Rabu, 24 September 2014

PERDAMAIAN DUNIA: PERNYATAAN RAKYAT PATANI

BY: Pospatani
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani

KAMI Rakyat Bangsa Melayu Patani yang terjajah menyatakan ingin kembali ke masa-masa PATANI yang merdeka dan berdaulat dalam sejarah sebelum 1902 M. Dalam konteks kemanusiaan, kemerdekaan itu suci dan hak semua bangsa, tidak boleh dijajah oleh bangsa-bangsa manapun. Menyedari kewajipan Amanah Penderitaan Rakyat Patani, kami menginginkan masa-masa yang DAMAI, namun kami harus berjuang kerana kami lebih mencintai KEMERDEKAAN. Sempena Hari Perdamaian Dunia, hari ini 21 September 2014, kami menegaskan kembali pernyataan keramat pemimpin bangsa kami, yang kami kasihi dan yang kami sokong demi pembebasan bangsa dan perdamaian dunia yang sejati dan abadi.
Berpedomankan kepada Resolusi Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) XV, 14 Desember 1960, No. 1514 telah mengakui Pemberian Kemerdekaan kepada rakyat dan wilayah jajahan. Dan untuk tujuan itu Kami nyatakan BAHAWA SESUNGGUHNYA;

1. Bangsa kami memang wujud perbezaan yang ketara dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang merdeka di dunia kerana bangsa kami dijajah oleh rejim bangsa Siam, tapi kami masih tetap memiliki hak yang sama dengan bangsa-bangsa lain dengan seribu alasan untuk MERDEKA.
2. Kami sedar bahawa dunia tidak memerlukan peperangan, tapi kami terpaksa berjuang melawan rejim penjajah Siam demi KEMANUSIAAN dan demi KEADILAN membela bangsa untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain didunia.
3. Kami sebuah bangsa yang berlainan jati diri dengan rejim penjajah, dan kami memiliki seribu alasan untuk berjuang (membela), dan kami berhak MENENTU NASIB SENDIRI sebagai alasan hukum.
4. Kami percaya tidak ada PERDAMAIAN yang sejati dan abadi di dunia, selagi ada rejim penjajah bangsa Siam atas bangsa kami di Patani, tapi kami menyokong untuk menjadikan masa-masa konflik bersenjata itu singkat, sekiranya Siam mengakui HAK PERTUANAN bangsa kami menjadi AGENDA NEGARA.
5. Kami kesal dengan sikap politik Bangkok, membuat kami terhutang amanah pada generasi bangsa kami akan sebuah KEMERDEKAAN dan PERDAMAIAN yang sejati dan abadi untuk anak bangsa kami hidup setara dan bermaruah di dunia ini.

Sekian pernyataan kami, semoga penegasan pemimpin-pemimpin bangsa kami itu mampu mengembleng tenaga anak bangsa kami “BERSATU, BERJUANG, MERDEKA” atas segala hak-hak politik, ekonomi, sosial dan budaya yang diwadahkan. Dengan pernyataan ini kami terus berjuang menyuarakan perlawanan atas segala bentuk penjajahan, penindasan dan penghisapan terhadap rakyat bangsa dan Tanah Air PATANI DARUSSALAM sehingga mendapat perdamaian yang sejati dan abadi.


Salam Merdeka dan Salam Perdamaian Dunia!
Patani 21 September 2014

http://www.deepsouthwatch.org/node/6182