Ahad, 25 Mei 2014

Apa makna demokrasi di Thailand?

Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak
KEMELUT politik di Thailand yang berlaku sejak enam bulan lalu semakin buruk. Semua bentuk penyelesaian politik termasuk menerusi mekanisme diplomasi masih gagal memperbaiki keadaan di dalam negara 'gajah putih' itu.
Di luar pejabat kerajaan dan di kawasan jalanan di Bangkok, ribuan penunjuk perasaan, sama ada penyokong pro-kerajaan atau pro-pembangkang, masih tidak berganjak daripada tempat mereka, menunjuk perasaan, memberontak, menuntut satu perubahan politik yang terbaik bagi mereka.
Sementara itu, di dalam pejabat kerajaan, pemimpin politik kerajaan dan pembangkang pula masih ingin mempertahankan kepentingan masing-masing. Sebagaimana yang dijangka, tentera Thailand yang dipimpin Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan rampasan kuasa kelmarin bagi memulihkan kestabilan di negara itu. Tindakan ini disusuli dengan penggantungan perlembagaan negara beberapa jam kemudian.

 SEORANG wanita Thailand memegang kad yang menggesa agar Thailand dibebaskan ketika menyertai bantahan rampasan kuasa di hadapan Monumen Victory di Bangkok, kelmarin. - AGENSI
 
