Rabu, 29 Jun 2011

KEBANGKITAN KHILAFAH

KEBANGKITAN KHILAFAH
by.mykhilafah
Sejak kehancuran Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), seluruh sistem Islam turut musnah. Sistem pemerintahan Islam yang selama ini telah menguasai dan memerintah hampir dua per tiga dunia kini telah pun lenyap. Sistem Khilafah yang telah menaungi manusia selama lebih dari 13 abad dan yang telah membawa rahmat ke seluruh alam, kini telah berkubur dengan runtuhnya Daulah Khilafah lebih kurang 90 tahun yang lalu,. Justeru, generasi yang hidup selepas itu, hinggalah ke hari ini, sudah tidak lagi dapat merasai hidup di dalam Daulah Islam. Mereka sudah tidak dapat merasakan hidup di dalam sebuah Negara Islam yang benar-benar menerapkan sistem pemerintahan Islam.
 

Oleh yang demikian, di antara pelbagai kesulitan yang wujud di tengah-tengah umat Islam saat ini adalah bagaimana untuk mendekatkan gambaran sistem pemerintahan Islam di dalam benak mereka. Ini kerana, gambaran yang ada sekarang di dalam pemikiran umat Islam sudah tidak dapat lari dari sistem demokrasi kufur ciptaan Barat. Fikiran umat Islam sudah tidak mampu menggambarkan bentuk sistem pemerintahan Islam yang sebenar sebagaimana yang ada pada zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa’ Rasyidun. Jika ada dalam gambaran mereka sekalipun tentang sistem pemerintahan Islam, mereka tidak dapat lari dari menggambarkannya dalam acuan sistem demokrasi yang ada sekarang. Dengan kata lain, mereka cuba menggambarkan atau menyesuaikan sistem Islam mengikut kehendak/acuan demokrasi yang sedia ada, tanpa dapat keluar darinya.

Kesulitannya tidak hanya berhenti di situ. Terdapat pula kesulitan-kesulitan lain iaitu untuk mengubah pemikiran umat Islam yang telah teracuni oleh tsaqafah Barat. Tsaqafah ini benar-benar telah menjadi senjata utama Barat dalam menghadapi umat Islam. Tsaqafah inilah yang telah Barat hunjamkan ke dalam tubuh Daulah Islam sehingga melahirkan kesakitan yang amat mendalam di dalam kehidupan umat Islam. Barat kemudian membawa senjata ini (tsaqafah) dan memberikannya kepada anak cucu Daulah, di saat senjata tersebut masih menitiskan darah ‘ibunya’ (Daulah Islam) yang baru sahaja di bunuhnya. Tatkala Barat membawa senjata ini, mereka berkata kepada anak-cucu Daulah dengan angkuh dan sombong, “Sungguh aku telah membunuh ibu kalian yang memang patut dibunuh kerana penjagaannya yang buruk terhadap kalian. Sekarang aku menjanjikan penjagaan yang lebih baik yang akan membuatkan kalian merasakan kebahagiaan hidup dan kenikmatan yang nyata.” Kemudian, anak-anak itu pun menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan sang pembunuh yang mana senjatanya masih terhunus dan berlumuran dengan darah ibu mereka!

Semenjak kematian ibu mereka, umat Islam sesungguhnya telah kehilangan orang yang selama ini mengasuh dan membesarkan mereka. Umat Islam sudah mula lupa akan orang yang selama ini menjaga dan menyayangi mereka. Racun tsaqafah yang dicucuk oleh Barat telah membiuskan mereka dari semua ini, sehingga mereka terus alpa dan tenggelam dalam tsaqafah yang menyesatkan ini. Apabila berlaku sesuatu yang mengetuk dan menghantuk mereka, maka sekali-sekala umat Islam tersentak lalu bangkit untuk menyatakan kemarahannya kepada Barat. Tetapi sayangnya pada masa yang sama mereka masih tetap mengambil tsaqafah Barat. Tatkala mereka bangkit untuk menentang Barat, dalam masa yang sama mereka masih berpegang erat dengan sistem yang dibawa oleh Barat. Padahal dengan tsaqafah dan sistem itulah yang telah mengakibatkan mereka selama ini terjajah dan berada di dalam kehinaan. Dengan kejahatan yang dilakukan Barat dari masa ke semasa, umat Islam terus terhantuk lagi, lalu mereka bangkit sekali lagi untuk memerangi Barat, namun dalam masa yang sama mereka masih menghulurkan tangan kepada Barat dari arah belakang dengan mengambil racun-racun yang mematikan itu, lalu meminumnya. Hal ini berlaku berulang-ulang kali. Lantaran itu, umat Islam terus tersungkur di dalam kelemahan, kekalahan dan kehinaan di hadapan Barat.

