Rabu, 6 Jun 2012

العلاَّمة الشيخ توان كورو إسماعيل سفنجغ الفطاني دان كتاب باكورة الأماني لإشارة عوام أهل الفطاني

Al-Alamah Baba Ismail Sepanjang al-fathani

Kelahiran, Keluarga dan Pendidikan.

Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.

 Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun).

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3 perempuan ). Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Makkah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.

Pada tahun 1993, setelah kembali dari Makkah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia,thailand dan Burma tanpa menerima bayaran.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).
Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala.. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab.

Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”, “Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir, hadis dan Qawaid. Selain itu, Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama’ Fathoni.
 


Judul: Bakurah al-Amani li Irsyadi ‘Awami Ahlil Fathani
(باكورة الأماني لإشارة عوام أهل الفطاني)

Kategori: Tauhid/Aqidah

Pengarang: al-‘Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (lahir pada 1300H/1882M di Bendang Daya, Fathani dan wafat di Mekah pada 3 November 1965M ketika berusia 83 tahun)

Tarikh selesai dikarang: 14 Rajab 1335 bersamaan 15 Mei 1917M

Kitab Bakurah al-Amani atau nama lengkapnya Bakurah al-Amani li Irsyadi ‘Awami Ahlil Fathani (باكورة الأماني لاشارة عوام أهل الفطاني), merupakan antara kitab tauhid yang terkenal di Tanah Melayu sehingga kini. Ianya ditulis oleh al-’Alim al-’Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir bin Wan Musthafa, atau dikenali juga dengan nama Pak Da ‘El al-Fathani. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas, hanya kurang lebih 10 halaman namun isinya padat. Kitab ini ditulis oleh Pak Da ‘El sewaktu beliau berziarah ke negeri Kedah atas permintaan murid-muridnya. Ianya ditulis secara spontan, berdasarkan ingatan beliau sahaja. Tarikh kitab ini selesai di tulis adalah pada tahun 1335H/1916M atau tepatnya pada hari Sabtu 14 Rajab 1335 bersamaan 15 Mei 1917M. Kitab ini pernah di cetak oleh Matba’ah al-Ikhwan, Singapura pada tahun 1918M.

Menurut ceritanya, sejarah penulisan kitab ini adalah dari permintaan muridnya yang bernama Haji Ahmad supaya Pak Da ‘El karangkan secara ringkas matan ilmu tauhid bagi memudahkan anaknya Mat Hasan yang masih memondok agar membantunya dalam memahami ilmu tauhid. Maka permintaan itu diperkenankan oleh Pak Da ‘El, dan terhasillah kitab yang terkenal ini.

Oleh kerana kitab ini ringkas dan padat isinya sehingga sesetengah orang kerana gagal dalam memahami ‘ibaratnya, bahkan dibangkang oleh sesetengah orang, maka Pak Da ‘El telah diminta pula supaya menulis syarah bagi kitab ini. Beliau kemudian menulisnya dan diberi judul Tabshirah al-Adani bi Alhan Bakurah al-Amani (تبصرة الأداني باءلحان باكورة الأماني), selesai ditulis pada 25 Muharram 1358H / 16 Mac 1936.

Kitab Bakurah al-Amani, sehingga kini diajarkan dipondok-pondok. Bahkan merupakan sebuah teks utama di dalam ilmu tauhid. Antara tuan guru yang mengajar kitab Bakurah: Tuan Guru Haji Ismail Spanjang, Tuan Guru Haji Salleh Sik, Tuan Guru Haji Zakaria dan ramai lagi.