Ahad, 3 Mac 2013

Perjanjian bersejarah dimeterai


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Dalam usaha mengukuhkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, Malaysia berjaya mengusahakan perjanjian persetujuan bersama yang hari ini ditandatangani antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Thailand.
Perjanjian bertujuan membuka ruang kepada dialog untuk proses damai di sempadan wilayah-wilayah selatan Thailand, ditandatangani kedua-dua pihak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, di sini.
Ia adalah usaha kedua Malaysia membantu mewujudkan kestabilan di rantau Asia Tenggara selepas kejayaan mengusahakan perjanjian damai bersejarah bagi Mindanao di selatan Filipina.
Pada majlis perjanjian Khamis, kerajaan Thailand diwakili Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC), Lt. Jen. Pharadorn Phatthanatabutr dan kumpulan pemberontak diwakili Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib.


doc1

Majlis perjanjian itu disaksikan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Wakil lain Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan Thailand Jen. Nipat Thonglek, Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Kol. Tawee Sodsong dan Pesuruhjaya Cawangan Khas Thailand Lt. Jen. Saridchai Anakevieng.
BRN pula diwakili Setiausaha Pejabat Perhubungan Luar Awang Jabat, Ketua Hal Ehwal Ulama Abdullah Sawa dan Ketua Bahagian Keselamatan Dalaman Abdul Rahman Jabat.





Malaysia diwakili Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Mohamed Thajudeen berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam perjanjian itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand telah menyatakan kesanggupan untuk membantu menamatkan pemberontakan yang telah lama berlarutan di wilayah selatan Thailand.
Beliau dilaporkan berkata Malaysia bersedia bertindak selaku orang tengah dalam proses itu.
Dilaporkan lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah di selatan Thailand sejak pemberontakan meletus pada 2004. - BERNAMA