Justeru, pokok persoalannya sekarang adalah umat Islam itu wajib kembali kepada ajaran Islam, bukannya kepada ajaran Barat dan seterusnya menegakkan semula Daulah Islam yang akan menerapkan segala hukum-hakam Islam secara kaffah (menyeluruh). Umat Islam wajib kembali menerapkan sistem Islam di bawah naungan Daulah Khilafah kerana hanya dengan adanya Negara Islam ini, barulah hukum Allah dapat diterapkan dan umat Islam dapat dipersatukan kembali dengan sebuah kekuatan yang luarbiasa. Kita tidak mahu negeri-negeri umat Islam yang ada sekarang terus-menerus berada dalam keadaan lemah dan terpecah-belah dan menerapkan sistem demokrasi, kerana inilah sebenarnya yang dimahukan oleh Barat. Kita mahukan penyatuan semua negeri umat Islam di bawah seorang Khalifah yang menerapkan sistem yang berasal dari langit. Oleh itu, kita mesti bersatu membangun Daulah Islam yang satu untuk keseluruhan umat Islam. Dalam hal ini, kita bukannya mahu mendirikan sebuah negara yang hanya ‘dikenali’ dengan Negara Islam, namun menerapkan sistem demokrasi, yang nyata-nyata sebuah sistem pemerintahan kufur. Apa yang kita mahukan adalah sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah) yang menerapkan sistem-sistem pemerintahan Islam semata-mata.

Sesungguhnya orang-orang yang meniti jalan dakwah untuk mewujudkan Daulah Islam mestilah mempunyai pemikiran dan pengetahuan yang jernih akan segala sistem yang bakal diterapkan di dalam Daulah Islam nanti. Sebagaimana kita meyakini firman Allah bahawa deen Islam ini sempurna, maka kita juga meyakini bahawa sistem pemerintahan Islam adalah sempurna. Justeru, kesempurnaan sistem Islam itu bermaksud sistem itu ‘berdiri sendiri’ tanpa memerlukan ‘pelengkap’ dari sistem yang lain. Dengan kata lain, umat Islam tidak memerlukan sistem demokrasi, baik sebagai ‘pelengkap’, ‘penghias’, ‘penumpang’, apatah lagi sebagai ‘asas’ untuk kita melaksanakan sistem pemerintahan Islam! Kerana itu, Hizbut Tahrir telah memperjelas dan merincikan segala bentuk sistem pemerintahan Islam di dalam kitab-kitabnya, yang kesemuanya disertakan dengan nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunah dan Hizbut Tahrir menawarkan kepada setiap Muslim untuk mengkaji kitab-kitab ini di dalam usaha kita untuk mendirikan sebuah Negara Islam. Kitab-kitab keluaran Hizbut Tahrir seperti Ajhizah Daulah Al-Khilafah Fi Al-Hukm Wa Al-Idarah (Struktur Negara Khilafah Dari Segi Pemerintahan dan Administrasi), Nidzamul Hukmi Fil Islam (Sistem Pemerintahan Di Dalam Islam), Al-Amwal Fi Daulah Al-Khilafah (Harta-Harta Dalam Daulah Khilafah), Nizamul Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekonomi Dalam Islam) dan lain-lain, membahaskan hal-hal ini dengan terperinci.

Kemenangan Adalah Janji Allah Dan Ia Pasti Datang

Sejak Barat berjaya menghancurkan sistem pemerintahan Islam dengan menghancurkan Daulah Khilafah, golongan kuffar Imperialis ini telah ‘menghadiahkan’ sistem pemerintahan demokrasi kepada umat Islam dan menghiaskannya dengan solekan yang begitu indah agar umat Islam terus terpukau dengan kecantikannya. Dalam masa yang sama, kuffar Barat ini melakukan serangan yang bertubi-tubi terhadap usaha untuk menegakkan semula Khilafah. Mereka akan sokong dan redha dengan perjuangan umat Islam yang menginginkan demokrasi, namun mereka akan benci dan menghalang segala usaha umat Islam yang menginginkan Khilafah. Mereka melontarkan pelbagai kata-kata dan propaganda jahat bagi menggambarkan kepada dunia bahawa gerakan yang ingin menegakkan Khilafah adalah gerakan yang ekstrem, radikal, teroris dan pelbagai macam tohmahan lagi. Mereka berusaha untuk menakutkan dunia, khususnya dunia Islam sendiri bahawa Khilafah merupakan sebuah kekuasaan yang penuh dengan kejahatan dan kekolotan.

Namun, dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari setiap golongan yang ikhlas untuk menolong agama Allah, semua propaganda jahat kuffar itu dapat di atasi sedikit demi sedikit. Seruan menegakkan Khilafah yang diseru oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah membuka mata umat Islam dari masa ke semasa. Hal ini sesungguhnya semakin menakutkan kuffar Barat (akan kemunculan semula Khilafah). Kaum Muslimin di seluruh dunia mulai sedar dan mengambil perjuangan ini sebagai agenda utama (vital) dan semakin sedar akan kewajipan mengembalikan Khilafah ini. Kaum Muslimin juga mula sedar bahawa Khilafah merupakan satu-satunya alternatif bagi segala kerosakan, kezaliman, penjajahan, perpecahan, kekacauan, pembunuhan dan sebagainya yang kini sedang melanda dunia Islam, yang diakibatkan oleh sistem yang buruk dan penguasa yang buruk.

Kita telah menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri dari masa ke semasa dan sejak beberapa bulan yang lalu di beberapa negeri kaum Muslimin seperti Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain, Libya, Syria dan lainnya, terjadi pergerakan besar-besaran umat Islam menentang para penguasa mereka yang zalim yang sekaligus adalah ejen Barat. Para penguasa ini memerintah dengan kuku besi dan menzalimi rakyat selama puluhan tahun lamanya. Mereka menghisap darah umat dan menerapkan undang-undang kufur mengikut arahan tuan-tuan mereka yang kafir. Mereka merompak kekayaan umat bersama tuan-tuan mereka, melanggar kehormatan umat dan menelantarkan umat, malah sampai ke tahap membunuh umat Islam walaupun rakyatnya sendiri. Ringkasnya, para diktator firaun masa kini telah sampai kepada puncak kejahatan dan melampaui semua batasan, sehingga tahap kesabaran umat telah hilang. Umat lalu keluar ke jalan-jalan di mana tidak ada seorang pun atau sesuatu pun yang akan dapat memalingkan mereka dari jalannya. Umat yang dizalimi ini telah melupakan rasa takut dan sampai kepada tekad bulat bahawa mereka tidak akan meninggalkan medan dan tidak akan kembali ke rumah-rumah mereka sehingga para penguasa zalim itu jatuh. Berdirinya umat ini telah merealisasikan berakhirnya usia para penguasa dengan membenarkan sabda Rasulullah SAW

“kemudian akan ada mulkan jabariyyan (kekuasaan diktator) dan akan tetap ada atas izin Allah kemudian Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya”
[HR Ahmad].

Para penguasa zalim seperti Ben Ali, Husni Mubarak dan orang-orang lain sebelum mereka, satu demi satu telah dicampakkan ke gaung sejarah yang busuk. Tuan-tuan kafir mereka tidak memperlihatkan belas kasihan sedikitpun terhadap mereka dan membiarkan mereka di akhir hidup mereka yang hitam! Manakala rakan-rakan sejawat mereka di beberapa negeri yang lain, ada yang masih belum sedar dan ada yang masih berusaha mempertahankan diri mereka dari dicampak ke gaung yang sama. Sama ada mereka mahu atau tidak, sesungguhnya sekejap lagi akan tiba hari-hari hitam mereka di mana penduduk langit dan bumi tidak akan menangisi pemergian mereka. Dengan izin Allah SWT, zaman kekuasaan mereka yang penuh kejahatan ini akan segera berakhir dan akan diganti dengan sebuah kekuasaan yang penuh berkat dan rahmat, yang mana kita kini sedang berjalan ke arahnya. Inilah jalan penyudah yang baik untuk kita semua yang diberitakan oleh Rasulullah SAW

“Kemudian akan kembali Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian” [HR Ahmad].

Sesungguhnya kaum Muslimin di belahan mana sahaja dunia ini, adalah sebahagian dari umat yang satu. Maka mereka dengan izin Allah tidak akan ketinggalan dari arus kebangkitan saudara-saudara mereka. Ibarat tubuh yang satu, mereka bersama-sama bangkit dan bersatu untuk menumbangkan rejim yang opresif dan ingin menggantikannya dengan Islam. Para penguasa dan kakitangan mereka yang zalim ini sudah semakin sedar bahawa masa-masa untuk mereka berkuasa dengan kejahatan mereka, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pintu sampah sejarah sedang terbuka luas menunggu mereka. Lebih dari itu, azab yang pedih di sisi Allah sedang menunggu mereka di akhirat yang masanya bukanlah lama sangat dari sekarang!

Wahai kaum Muslimin! Sungguh telah tiba waktunya di mana tembok ketakutan sudah sepatutnya roboh dari diri-diri kalian. Demi menegakkan agama Allah, kalian wajib berusaha menempuh jalan jihad yang lebih afdhal (utama). Rasul SAW bersabda,

“Ketahuilah, sesungguhnya jihad yang paling afdhal adalah kalimat (mengatakan) yang hak dihadapan penguasa yang jahat”.

Maka, berjihadlah kalian dengan kalimah yang hak ini dan janganlah kalian takut kecuali kepada Allah. Usahlah kalian gentar kepada pasukan keselamatan negara yang mematai kalian, kerana mereka itu tidak akan mampu untuk menghalang orang Mukmin dari berjuang menegakkan agama Allah dan amat hinalah mereka yang bersungguh-sungguh menghalang orang Mukmin dari menegakkan kebenaran. FirmanNya,

“Maka janganlah kalian takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu”
[TMQ al-Baqarah (2):150].

Wahai kaum Muslimin! Hizbut Tahrir menyeru kalian dan menyeru golongan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan (ahlul quwwah) untuk bergabung dengan barisannya mulai hari ini, sebelum tibanya hari yang mana kalian diminta persaksian. Oleh kerana keinginan dan kecintaan Hizbut Tahrir untuk mendapatkan kebaikan buat kalian, maka Hizbut Tahrir menyeru kalian, untuk memperlihatkan, mengingatkan dan memberikan khabar gembira.

Pertama: Untuk memperlihatkan kepada kalian kemuliaan yang kalian miliki pada suatu masa dahulu ketika Khilafah masih berdiri dan kehinaan yang sekarang ini menimpa kalian setelah lenyapnya Khilafah.

Kedua: Untuk mengingatkan kalian bahawa kalian berupaya untuk mengalahkan kaum kuffar penjajah dan negara asuhan mereka yakni Yahudi. Bahkan kalian dengan izin Allah akan menjadi umat yang terkuat dan terbaik di dunia ini, dengan mendirikan Khilafah dan seterusnya kalian akan mendapat keredhaan Allah serta kembali kepada kemuliaan.

Ketiga: Berita gembira yang kami serukan adalah bahawa sesungguhnya Hizbut Tahrir telah berjanji kepada Allah dan RasulNya serta kaum Mukmin bahawa ia akan terus berusaha untuk mendirikan Khilafah melalui thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Walau betapa besar badai yang melanda sehingga ruh terpisah dari jasad sekalipun, namun Hizbut Tahrir akan tetap berusaha untuk merealisasikan janji Allah dan RasulNya untuk meraih kemenangan. Semoga Allah memberi kekuatan dan melindungi pejuang-pejuang di jalanNya.

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya dunia ini akan terus berputar, sebagaimana pada zaman pengutusan Nabi SAW, Rom dan Parsi telah dikelilingi oleh orang-orang kuat yang terpedaya dengan kekuatan serta ke-egoan mereka. Mereka tidak memperhitungkan negara lain kecuali negara mereka sebagai negara yang besar dan kuat. Mereka langsung tidak mempertimbangkan kekuatan Islam yang ketika itu telah mula meresapi jiwa umat Islam, bahkan mereka memandang orang Islam seperti sama di zaman Jahiliyyah. Mereka hinakan risalah Islam ke tahap di mana Kisra mengutuskan kepada wakilnya di Yaman dengan berkata kepadanya, “Aku mendengar bahawa ada seorang lelaki di Mekah menganggap dirinya Nabi, pergilah kepadanya dan bawakannya kepadaku!”. Kemudian beberapa tahun selepas itu, setelah berdirinya Daulah Islam, Rasulullah SAW telah mengutus para utusan kepada Raja-Raja dan apabila ia sampai kepada Kisra, Kisra telah mengoyak-ngoyak surat Rasulullah. Selepas itu kerajaan Kisra pun hancur terkoyak-rabak, membenarkan sabda baginda SAW “Allah mengoyak-ngoyakkan kerajaannya”.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kembalinya Negara Islam bukanlah sebuah mimpi. Bukan pula sebuah khayalan atau imaginasi. Daulah Khilafah ini dahulunya pernah wujud dalam bentuk yang nyata. Ia benar-benar wujud dan telah memenuhi relung-relung sejarah selama lebih 13 abad. Apatah lagi kebangkitannya yang akan datang untuk kali yang kedua telah pun dikhabarkan oleh Junjungan yang mulia, Muhammad SAW. Maka dari itu, Daulah Islam yang akan kita dirikan ini juga akan pasti wujud secara nyata dengan izin Allah, sebagaimana wujudnya di masa lampau. Siapa sahaja yang berjuang ke arahnya sudah mulai nampak dan terasa akan kehadirannya. Hari demi hari yang berlalu, ia semakin hampir dan hampir. Keharumannya sudah mulai tercium dan sinaran cahayanya sudah mulai kelihatan. Betapa panjang dan gelap gelitanya malam, namun dengan kehendak Allah Azza wa Jalla, sinar fajar akan pasti muncul jua. Begitulah kekuasaan Islam, ia pasti akan menjelma dan apabila ia telah muncul, tidak ada satu kekuatan pun yang dapat menghalangnya atas kehendak Allah. Islam telah berkuasa di muka bumi lebih dari 13 abad dengan segala kemuliaan yang Allah berikan kepada penganutnya dan Insya Allah, putaran dunia akan berulang lagi di mana kekuasaan Islam akan kembali semula...dan kali ini, kembalinya kekuasaan Islam bukan sahaja tidak dapat dihalang oleh mana-mana manusia, namun ia akan kembali menguasai seluruh penjuru dunia tanpa kecuali. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah telah menampakkan (seluruh) bumi di hadapanku, sehingga aku (dapat) menyaksikan bahagian-bahagian timur dan baratnya. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan menjangkau bahagian-bahagian bumi yang ditampakkan kepadaku” [HR Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Tsauban ra].

1 ulasan:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    BalasPadam