Jumaat, 8 April 2016

Jihad Menjadi Fardu Ain

Jihad Menjadi Fardu Ain
ULASAN DAN UBAH SUAI OLEH UMMAH PATANI.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ فَصَلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمَاتَ أَوْ قُتِلَ ، فَإِنَّهُ شَهِيدٌ ، وَمَنْ وَقَصَهُ فَرَسُهُ أَوْ بَعِيرُهُ ، أَوْ لَدَغَتْهُ هَامَةٌ ، أَوْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ بِأَيِّ حَتْفٍ شَاءَ اللَّهُ ، فَإِنَّهُ شَهِيدٌ وَإِنَّ لَهُ الْجَنَّةَ

"Barangsiapa yang keluar pada jalan Allah lalu dia mati atau dibunuh maka dia mati syahid. Barangsiapa yang mati dipijak kuda atau untanya atau disengat binatang, atau mati di atas hamparannya dengan apa cara sekalipun yang dikehendaki oleh Allah, maka dia adalah syahid dan baginya syurga."
[HR Abu Daud, Baihaki, al-Hakim]

Hadis ini menunjukkan perjuangan menegakkan agama Allah, memenangkan agama Allah dan meninggikan agama Allah membawa maksud yang luas. Apa yang sesetengah orang faham, jihad ini hanya dengan perang sahaja. Sedangkan perang adalah cara terakhir untuk menegakkan Islam setelah semua cara yang lain.

Oleh itu perlunya orang Islam mempelajari ilmu feqah. Feqah ini luas merangkumi semua cabang kehidupan. Malangnya di sisi orang Melayu, yang dia tahu cuma bab sembahyang, bersuci, haid dan nifas sahaja.

Di sana masih terdapat fiqh muamalat, fiqh dakwah, fiqh jihad, fiqh akidah dan sebagainya
Fiqh dengan makna al-fahmu, iaitu untuk memahami agama ajaran agama dengan betul mengikut al-Quran, dengan huraiannya oleh Hadis-hadis Nabi SAW dan para ulama yang memahami al-Quran dan Hadis.

Kalau kita sembahyang tak ikut cara yang betul akan ditolak. Begitu juga puasa, kalau tak kena rukunnya, tidak akan diterima Allah. Haji, jihad dan apa saja juga sama, kalau tak ikut caranya, akan ditolak amalan-amalan tersebut.

Jihad bermaksud memuliakan agama Islam mengatasi segala ajaran dan ideologi yang lain. Matlamatnya supaya orang menerima Islam, bukan benci kepada Islam. Apa yang berlaku hari ini pula, orang berjihad tetapi menyebabkan orang jadi benci terhadap Islam. Ini menunjukkan ada silap padanya.

Zaman Nabi SAW berjihad menyebabkan orang masuk Islam. Apabila tentera Islam masuk ke kota-kota Parsi Rom dan sebagainya, penduduknya memeluk Islam. Ini kehebatan Islam. Hari ini berjihad, makin orang benci kepada Islam, makin hodoh Islam. Puncanya kerana tidak feqah, tidak memahami cara-cara perjuangan menegakkan agama Allah.

Antaranya fiqh jihad disebut dalam suatu hadis. Ketika Nabi ingin memerangi Khaibar, Nabi berpesan kepada Saidina Ali sebelum memerangi mereka, ajak mereka dulu kepada Islam. Beritahu hak-hak mereka yang sebenarnya. Nabi menyatakan sesungguhnya mengajak seorang kepada hidayah Allah lebih bernilai daripada berperang dan mendapat unta merah sebagai harta rampasan perang.

Dalam hadis yang lain, Nabi berpesan kepasa Saidina Ali yang diutus ke Yaman supaya ajak mereka kepada Islam. Kalau mereka tak mahu terima, jangan perangi mereka sehingga mereka perangi kamu.

Jika mereka perangi kamu, jangan perangi mereka sehingga mereka bunuh orang kamu. Jika mereka bunuh, bawa mayat itu dihadapan mereka dan tanya, adakah ini yang kita mahu.

Kalau mereka terima Islam pada waktu itu, terima mereka. Kalau mereka masih ingin berperang juga, maka perangi mereka dengan bismillah wa ala barakatillah. Ini cara yang diajar oleh Nabi SAW.

Apaila berperang, Nabi mengajar adab-adabnya agar tidak boleh bunuh kanak-kanak, wanita-wanita, orang-orang tua, sami-sami dan ahli ibadat yang berada di tempat ibadat mereka. Ini kerana mereka semua tidak terlibat dalam peperangan. Jua tidak boleh musnahkan harta mereka dan cincang mayat-mayat mereka.

Hari ini, berjihad tapi bom masjid. Sunni bom masjid syiah, syiah bom masjid sunni dan berbagai lagi. Jihad apa macam ni? Jangan sampai kepada timbul fitnah, sebagaimana yang Nabi sebut:

القاتل والمقتول في النار

"Pembunuh dan orang dibunuh kedua-duanya masuk neraka."

Jihad juga perlu niat ikhlas kerana Allah, jangan niat yang selainnya.

Jihad menghadapi musuh-musuh yang bukan Islam berlainan dengan jihad menghadapi orang-orang Islam sendiri. Melawan orang Islam yang zalim, yang jahil dan jahat berbeza caranya dengan menghadapi musuh yang menyerang negeri Islam.

Nabi menyuruh kita berdepan dengan orang zalim. Dalam satu hadis

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

"Penghulu para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin zalim, dia menyuruhnya dan melarangnya sehingga dia dibunuh"



Menghadapi umat Islam yang zalim, Nabi menyuruh kita berani menyatakan kebenaran di hadapannya, sehingga apabila dibunuh kerana itu, kita mati syahid. Ini caranya. Tetapi apabila menghadapi musuh Islam yang menyerang negara umat Islam, maka ketika itu jihad menjadi fardu ain kepada seluruh umat Islam.


Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 23 Jumadal Akhirah 1437 bersamaan 1 April 2016 ini disusun oleh Alang Ibn Shukrimun .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan