Jumaat, 3 Disember 2010

Al-Faatihah...Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar Nik Mahmud Sejarawan Patani dan Sejarawan Bangsa Melayu

Al-Faatihah...Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar Nik Mahmud Sejarawan Patani dan Sejarawan Bangsa Melay
 
Pada hari Khamis, 28 Oktober 2010 kita telah kehilangan seorang lagi tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara iaitu tokoh sejarah terkenal tanah air, Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, UKM. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya ketika sistem pendidikan negara sedang dalam proses menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam sistem peperiksaan di sekolah. Mengikut Dr. Roosfa Hashim, rakan setugasnya di UKM “Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar merupakan sejarawan yang secara serius berusaha menulis kembali sejarah Patani dan Sejarah bangsa Melayu daripada perspektif anak tempatan. Proses pemperibumian ilmu yang jelas dapat kita kesan pada karya-karya beliau.”

Sebagai seorang tokoh sejarah, Allahyarham telah banyak menulis buku-buku Sejarah khususnya berhubung dengan sejarah bagi rantau Asia Tenggara. Di antara hasil penulisan Allahyarham ialah Tunku Abdul Rahman and his role in the Baling Talks: A documentary history (1998), Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1984 (Penerbit UKM 1999), The Malays of Patani: The search for security and independence (MPH 2008), Tok Janggut: Pejuang atau penderhaka? (Jabatan Sejarah UKM), Konfrontasi Malaysia-Indonesia (Penerbit UKM 2000), Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan: Isu sempadan dan kedaulatan (Penerbit UKM 2003), Tuntutan Malaysia ke atas Borneo Utara (Penerbit UKM 2001), Duri Dalam Daging: Singapura dalam Malaysia (Persatuan Sejarah Malaysia 2001) dan artikel-artikel lain yang dimuatkan dalam pelbagai media maklumat.

Kali terakhir seluruh warga IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan dapat mendengar syarahan Allahyarham ialah pada 16 September 2009 semasa beliau diundang ke forum sempena Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan 2009 bersama-sama Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Prof. Dato’ Dr. Hajah Ramlah Adam. Allahyarham yang sentiasa konsisten dengan pandangan dan pendapat tentang sejarah itu telah menegaskan bahawa penjelasan tentang sejarah sebenar negara perlu dilakukan dengan jujur dan telus tanpa kepentingan-kepentingan lain. Aspek ini penting untuk menghapuskan rasa syak wasangka yang boleh timbul akibat daripada ‘kabur sejarah’ dalam kalangan rakyat di negara ini. Selain itu beliau telah mengupas tentang peri pentingnya pembelajaran mata pelajaran Sejarah dikembalikan ke tempat asalnya dengan wajib dipelajari di semua peringkat dalam sistem pendidikan negara ini. Hari ini saranan itu telah hampir terlaksana, dan Allahyarham telah pergi meninggalkan kita semua untuk selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.  Alfatihah

Bacaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris:
http://pkukmweb.ukm.my/news/index.php/en/extras/508-prof-dato-nik-anuar-ukms-history-lecturer-and-national-historic-figure-passed-away.html
http://drshafie.blogspot.com/2010/10/profesor-dato-dr-anuar-mahmud-kembali.html
Bacaan dalam bahasa Siam:
http://arabic.amannews.org/view/view.php?id=801

Sumber: http://www.facebook.com/#!/notes/patani-fakta-dan-opini/belasungkawa-prof-dato-dr-nik-anuar-nik-mahmud-sejarawan-patani-dan-sejarawan-ba/171250592898329 

2 ulasan:

  1. orang yang banyak membantu dalam proses penyelidikan daruratku..terima kasih di atas sumbangan bahan dari public of record london berkenaan Home Guard dulu..-zul mrsm pendang

    BalasPadam
  2. al fatihah.
    beliau merupakan seorang pensyarah yang baik, komited dan suka membantu mahasiswa. terima kasih prof. yang menjadi penyelia latihan ilmiah saya "Gagasan Malaysia dan Reaksi Brunei 1963". UKM 2008.
    Semoga allahyarham ditempatkan dalam kalangan org beriman.

    BalasPadam