Rampasan kuasa ini berlaku hanya dua hari selepas pihak tentera menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh negara bagi membuka laluan kepada pihak terlibat untuk berunding dalam usaha menamatkan konflik politik di Thailand. Walaubagaimanapun, rundingan itu gagal mencapai kata sepakat terhadap konflik itu. Semua wakil politik yang menghadiri rundingan tersebut pula ditahan oleh tentera Thailand.
Sudah pasti, tindakan rampasan kuasa oleh tentera Thailand ini bakal menerima pelbagai kritikan dan cemuhan daripada pelbagai pihak, sama ada di dalam negara, di peringkat serantau, dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) pernah menyatakan rasa bimbangnya terhadap perkembangan mutakhir yang sedang berlaku di Thailand yang mungkin akan menjurus kepada berlaku sekali lagi peristiwa rampasan kuasa oleh tentera yang kelak bakal menjejaskan proses demokrasi di negara tersebut.
Ini bukanlah kali pertama tentera Thailand bertindak merampas kuasa. Menurut sejarah Thailand, rampasan kuasa tentera buat pertama kalinya pernah berlaku pada 1933 apabila Kolonel Phraya Phahol Pholphayuhasena bertindak merampas kuasa kerajaan Thailand daripada bekas Perdana Menteri, Phraya Manopakorn Nititada. Enam tahun kemudian, iaitu pada 1939, satu lagi peristiwa rampasan kuasa tentera berlaku diketuai ketua tentera Thailand pada ketika itu, Luang Pibulsonggram. Peristiwa rampasan kuasa tentera di Thailand turut berlaku pada 1947, 1951, 1957, 1958, 1971, 1976, 1977, dan 1991.
Sebelum berlaku peristiwa rampasan kuasa tentera kelmarin, tentera Thailand yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin, pernah melancarkan rampasan kuasa dan menguatkuasakan undang-undang tentera selepas kejayaan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam pilihan raya umum di negara tersebut yang telah mendapat bantahan keras serta boikot oleh parti pembangkang.
Peristiwa rampasan kuasa tentera di Thailand ini juga contoh 'negara gagal' (failed state) di zaman moden. Dalam konteks demokrasi, negara biasanya ditadbir oleh pemimpin yang dilantik daripada kalangan rakyat di negara tersebut. Walaupun negara itu mengamalkan kombinasi sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, rakyat masih lagi merupakan ketua kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengenai hal ehwal urusan negara.
Tentera, pada hakikatnya, hanya bertanggungjawab mempertahankan negara daripada serangan oleh pihak luar, dan pada ketika aman, tentera mesti bertindak menyokong kerajaan sedia ada yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi. Inilah yang sepatut berlaku, tetapi di Thailand, ia tidak berlaku demikian.
Dari satu aspek lain, kita juga boleh berhujah bahawa tentera sememangnya tidak boleh dipersalahkan. Ini kerana, menjadi tanggungjawab tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh. Malah sebarang usaha atau cubaan yang mampu menjejaskan keamanan negara termasuk ancaman daripada dalam juga boleh menjadi keutamaan tentera yang mesti diteliti dan diperhati. Justeru, tindakan rampasan kuasa tentera di Thailand ini boleh dijustifikasikan sebagai tindakan bersifat untuk menyelamat dan menstabilkan keadaan.
Ancaman di Thailand pada ketika ini, bukan sahaja boleh datang daripada luar, malah boleh datang daripada pelbagai aspek termasuk kegagalan sistem politik demokrasi di negara itu.
Sememangnya proses politik demokrasi di Thailand yang menyaksikan pembentukan kerajaan menerusi pilihan raya bebas yang disulami dengan beberapa insiden kekacauan dan tunjuk perasaan oleh rakyat serta sikap pentingkan diri sendiri oleh pemimpin tertinggi parti politik mampu menjatuh dan melumpuhkan Thailand daripada dalam.
Ini dinamakan sebagai proses perubahan politik secara senyap di mana ada 'tangan ghaib' yang berfungsi di sebalik tabir demokrasi di negara tersebut sedang berusaha untuk merencanakan satu sistem politik baru di Thailand yang bakal menjejaskan bukan sahaja masa depan rakyatnya, malah sistem pemerintahan beraja di negara itu. Dan dalam hal ini, tentera Thailand sebenarnya ialah 'the last bastion' bagi mempertahankan kestabilan dan kedaulatan Thailand.
Sistem demokrasi ialah satu sistem yang pemerintahan negara yang baik untuk diamal dan dilaksanakan. Tetapi dalam konteks politik terkini di Thailand, malah di kebanyakan negara bukan Barat, ia seringkali menemui kegagalan. Di Thailand, sistem demokrasi gagal bukan disebabkan oleh rakyatnya, tetapi disebabkan percaturan politik di peringkat atasan khasnya dalam kalangan pemimpin tertinggi parti politik yang masih ingin mengembangkan pengaruh dan mengekalkan kepentingan politik masing-masing.
Bekas Presiden AS, Abraham Lincoln yang pernah mempopularkan istilah bahawa demokrasi adalah 'kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat' mungkin akan terkejut melihat bagaimana kata-kata beliau mengenai demokrasi ini sebenarnya sangat jauh daripada realitinya.
Demokrasi memang datang daripada rakyat apabila pemimpin yang dilantik untuk memerintah negara itu dipilih oleh rakyat jelata. Tetapi sistem demokrasi lama kelamaan mempunyai satu kecenderungan untuk membentuk sekumpulan 'elit politik' dan 'elit ekonomi' yang sebenarnya paling berkuasa dalam mana-mana pentadbiran negara berteraskan demokrasi di seluruh dunia.
Seorang sarjana politik Barat, Robert Michels, dalam tulisannya yang bertajuk The Iron Law of Oligarchy pernah mengatakan bahawa dalam aspek pemerintahan negara, khasnya yang berteraskan sistem demokrasi, rakyat sebenarnya tidak pernah mendapat apa-apa manfaat pun daripada sistem tersebut, kecuali sedikit. Yang sebenarnya menguasai pemerintahan negara, menurut Michels, ialah sekumpulan manusia yang disebut sebagai 'elit politik' dan 'elit ekonomi'.
Demikianlah bagaimana demokrasi boleh membawa kebaikan dan keburukan kepada rakyat dan negara. Semuanya bergantung kepada sejauhmana kefahaman rakyat mengenai fungsi dan peranan demokrasi sebagai sistem politik.
Kita menerima sistem demokrasi bukan kerana namanya demokrasi tetapi kerana ia boleh memberikan kebaikan dan manfaat kepada kita. Tetapi sekiranya sistem demokrasi ini tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara, malah menyusahkan kehidupan seharian mereka, maka sesuatu mesti dilakukan oleh rakyat di negara tersebut supaya kehidupan, nasib serta masa depan mereka akan bertambah baik.
Sebagai sebuah negara yang berjiran dengan Thailand, Malaysia sudah pasti amat berharap konflik di negara itu dapat diselesaikan tanpa perlu insiden pertumpahan darah. Thailand juga sudah pasti tidak mahu keadaan dalam negaranya diheret menjadi isu serantau ASEAN, apatah lagi mendapat campurtangan daripada PBB dan AS.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140526/re_01/Apa-makna-demokrasi-di-Thailand#ixzz32n8N4gXr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan