja khabar itu sampai kepada keluarganya, si ibu tanpa berlengah-lengah lagi menyiapkan bekal makanan untuk dibawa kepada Sulaiman. Sedang hatinya tertanya-tanya apa salah anaknya? Mengapa dia ditahan? Dalam sela waktu yang sama, si ibu tidak putus-putus berdoa, moga anaknya itu tidak diapa-apakan.
Si ibu dan si ayah dibenarkan untuk masuk berjumpa dengan anak sulung mereka. Sayang, mereka tidak dapat bersua muka untuk satu jangka waktu yang lama. Setelah bekas makanan berpindah tangan, si ibu dan si ayah diarah pulang. Dalam pertemuan singkat itu, si ibu dan si ayah perasan perubahan pada wajah anak mereka. Bagaimana tiada darah yang mengalir ke muka. Pucat lesi.
Dengan perasaan bergulat hampa, si ibu dan si ayah pulang tanpa mendengar suara Sulaiman. Mujur, wajah Sulaiman sempat ditatap. Sekurang-kurangnya mereka tahu saat itu Sulaiman masih lagi bernyawa.
Situasi demikian berlangsung selama empat hari.
Khamis, 27 Mei 2010
Pada hari kelima Sulaiman ditahan, si ibu dan si ayah tidak dibenarkan untuk berjumpa dengannya. Puas si ibu dan si ayah memujuk rayu memohon belas kasihan daripada para pegawai. Sekurang-kurangnya beri mereka kesempatan untuk menatap wajah anak mereka walau sekadar satu kerlipan mata. Seperti hari-hari sebelumnya.
Namun permintaan mereka dianggap tidak ubah seperti angin petang yang sekali lalu bertiup menyapa wajah.
Badai kegalauan mula merempuh benteng dada si ibu. Andaian demi andaian mula bergayut di pangkal hatinya. Seperti ada yang tidak kena. Naluri si ibu yang halusnya membayangi suatu perkara buruk sedang menimpa anaknya. Cepat-cepat dihalau perasaan itu. Biarlah andaian itu hanya jelmaan syaitan sahaja bukan ilham dari tuhan.
Si ayah pula seperti pengembara yang hilang peta perjalanannya. Terhenti seketika di pinggir jalan menatap langit dengan mata dibayangi kebuntuan. Kesedihan turut berlabuh di hati si ayah.
Perlahan-lahan dia memimpin tangan si ibu keluar dari kem tentera tempat anaknya ditahan. Bekalan yang dibawa untuk Sulaiman turut dijinjit pulang.
Malam itu, mata si ibu enggan lelap. Dia membalikkan tubuh sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Dia memintal-mintal pelbagaian andaian sehingga kusut hatinya. Terus terang, dia tidak mampu bersangka baik lagi. Ditoleh pada suaminya yang sudah lama dibuai mimpi. Perlahan-lahan dia menolak kain selimut, berjalan menuju bilik air dan berwudhuk. Dinihari itu, air matanya mengalir di hadapan Ilahi memohon agar anaknya tidak dianiaya oleh mereka yang kemarau sifat perikemanusiaan.
Jumaat, 28 Mei 2010
Pagi itu, si ayah keluar lebih awal dari biasa. Doanya, moga-moga hari itu dia diberi kesempatan bertemu dengan anaknya. Dia tahu semalaman isterinya tidak dapat tidur kerana bimbangkan keadaan anak mereka. Dia sendiri tidak dapat lena walau zahirnya nampak dia memejamkan mata.
Hari itu si ibu keberatan untuk ikut serta menziarahi Sulaiman. Bimbang dia tidak gagah menerima takdir yang telah tertulis untuk keluarganya. Biarlah dia menanti di rumah sahaja. Mungkin itu lebih baik. Dari muka pintu dia melambai si ayah. Jauh di sudut hati, si ibu mengirim doa agar si ayah tidak pulang membawa khabar duka.
Rasanya tidak sampai setengah jam si ayah keluar , tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kenderaan memenuhi perkarangan rumah. Cepat-cepat si ibu keluar menjenguk. Buat kesekian kali hatinya bergetar. Saat matanya menyapa ruang halaman, tampang tubuh Sulaiman menerjah indera lihat. Tanpa membuang masa si ibu berlari-lari anak menuruni anak tangga dan cuba meraih tubuh Sulaiman sebaik sahaja mendekat.
Beberapa askar yang mengiringi Sulaiman segera menghalang. Tubuh tua si ibu ditolak kasar. Baru si ibu perasan, Sulaiman dipakaikan topi sudu di kepalanya. Tidak pernah dalam seumur hidup, si ibu melihat Sulaiman mengenakan topi berkenaan. Sementara sehelai tuala kecil di lilitkan ke leher Sulaiman. Dipanggil Sulaiman berulang kali. Namun, Sulaiman hanya mampu membalas setiap panggilan itu dengan pandangan mata yang redup.
Seperti ada yang tidak kena. Si ibu mengesan wajah Sulaiman yang kian pucat dan tulang pipinya sedikit tersembul. Tangkai hatinya bagai ditetak sembilu saat melihat belahan jiwa yang ditimang penuh kasih sayang diperlakukan seperti binatang.
Askar-askar tadi memanjat anak tangga rumah tanpa ucapan salam. Habis ruang tamu, dapur dan bilik digeledah . Pakaian di dalam almari dicampakkan keluar. Kertas-kertas berterbangan di udara sementara buku-buku bersepah-sepah di atas lantai. Rumah yang pada asalnya kemas tersusun kini tidak ubah seperti tongkang pecah.
Setelah apa yang dicari tidak ditemui, askar-askar tadi turun kembali di halaman rumah, berbicara serius antara satu sama lain sebelum berlalu pergi bersama Sulaiman. Tinggal si ibu terduduk di atas tanah dengan kucuran air mata yang tidak mahu berhenti.
29 Mei 2010
Bangun dari tidur pandangan si ibu jadi berpinar-pinar. Batuk yang tak terhitung peritnya itu menghambat seluruh tenaga tua si ibu. Dia menyeringai sendirian sambil mengurut dada yang berombak deras. Batuk yang meledak membuatkan nafasnya tersekat-sekat. Kelesuan merayap di segenap tubuh. Si ayah meraba-raba dahi si ibu. Panas.
Lalu si ayah membawa si ibu ke hospital walau si ibu berkeras mahu pergi melawat anak mereka. Sebaliknya Norma, adik kepada Sulaiman mengambil giliran menziarahi abangnya di kem tahanan.
Malangnya, Norma turut dihalang untuk bertemu dengan Sulaiman. Dia pulang dengan hampa.
30 Mei 2010
Telefon berdering memecah keheningan yang menyelimuti ruang rumah Sulaiman. Tersentak si ibu yang saat itu sedang menyarung jilbab ke kepala. Niatnya hendak melawat Sulaiman lantaran sudah beberapa hari tidak bersua muka biarpun demamnya belum benar-benar kebah. Si ayah cekat mengangkat telefon. Si ibu mendekat.
Jantungnya berdenyut menyalahi tempo melihat awan suram berlabuh pada air muka suaminya. Si ayah terduduk di atas lantai. Telefon di dalam genggamannya terlepas jatuh ke atas lantai.
“Sulaiman sudah tiada lagi. Mereka kata dia mati bunuh diri,” lirih si ayah sebelum sempat si ibu membuka mulut bertanya apa-apa. Mendengar khabar itu, si ibu merasakan bahawa kakinya tidak menjejak tanah. Badan nya ringan terawang-awang di udara sebelum akhirnya tubuh wanita itu jatuh terjelepok di sisi suaminya.
Pohon-pohon Machang yang tumbuh banyak menghiasi sepanjang perjalanan krew kami ke rumah mulah Sulaiman Nesae di Kampung Hutan Machang, Mukim Kadunong, Daerah Saiburi, Wilayah Pattani. Di atas jalan, kereta podi yang kami tumpangi acapkali berpampasan dengan motorsikal-motorsikal yang ditunggangi oleh penduduk tempatan.
“Minyak di Thailand ini mahal. Sebab itu, penduduk di wilayah ini gemar menunggang motorsikal berbanding kenderaan-kenderaan lain,” jelas Nurhayatee Samoh, salah seorang sukarelawan Hak Asasi Perikemanusiaan atau lebih dikenali sebagai HAP.
Baik lelaki baik perempuan tenang menyelusuri jalan berturap tar yang tidak begitu rata di wilayah tersebut. Bagai tiada apa-apa tragedy yang pernah berlaku. Itulah yang dapat kami simpulkan. Namun, di sebalik cerah matahari yang terbias di langit bumi tiga wilayah itu, tidak ramai yang tahu sudah sedemikian banyak darah dan air mata tumpah mewarnai kehidupan sehari-hari mereka.
Setibanya kami di sana, Che’ We Nesae dan Mek Esah sudah sedia menanti. Krew kami diiring naik ke rumah bagai tetamu kehormat. Terharu kami dibuatnya.
Berdiri sahaja di lawang pintu, kami dapat melihat terus ruang dapur. Lantai kayu itu berdetap-detup berbunyi saat dipijak. Rumah beratap dan berdinding zink itu sedikit berbahang lantaran matahari semakin meninggi di dada langit. Almari-almari pakaian dan perkakas pinggan mangkuk disusun kemas. Apa yang menarik hati, almari-almari ini dijadikan dinding untuk membentuk sebuah bilik. Mata kami menangkap alatan memancing terlekap di dinding zink rumah bercat hijau itu.
Di ruang tamu, sudah ramai ahli keluarga dan jiran tertangga mulah menanti.
“Itu alat memancing mulah. Dia gemar sungguh memancing ikan pada waktu terluang,” ujar Mek Esah, ibu mulah. Barangkali dia mengesam beberapa orang dalam kalangan kami asyik memerhati alatan memancing berkenaan.
“Bukan saya bermaksud untuk memuji anak sediri namun ikhlasnya, Sulaiman anak yang baik. Di dalam kawasan kampung ini banyak anak muda yang minum air ketung. Alhamdulillah, Sulaiman tidak terlibat langsung dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah berkenaan biarpun dia tidak mengaji tinggi,” ulas Che’ We Nesae, ayah mullah Sulaiman.
Sulaiman berkawan baik dengan dua pemuda yang bertugas sebagai guru di sebuah tadika dalam kampungnya yakni Abdul Rahman dan Lukman. Ibubapa kedua-dua sahabat baik Sulaiman ini turut hadir di situ.
Tadika atau Taman Didikan Kanak-kanak merupakan satu madrasah atau sekolah yang beroperasi pada hujung minggu yakni pada hari Sabtu dan hari Ahad. Tadika ini mirip dengan kelas KAFA yang dijalankan di negara kita. Istimewanya, tadika ini menjadi satu-satunya wadah untuk membantu generasi muda mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa pertuturan di samping menyalurkan pendidikan agama dan sejarah Kerajaan Fathoni. Di sekolah kebangsaan, anak-anak ini tidak berpeluang berinterkasi dalam bahasa ibunda apatah lagi mempelajari Fathoni.
Guru-guru yang mengajar di tadika juga bukan calang-calang orang. Andai mereka dari golongan yang menyintai hayat jauh berbanding cintakan jihad, atau mengasihi rehat jauh mengatasi kasihkan rperjuangan, atau merindui limpahan nikmat dunia melebihi janji Allah di negeri akhirat, sudah tentu mereka tidak akan berdiri di hadapan anak-anak kecil generasi pewaris masa depan itu. Apa tidaknya, gaji guru-guru tadika ini hanyalah hasil belas ihsan masyarakat tempatan.
Sulaiman sendiri tidak betah duduk diam di rumah saat tenaganya diperlukan di tadika. Setiap kali pihak pengurus tadika menganjurkan aktiviti kepada kanak-kanak yang belajar di situ, Sulaiman pasti tidak ketinggalan untuk turun membantu. Walau sekadar membantu menyiapkan pentas untuk acara kanak-kanak.
Dia sedar dia dia tidak berpelajaran tinggi namun itu tidak dijadikan alasan untuk berpeluk tubuh di rumah sedang sahabat-sahabatnya bertungkus lumus membantu anak-anak bangsa Fathoni mengenal agama dan tuhan.
“ Sesungguhnya setiap kamu adalah penjuru dari penjuru-penjuru Islam, musuh akan menyerang dari penjuru kamu, maka pertahankanlah penjuru kamu itu.”
Sulaiman tahu, dia juga memegang penjuru dari penjuru-penjuru itu. Justeru, dia sedaya mampu mahu mempertahankan agama dan bangsanya dari penjuru yang dikawal. Sungguhpun dia tahu natijah yang bakal diterimanya suatu hari nanti.
Kehadiran tadika –tadika ini tentu sahaja mengundang ketidak selesaan pihak kerajaan. Mereka mengintip dan melemparkan tuduhan yang pelbagai terhadap tadika. Guru-gurunya terutama kaum Adam, diburu kerana menanam benih perjuangan dalam diri anak-anak kecil ini. Selalu sahaja pihak tentera dan pihak polis membuat huru hara di taman-taman ilmu ini.
Atas alasan inilah, Abdul Rahman dan Lukman diburu. Kini, mereka terpaksa berhijrah ke daerah asing untuk menyelamatkan diri.
Dek kerana tidak dapat memberkas Abdul Rahman dan Lukman, Sulaiman yang dikesan bergaul rapat dengan mereka dikambinghitamkan oleh pihak tentera. Sehingga nyawa Sulaiman akhirnya menjadi taruhan.
Lebih malang lagi arwah Sulaiman disahkan meninggal dunia kerana mengantung diri diri. Kematian yang paling hina dalam agama. Fitnah yang dilemparkan itu merobek-robek maruah Sulaiman sekeluarga.
Kesan-kesan luka ditubuh Sulaiman membuatkan banyak pihak sangsi dengan punca sebenar kematian Sulaiman. Ketika jenazah dibawa pulang ke rumah, Che’ We Nesae mengesan tengkuk anaknya patah. Apabila ditanya kepada pegawai kerajaan, dengan mudah mereka menjawab hal itu adalah perkara biasa yang berlaku kepada mereka yang menggantung diri sendiri.
Arwah ditemui dalam keadaan tubuhnya tergantung dengan sehelai tuala di jendela. Namun, yang menghairankan, mata arwah tertutup elok. Kebiasaannya, mereka yang mati mengantung diri ditemui dalam keadaan mata terbeliak.
Kelihatan di leher arwah terdapat bekas-bekas luka tersiat dan lebam yang tidak terlihat baru. Bukan di bahagian leher sahaja, malah di beberapa bahagian tubuhnya seperti perut, dada, kaki dan bahagian belakang turut terdapat kesan-kesan luka.
“apabila disoal pada pegawai bertanggungjawab me
“Satu badan telah ditubuhkan untuk menyiasat kes Sulaiman ini. Pihak kami akan melantik peguam untuk melawan kes ini di mahkamah . Sekarang kita tunggu pihak mahkamah panggil. Walau apapun kita tidak boleh terlalu mengharap badan yang ditubuhkan ini banyak membantu. ” Bicara Fahmi Yaakub, pembantu peguam yang bertugas dengan Muslim Attorneys Centre, Thailand (MAC) berbaur sindiran.
Hakikatnya, tragedi hitam yang menimpa Sulaiman ini saling tidak tumpah seperti yang berlaku kepada Imam Jaafar Kaseng dua tahun lalu. Bahkan ada yang menggelar Sulaiman sebagai Imam Jaafar kedua. Sehingga kini, kes Imam Jaafar masih tertunggak dan belum mendapat pembelaan sewaajrnya biarpun telah terang lagi bersuluh siapa yang bertanggungjawab akan kematian imam berkenaan.
Inikan pula Sulaiman. Bukti-bukti untuk membela kematian terkubur bersama-sama dengan jasadnya di dalam perut bumi. Maruahnya yang tercalar turut terbungkus dan terbungkam dalam kain kafan yang menyelimuti tubuhnya. Sungguh, kami sendiri melihat sinar impian itu kelam seperti kelamnya malam saat cahaya bercerai daripada matahari.

AL-Syahid Sulaiman Nasae

“Pak Cik akan perjuangkan kes ini setakat yang mampu agar pihak kerajaan tidak memandang kita sebelah mata. Andai kita diam sahaja, mereka akan naik kepala dan terus menindas kita,” ujar Che’ We Nesae. Dan pada matanya ada cahaya rembulan mengapung di sana. Dia sedemikian yakin , walau keyakinan itu berpaut pada ranting-ranting harapan yang rapuh. Barangkali Che’ We Nesae percaya, andai namanya masih ada harapan, dia masih punya peluang walau cuma sepenggal harapan yang tersisa.

Abu Ja'far Islamic Defenders Front HTI Channel Media Propoganda Abu Dujanah Fie Khurosany Achmad Imam Faizal Al Jazeera Channel - قناة الجزيرة الفضائية Abdul Jamal Kucing Tani Hizbut Tahrir
http://www.ambranews.com/berita-tempatan/kes-sulaiman-naesa-di-youtube/